IMPIAN peserta solo, Kanmani dan kumpulan Kacau untuk terus bersaing di Gelanggang Awesome Raja Lawak tidak kesampaian apabila diumumkan tersingkir pada minggu ketiga yang berlangsung pada Rabu.

Pada minggu yang bertemakan muzikal itu, Kanmani dan Kacau berada di tangga terbawah dengan 46 peratus (%) markah, manakala kumpulan Manja mendapat markah tertinggi iaitu 73% dan turut diumumkan sebagai pemenang Man of The Match (berdasarkan undian penonton).

AWESOME RAJA LAWAK
Kumpulan Manja paling menyerlah pada minggu ketiga yang bertemakan muzikal.

Mengulas mengenai penyingkirannya, Kanmani mengakui persembahan pada minggu ini agak tergendala dan tidak sampai.

“Bukan tak jadi, cuma tak sampai, sebab komen positif, tapi itu lah mungkin persembahan tak sampai dan tergendala sikit.

“Tetapi tidak mengapa, boleh lihat saya buat ‘stand up comedy’ di luar, lagi menarik.

“Saya sudah lama buat ‘stand up comedy’, saya sertai pertandingan ini sebab nak perbaiki penggunaan bahasa Melayu.

“Tambahan pula, susah nak jumpa sifu yang hebat macam Saiful Apek, Khir Rahman dan lain-lain, jadi saya nak tuntut ilmu sebanyak mungkin supaya boleh digunakan di luar nanti,” katanya positif.

AWESOME RAJA LAWAK
Kanmani dan Kumpulan Kacau, akur tersingkir.

Sementara Kumpulan Kacau pula menerima dengan terbuka apabila perjuangan mereka terhenti pada minggu ketiga.

“Penyingkiran kami bukan sebab tema muzikal, semua itu adalah cabaran. Cuma kami tak dapat momentum dan ilham, sebab ilham itu kan daripada ALLAH SWT.

“Kami pun dah cuba buat yang terbaik, bukan salah tema, bukan salah sesiapa, kami salahkan diri kami.

“Mungkin ada terdapat banyak kelemahan, jadi kami akan cuba tambah baik dan majukan diri. Kalau bukan dalam program ni, tapi di tempat lain. Kami akan teruskan perjuangan kumpulan ini,” ujar mereka.

Format pemarkahan diadili 100 peratus oleh juri tetap terdiri daripada Khir Rahman, Ayda Jebat dan Saiful Apek, berdasarkan tiga kriteria pemarkahan utama iaitu daripada segi ‘punchline’ (40%), kreativiti dan idea (30%) dan persembahan (30%).

Iklan

Penyingkiran Kanmani dan Kacau menyaksikan ketiga-tiga mentor iaitu Ajak Shiro, Atu Zero dan Tauke sudah kehilangan anak didik di bawah kendalian mereka.

Sebelum ini peserta solo, Zunny di bawah bimbingan Tauke tersingkir pada minggu pertama.

Sementara itu, kumpulan Kumpulan Senario di pentas Awesome Raja Lawak pada minggu Muzikal telah berjaya mengubat kerinduan para peminat yang telah lama tidak menyaksikan teletah mereka di atas pentas.

Iklan
AWESOME RAJA LAWAK
Kemunculan kumpulan Senario mengubati kerinduan peminat.

Muncul menyanyikan beberapa buah lagu hits mereka, Azlee, Wahid, Yassin dan Saiful Apek juga sempat membuat sketsa ringkas yang menghiburkan.

Awesome Raja Lawak bersiaran secara langsung selama 10 minggu dari Studio De Showroom, Bandar Sri Damansara dan disiarkan menerusi saluran Astro 123 dan MyTV 112, memperlihatkan Nizam Jentik-Jentik dan Chiwan Chilok mengemudi pentas utama sebagai pengacara.

Juara Awesome Raja Lawak bakal membawa pulang wang tunai RM50,000 beserta trofi sumbangan Awesome TV. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM25,000 dan RM15,000 beserta trofi.

Kedudukan peserta Awesome Raja Lawak pada minggu ketiga :
1. Manja 73%
2. Hanif 73%
3. Soda 72%
4. Beduk 59%
5. Sesah 58%
6. Mabo 57%
7. Sedare 53%
8. Pelan 51%
9. Se’eh 50%
10. Semmat 50%
11. Azhar 47%
12. Kanmani 46%
13. Kacau 46%