PEJAM celik, Ramadan telah pun membuka tirai. Setelah dua tahun menjalani ibadah Rukun Islam ketiga itu di rumah tanpa kerancakan bazar Ramadan, kedai menjual pakaian dan variasi ‘kuih tunjuk-tunjuk’, masa yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelma.

Pun demikian, jangan terlalu beria lantaran virus Covid-19 masih berleluasa. Kelonggaran demi kelonggaran bukan bermakna prosedur operasi standard harus diketepikan begitu sahaja. Namun, apa-apapun syukur ke hadrat ILAHI, dengan limpah dan kurnia-NYA, kita kini kembali menjalani kehidupan normal seperti dulu.

Dalam seronok meraikan ‘kemerdekaan’ ini, pernahkah kita terlintas atau memikirkan tentang mereka yang kurang bernasib baik? Ya, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

 

Baca juga: Kontroversi vs kualiti Mierul Aiman ada cara tersendiri cipta nama dalam industri

Baca juga: Tidak pernah putus harap Amira Syahida sedia bersaingan dengan penyanyi BBNU

 

Begitulah gambaran perasaan pemilik nama penuh Ahmad Fedtri Yahya yang pernah menziarahi khemah pelarian di bumi Jordan.

Kepada SinarPlus, personaliti yang disapa dengan nama Fedtri itu berkata, segala pengalaman yang direntas ketika menjalani penggambaran Jejak Rasul sekitar tahun 2012 masih mekar di dalam lubuk ingatan. Ia juga akan tumbuh mewangi setiap kali menjelang Ramadan al-Mubarak dan membuatkannya terus bermuhasabah diri.

“Apa yang saya boleh kongsikan, kehidupan rakyat di Jordan sangat daif. Mereka miskin dan benar-benar kelihatan sangat susah. Sebaik sahaja kami sampai, tiada sebarang makanan yang mereka ada kecuali laban (susu masam).

Fedtri mencatat kenangan berpuasa bersama kanak-kanak di sebuah kem perlindungan sewaktu menyertai misi kemanusiaan pada tahun 2012.

“Melihat situasi itu, saya dan kru lain tidak terdaya untuk meninggalkan mereka dengan tangan kosong. Kami saling bergotong-royong membelikan apa yang perlu agar ada makanan terhidang buat mereka ketika sahur,” tutur beliau saat membuka bicara tentang pengalaman berkelana di rantau orang pada bulan puasa.

Mendengarkan kisah yang dileraikan oleh Fedtri, perasaan simpati dan serba salah pantas menerpa di relung hati penulis. Mana tidaknya, setiap kali ingin berbuka puasa di negara serba mawah ini, sudah terbayang menu apa yang ingin dinikmati. Di mana bazar mana yang perlu disinggah dan kuih-muih apa boleh dibeli sebagai pencuci mulut?

Momen di Jordan itu turut mendorong pendakwah berkenaan memberi teguran kepada golongan yang masih merungut tidak mahu berpuasa. Pelbagai alasan tidak masuk akal diberikan semata-mata enggan melunaskan tuntutan agama yang cukup mudah. Tidak cukup dengan itu, isu ‘Geng Plastik Hitam’ (golongan mengelak berpuasa dan makan atau rokok di tempat tersembunyi) pula seakan tidak berkesudahan.

“Biasanya, individu yang melakukan perkara itu dengan sengaja dan tahu bahawa ia satu kesalahan. Mereka sendiri yang memilih untuk terjun ke lembah sebegitu. Sebilangannya tidak mempunyai motivasi langsung untuk berubah, sedangkan persekitaran mereka ada juga orang yang baik-baik.

“Ya, kita akan rasa marah dengan golongan ini, tetapi pada saya, mereka perlu diberi galakan dan serulah melaksanakan kebaikan dengan pendekatan tertentu. Saya percaya, apabila menerima hidayah ALLAH, insya-ALLAH, mereka ini akan istiqamah dan bersungguh-sungguh untuk berubah,” ujar beliau dalam nada tegas, namun dengan penuh kesantunan.

Memori anak desa

Mendalami melodi dan berangan-angan antara cara yang akan dilakukan untuk menghasilkan lagu.

Seiring dengan cerita tentang bulan yang penuh keberkatan ini, penulis mengajak Fedtri mengimbau kembali kotak kenangannya ketika menjalani ibadah puasa sewaktu bergelar kanak-kanak.

Sambil tersenyum, beliau berkata, pada tangga usia diri mahu lagi hendak berkenalan dengan dunia, keseronokannya tidak dapat dinafikan lagi.

Berpeluang bermain dengan rakan-rakan di desa, sambil berjalan-jalan keliling kampung, antara kenangan yang masih belum pudar di dalam minda. Gambarannya seakan-akan sama seperti keceriaan dalam kartun animasi Upin Ipin.

Ujar figura berusia 41 tahun itu, ketika waktunya membesar, inovasi teknologi tidak secanggih sekarang. Anak kecil masih dibiarkan bebas bermain di tanah tanpa perlu ada secalit kerisauan. Tiada juga kesesakan lalu lintas, mahupun peranti canggih.

Biarpun sesekali berasa lelah dek kerana dahaga setelah bermain, namun itu tetap bukan halangan untuknya terus berpuasa dan mendidik diri agar lebih bersabar mengharungi ujian.

“Masa saya budak, apa yang tidak boleh dilupakan adalah saat saya disuruh ke kedai untuk membeli barangan dapur dan bahan mentah untuk berbuka. Maklum sahaja, anak kampung, ketika itu tiada apa yang perlu dibimbangkan.

“Awal tahun 1990-an, kenderaan dan persekitaran kampung tidak seperti sekarang. Segalanya aman dan tenteram. Sambil-sambil pergi ke kedai itu, saya sempat juga singgah sekejap bermain-main sebelum pulang,” imbaunya.
Sambil bercerita, beliau tersenyum sejenak. Mungkin ada gelagat sewaktu kecil dulu yang mencuit hatinya.

Begitu juga penulis yang turut mempunyai pengalaman membesar di persekitaran kampung. Boleh dikatakan setiap kali diminta untuk kedai, perkara yang tidak boleh dilupakan adalah meminta upah. Wang RM1 atau wang lebihan untuk membeli jajan itu sudah cukup untuk ‘memancing’ penulis.

Mencintai bahasa Melayu

Lagu Kasih Padamu nyanyian Hafiz Hamidun, Ayuh! Jurangan (Noraniza Idris), Cintamu (Datuk Seri Siti Nurhaliza) dan Cinta Beralah (Ramlah Ram) antara yang mendapat sentuhan beliau.

elesai bercerita tentang puasa, perbualan penulis dengan penerima Anugerah Khas Tokoh Kategori Pendakwah Kreatif Maal Hijrah 1443H tahun lalu terarah kepada kecintaannya dalam dunia penulisan bahasa Melayu.

Meskipun penganugerahan itu tidak membawa gelaran ustaz seperti kebanyakan pendakwah lain, ungkap Fedtri, beliau tetap menjalankan tanggungjawab untuk terus berdakwah pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Iklan

Penerbit Eksekutif, Jabatan Pengisian Islam TV3 itu nampaknya lebih versatil. Tidak hanya menuturkan nasihat, panduan dan saranan melalui lisan, beliau menyalurkannya kepada penulisan lagu juga.

Lihat sahaja nukilan lirik pada beberapa buah karya seperti Kasih Padamu nyanyian Hafiz Hamidun, Ayuh! Jurangan (Noraniza Idris), Cintamu (Datuk Seri Siti Nurhaliza) dan Cinta Beralah (Ramlah Ram).

Baginya, penulisan bahasa Melayu itu sungguh hebat dan luar biasa. Namun, pesanan beliau, paling utama perlu belajar dengan guru yang betul.

“Ingin mengembangkan minda, kita perlu untuk rajin-rajin menghadirkan diri ke majlis ilmu lebih-lebih lagi anjuran pusat pengajian. Apabila menuntut ilmu, kita perlu lapangkan fikiran dan matang.

“Setiap hujahan pendidik atau tenaga pengajar itu perlu diperhalusi dengan teliti kerana ia akan memberi peluang kepada kita untuk membuka minda dan mendapat idea baharu. Tidak boleh sekadar minat suka-suka kerana kita perlukan ‘jiwa’ dalam melakukan sesuatu perkara,” ujarnya.

Mempamerkan salah satu usahanya, Fedtri telah menjadikan platform media sosial seperti TikTok untuk menarik lebih banyak minat golongan muda mencintai keindahan bahasa Melayu. Sedutan dialog atau bait-bait lagu yang indah antara yang dimuat naik dan dikongsikan.

Antaranya seperti potongan dialog Laksamana Hang Tuah kepada Gusti Puteri Retno Dumillah dalam filem Puteri Gunung Ledang, ‘jika patah sayap rajawali, bertongkat jua kanda ke mari’ berserta pengertian dan banyak frasa lain lagi.

Fedtri akan mencatat setiap perkataan bahasa Melayu yang sedap didengar begitu juga menulis semula bait-bait indah dalam sesebuah lagu.

Fedtri yang juga seorang pakar motivasi berkata, sejak di bangku sekolah lagi beliau memang sukakan dengan kesusasteraan bahasa Melayu.

Iklan

“Apabila mendengar sahaja lirik lagu atau perkataan yang cantik atau indah, saya akan mencatatnya. Begitulah saya ketika di alam persekolahan. Apabila dewasa pula, saya tidak menggunakan bahasa Melayu semata-mata untuk kerja, sebaliknya letakkan ia di dalam jiwa yang diibaratkan seperti denyut nadi dalam diri. Jika buang bahasa Melayu dari dalam sanubari, saya rasa tidak boleh hidup,” tuturnya berseloroh.

Memegang portfolio sebagai penulis lirik pula, ujar Fedtri, beliau lazimnya akan mendalami terlebih dahulu melodi yang diberikan sebelum menumpahkan sebarang idea.

“Adakalanya saya memerhatikan gerak sungai atau titis hujan kemudian terjemahkannya kepada kata-kata dan macam-macam pendekatan lagi,” jelas anak kelahiran Perak itu sambil memberitahu, pengalamannya menjadi pemidato dan pendebat juga telah membuatkan dirinya berfikiran kritis, malah menjadi lebih yakin dan berani di depan khalayak.

Sebelum melabuhkan tirai wawancara, Fedtri sempat menitipkan beberapa amanat. Ujarnya, segala apa yang ingin dibuat, pastikan kita bersedia, lakukan latihan yang sepatutnya, rajin dan paling penting, berani mengambil risiko.

“Itu semua adalah salah satu kunci kekuatan untuk kukuhkan jati diri. Didik (diri) agar tidak mudah terpengaruh lebih-lebih dengan keasyikan dunia tanpa sempadan.

“Tiang agama yang berfungsi sebagai teras, perlu utuh agar tidak mudah runtuh dek kerana memikul beban segunung. Begitu juga dengan kehidupan yang asyik berdepan dengan dugaan,” ujarnya yang terkenal dengan bait penuh falsafah.

 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI