'Mungkin bukan rezeki lagi.' Uqasha sebak kongsi diuji 2 kali keguguran, 6 info wanita perlu tahu
MUNGKIN bukan rezeki lagi, demikian tutur pelakon, Uqasha Senrose tentang zuriat. Tiga tahun selepas mendirikan rumah tangga dengan aktor Kamal Adli, mereka sebenarnya telah diuji dua kali keguguran.
Mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021, kakak kepada aktres Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose itu mendedahkan ketika keguguran beliau tidak menyedari dirinya sedang hamil dan beranggapan ia adakah haid yang berpanjangan.
"Dua kali gugur, rasa sebak pulak bila cakap pasal ini. Mungkin bukan rezeki lagi.
"Pertama kali saya tak tahu saya mengandung semasa tunaikan umrah. Saya datang haid tak berhenti, mula-mula ingatkan hormon selepas kahwin dan saya biarkan sahaja.
"Semasa umrah bersama suami selepas kahwin saya tak dapat buat ibadah sangat. Kemudian semasa nak Pilihan Raya Umum Ke-15 sekali lagi saya datang haid tak berhenti," katanya kepada portal Mstar.
Baca juga: Bukan semua pendarahan ketika hamil petanda keguguran. Ini antara sebab-sebabnya
Menyedari keadaan kesihatan di luar kebiasaan, Uqasha mendapatkan pemeriksaan dan doktor memaklumkan berita duka bahawa kandungannya yang berusia dua bulan tidak dapat diselamatkan.
Tidak sekadar itu, pelakon Paku Pontianak dan Isteri Halal itu perlu dibedah untuk membuang darah yang terkumpul susulan keguguran.
"Saya cakap dengan suami tentang masalah datang haid tak berhenti itu dan bimbang kalau-kalau ada masalah dalaman.
"Bila buat ujian dapat dua garisan, kami terus pergi hospital kerana bimbang mengandung luar rahim tapi bila periksa anak dalam kandungan dah tak ada." katanya.
Berdepan kehilangan demi kehilangan, Uqasha mengakui sedih tetapi tetap meneruskan kehidupannya. Sedang sibuk dengan penggambaran drama terbaru, beliau dan suami tidak merancang untuk memiliki anak lagi.
Baca juga: Wanita menyesal pakai fake braces semasa mengandung, dikhuatiri keguguran
"Mestilah sedih, siapa yang lepas kahwin tak nak ada anak, Bila dapat tahu mengandung masa itu tertanya-tanya kenapa tak nak jaga tapi Kamal kata tak apa kita cuba lagi.
"Saya pun lasak masa itu dengan penggambaran dan kerja yang tidak berhentti menyebabkan kandungan yang masih baru tak kuat lagi. Nak kerja itu boleh bukan yang kasar dan berat-berat.
"Alhamdulillah sekarang OK, saya pun sedang jalani penggambaran untuk drama 70 episod jadi saya tak rancang untuk ada anak buat masa ni," katanya.
6 PANDUAN WANITA SELEPAS KEGUGURAN
Portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia mendefinisikan keguguran sebagai kandungan yang terkeluar atau dikeluarkan dari rahim (semua atau sebahagian) daripada usia kandungan kurang dari 22 minggu. Kandungan yang tidak menunjukkan perkembangan atau tidak lagi menunjukkan tanda-tanda hidup juga dirujuk sebagai keguguran jika berlaku kurang dari 22 minggu.
Keguguran adalah kehilangan yang tidak terungkap. Bukan mudah menghadapinya kerana wanita tidak hanya perlu melalui proses penyembuhan fizikal bahkan emosi.
Bagi wanita yang diuji keguguran, kesan emosi biasanya mengambil masa lebih lama untuk sembuh berbanding pemulihan fizikal. Tidak kiralah berapa usia kandungan ketika itu penting bagi anda mengetahui cara menguruskan emosi selepas keguguran.
Sokongan daripada suami dan keluarga amat diperlukan ketika melalui fasa keguguran. Berikut cara menguruskan emosi selepas keguguran:
1-Benarkan diri bersedih
Sekiranya berasa ingin menangis atau hanya mahu bersedih selepas kehilangan, lakukanlah dengan apa cara sekalipun.
Anda tidak sepatutnya memaksa diri untuk menjadi ‘okay’ terutamanya jika langsung tidak merasakan sebegitu.
Jika ia mengambil masa bertahun sekali pun, tidak mengapa. Itu adalah sebahagian proses kesedihan dan tidak boleh dielakkan.
2-Berikan tubuh dan minda masa untuk sembuh
Tubuh memerlukan masa untuk kembali normal, begitu juga dengan kesihatan minda dan emosi anda. Usah tergesa-gesa untuk berasa ‘lebih baik’.
Cuba tunggu beberapa bulan sebelum memulakan pekerjaan atau berpindah ke rumah baharu mahupun melakukan perubahan besar dalam kehidupan.
3-Luahkan kepada individu dipercayai dan disayangi
Meluahkan apa yang dirasai kepada pasangan, rakan baik mahupun ahli keluarga.
Ia bukan sekadar cara menguruskan emosi atau melegakannya, tetapi turut membantu anda memproses kesedihan dengan lebih baik dan untuk bangkit daripada bersedih dengan apa yang terjadi.
Sekiranya belum bersedia untuk bercakap mengenainya, tuliskan apa dirasai atau yang anda fikirkan.
4-Memperingati pemergian bayi
Mengekalkan ingatan kepada bayi boleh membantu anda meredai pemergiannya.
5-Menjaga diri
Wanita selepas keguguran telah melalui kehilangan yang traumatik tetapi hidup perlu diteruskan. Sebaiknya cuba untuk mematuhi jadual tidur yang tetap, menjaga pemakanan dengan baik dan berat badan seimbang. Jangan lupa untuk melakukan sesuatu yang aktif setiap hari, berehat, mengehadkan pengambilan kafein dan mengelakkan daripada merokok.
6-Dapatkan bantuan profesional jika perlu
Dalam menguruskan emosi selepas keguguran, usah teragak-agak untuk mendapatkan bantuan ahli terapi, kaunselor atau doktor bertauliah.
Kesedihan dan kehilangan mempengaruhi individu dengan cara berbeza. Ada yang mungkin menghadapi masa sukar untuk menanganinya dan memerlukan bantuan profesional.
Kehilangan si kecil dalam kandungan kerana keguguran amat menguji namun anda tidak keseorangan. Cuba untuk kekal positif dan fokus tentang masa depan.
Baca juga: Pendarahan ketika hamil, adakah ibu masih perlu solat dan puasa? Ini jawapan agamawan
Sumber: Mstar, Hello Doktor
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang