Luqman Faiz mahu ikut jejak Haqiem Rusli, akui minat dengan wanita yang lebih matang

A
A
A

PERKHABARAN Haqiem Rusli yang sudah menamatkan zaman bujang pada November lalu turut menjadi antara momen terbaik buat Luqman Faiz memandangkan beliau juga salah seorang teman baik penyanyi itu.

Menjadi bukti keakraban hubungan mereka, Luqman telah diberi kepercayaan untuk menjadi salah seorang ‘dulang boy‘ atau pembawa hantaran pada majlis tersebut.

“Mengenali keperibadian Haqiem, saya yakin beliau sudah bersedia untuk berumah tangga dan bergelar suami. Saya sangat berbangga dan berterima kasih kerana diberi peluang untuk berada sekali pada hari bahagianya,“ kata selebriti muda itu.

Sengaja SinarPlus mengusiknya, bilakah agaknya giliran beliau untuk bergelar raja sehari? Sekadar melepaskan tawa kecil, Luqman membiarkan takdir yang menentukan segalanya.

Tatkala bercerita soal jodoh, penyanyi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat seni tanah air berkata, dirinya juga mempunyai hasrat untuk menamatkan zaman bujang pada usia muda.

 

Baca juga: Kesediaan Haqiem Rusli Berumah Tangga

 

Lihat sahaja Haqiem dan seorang lagi teman akrabnya, Sufian Suhaimi. Meskipun Sufian mempunyai kisah berbeza, namun yang jelas, penyanyi lagu Janji itu tetap bersedia menggalas tanggungjawab sebagai suami pada usia yang masih 'hijau'.

Kepada penulis, Luqman yang berusia 21 tahun pada tahun ini berterus terang. Beliau mudah tertarik dengan wanita yang lebih berusia daripadanya!

Empunya diri sedikit pun tidak melihat perbezaan usia sebagai satu halangan untuk berumah tangga.

LUQMAN mengakui perbezaan umur antara pasangan hanya nombor selain turut memberitahu dirinya lebih tertarik dengan wanita yang lebih berusia daripadanya/

Pemuda berkenaan dengan penuh penegasan juga menolak sentimen yang mengatakan berkahwin pada umur muda tidak sesuai lantaran masih belum matang. Arus perkahwinan yang ada pasang surutnya dikhuatiri tidak dapat dihadapi dengan baik.

“Sekali lagi saya katakan, usia tidak membawa sebarang makna jika individu itu sudah bersedia memikul amanah dan saling memahami untuk melaksanakan tugas masing-masing sebagai suami isteri,“ katanya dengan nada serius.

Justeru, sebagai persiapan awal dan bagi memastikan masa depan lebih terjamin, beliau kini sedang menguruskan perniagaan tudung, Daunshawl dan makanan, Ghost Bite termasuk memberi lebih tumpuan untuk menamatkan pembelajaran di kampus.

Bakal graduan Diploma Muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu hanya mempunyai satu semester lagi untuk menamatkan pengajiannya.

Watak Joker

Luqman seperti sedang menyusun langkah. Ujarnya, selepas ‘urusan‘ di UiTM selesai, beliau berazam untuk mencabar diri untuk bergelar pelakon.

Pernah menerima tawaran berlakon sebelum ini, namun kata beliau, ia terpaksa ditolak kerana jadual penggambaran sedikit sebanyak mengganggu pembelajarannya.

“Namun, jika ditanya cabang yang mana satu saya akan pilih, sudah semestinya pendidikan menjadi keutamaan. Mana tahu, jika rezeki tidak memihak kepada saya untuk bergelar penyanyi lagi, saya boleh menjadi guru vokal atau membuka syarikat rakaman sendiri suatu hari nanti,“ ujar Luqman yang selari dengan pandangan ibunya, Fazilawati Kamsani.

Apakah genre lakonan yang menjadi idaman sekiranya dipelawa membintangi apa jua filem atau drama? Tidak perlu menunggu terlalu lama, selebriti itu terus berkata bahawa dirinya berkeinginan untuk membawa watak antagonis.

“Lebih jahat, lebih bagus!“ katanya yang sangat mengagumi watak Joker dalam filem Batman.

BERAZAM untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan, Luqman berharap agar diberikan watak antagonis.

Pemilik nama lengkap Luqman Abd Halim Faiz itu berpendapat, meskipun terkenal sebagai watak jahat dengan sisi

kejam dan menderita akibat tekanan jiwa, namun Joker telah diberi penghormatan memiliki filemnya solonya bertajuk Joker.

Disebabkan itu, beliau menyifatkan karakter animasi daripada DC Comics tersebut sangat istimewa.

“Joker itu memang jahat, tetapi dia dilayan seperti hero kerana mempunyai pengikut dan peminat. Saya ingin ‘menjadi‘ Joker kerana saya dapat merasakan ada personaliti Joker dalam diri ini. Orang mungkin nampak saya seperti budak baik, tetapi sebenarnya siapa tahu ada sifat Joker dalam diri saya,“ katanya sambil berseloroh.

Tolak budaya buli

Di Malaysia, lazimnya trend menyaksikan pelakon yang menjayakan watak kejam dalam sesebuah naskhah akan ‘dibahan‘ oleh ‘tentera bawang‘ di platform media sosial. Barangkali Luqman sudah mampu untuk menelan segala cercaan itu agaknya?

Justeru, ditanya tentang ketersediaan untuk menerima kritikan yang bertalu-talu nanti, dengan tenang beliau berkata: “Saya sudah berlapang dada.“

Pengalaman lalu ketika dikutuk ketika membuat persembahan pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 sekitar November tahun 2019 sudah banyak mengajarnya.

Didakwa gagal memberikan persembahan terbaik, Luqman dikatakan tidak mampu untuk menyanyi pada acara live. Khalayak juga mengatakan tujuan beliau menyanyikan lagu cover sekadar bertujuan untuk menutup malu akan kelemahannya.

MENGAMBIL sikap terbuka dalam menerima sebarang kritikan atau teguran daripada peminat terutama di media sosial.

“Pada saya kritikan itu sudah menjadi lumrah anak seni tidak kira sama ada penyanyi mahupun pelakon. Jika terlalu teruk dan dilihat boleh menjejaskan emosi, saya memilih untuk mendiamkan diri dan membiarkan sahaja. Lagipun, benda boleh bincang kenapa perlu bergaduh?,“ ungkapnya yang sedikit pun tidak menyimpan amarah kepada mereka yang meluahkan kata-kata yang boleh merobek hatinya.

Namun, soal penulis, bukankah dengan membiarkan tindakan sebegitu akan terus menggalakkan pembuli di alam siber terus bermaharajalela? Jawab Luqman, beliau bersetuju dengan pernyataan penulis dan memandang serius perbuatan tidak bermoral itu yang masih lagi berleluasa.

Ujar beliau, sikap buruk tersebut bukan sahaja akan menyebabkan kesan emosi kepada mangsa, malah berupaya menjentik seseorang bertindak di luar jangkaan seperti meragut nyawa sendiri.

“Kita perlu bijak menggunakan media sosial kerana platform ini mempunyai pelbagai manfaat dan keburukan. Sebelum memberi komen atau kata-kata tidak baik, cuba fikir bagaimana jika hal itu berlaku pada diri sendiri? Adakah kita akan rasa gembira dan senang hati menerimanya?,“ soal Luqman kepada netizen yang sering bersifat sarkatistik.

Boneka Cinta

Tinggalkan seketika cerita-cerita yang hanya boleh merosakkan mood, penulis bertanya tentang tuah lagu nyanyian berjudul Kepuraanmu pula.

Bukan apa, walaupun sudah tiga tahun diterbitkan dan pernah mencuba nasib menerobos dinding Anugerah Juara Lagu ke-34, single tersebut masih menjadi siulan dan bermain di corong radio sehingga ke hari ini.

Jelas Luqman, lagu yang dihasilkan oleh Sirkhan Danial, Ibnu Rinkarnaen dan Sang Hitam itu sememangnya mempunyai aura tersendiri.

“Ia bagaikan mampu 'menghipnosis' pendengar yang mendengarnya,“ tuturnya.

Pun demikian, kekuatan karya berkenaan dalam ingatan pendengar seolah-olah telah 'mematikan' dua lagi lagunya bertajuk Takhta Cinta dan terbaharu, Boneka Cinta.

LUQMAN Faiz mengharapkan agar kerjaya nyanyian akan terus berkembang dan mampu bertahan lama.

Tidak menuding mahupun menyalahkan sesiapa atau menyangkal pengaruh Kepuraanmu, Luqman bersyukur para peminat masih mengetahui lagu nyanyiannya.

“Secara peribadi saya takut dengan gelaran one hit wonder. Meskipun begitu, segalanya saya terima dengan rasa terbuka. Mungkin ini menandakan saya perlu lebih berusaha keras dan menghasilkan karya yang lebih berkualiti,“ katanya usai diminta mengulas mengenai penerimaan peminat antara lagu Kepuraanmu dan Boneka Cinta yang telah diperdengarkan sejak Mac lalu.

Biarpun respons sedikit perlahan, Luqman tetap meletakkan harapan tinggi agar pendengat boleh menerima Boneka Cinta, sementelah single tersebut merupakan taruhan sulung beliau sebagai pencipta lagu.

Bagi memantapkan naskhah tersebut, beliau turut berkerjasama dengan Rinkarnaen dan Zack Merican dengan memberi sentuhan R&B kontemporari, di samping masih mengekalkan elemen balada.

Kepada penulis, selebriti berbakat itu berkata, beliau turut meletakkan perancangan untuk melakukan anjakan atau eksperimen dengan genre muzik berbeza pada masa akan datang.

Antara langkah awalnya adalah berkolaboratif dengan Fieya Julia menerusi sebuah lagu rancak. Namun, tajuknya masih dalam peringkat perbincangan.

“Sebelum ini saya pernah merakam sebuah lagu berentak reggaeton bertajuk Loco Loco dan telah menyiapkan klip videonya. Saya masih menunggu masa yang sesuai agar lagu tersebut dapat dilancarkan dan enggan membiarkan ia diperam terlalu lama, sudah lebih setahun sebenarnya ia telah disiapkan.

“Bagi lagu Kepuraanmu pula, saya merancang untuk merakam semula dengan penyanyi lain dan selitkan juga elemen hip hop ,“ ujarnya.

Luqman juga tidak menolak untuk menjadikan karya itu sama seperti yang pernah dilakukan oleh Nabila Razali dan MK K-Clique menerusi lagu Peluang Kedua.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca