NALURI seorang isteri, pelakon, Ellie Suriaty tidak terkejut dan seakan sudah mengetahui apa yang akan terjadi selepas berpisah dengan bekas suaminya, Azri Iskandar.

Kata Ellie, disebabkan isu itu dia membuat keputusan menarik diri daripada perkahwinan telah pun dibina selama 19 tahun.

Baru-baru ini ramai memperkatakan aktor, Azri Iskandar bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita bergelar doktor yang dikenalinya 12 hari selepas berpisah.

“Saya tidak terkejut dan sudah boleh agak akan hal ini. Sebab itulah hati saya benar-benar bulat dan tekad untuk menarik diri daripada perkahwinan ini. Sebab saya dah rasa dia ada hubungan dengan wanita lain.

“Dan, waktu saya failkan cerai, saya tak perlu tanya lagi untuk dapatkan apa-apa kepastian atau kesahihan. Sebab saya kenal dia sangat sebagai suami selama 19 tahun.

“Selama tempoh itu, kita telah melalui segala susah senang bersama. Bila ada perubahan dalam rumahtangga, saya tahu hati dia ada pada orang lain dan bukannya dengan saya lagi,” katanya yang sedang melalui tempoh iddah kepada portal Getaran.

Baca juga: Tiada keserasian setelah 19 tahun bersama, Ellie Suriati, Azri Iskandar bercerai

Pemenang Anugerah Pengarah Harapan di Festival Filem Malaysia Ke-26 menerusi filem Penanggal itu menyatakan nalurinya sebagai isteri sangat kuat seolah dapat mengesan sesuatu sedang terjadi kepada rumah tangganya.

“Sebelum bercerai, saya telah ambil keputusan yang cukup lama untuk memikirkan baik dan buruknya.

“Bahkan saya sudah memohon petunjuk daripada ALLAH SWT. Azri tidak tahu yang saya tahu apa dia lakukan di belakang saya.

“Tapi, naluri seorang isteri itu sangat kuat. Kita sendiri dapat rasakan banyak perubahan yang sangat ketara. Lagipun kita bukan baru kahwin setahun dua.

“Saya tak nafikan anda ramai perempuan di luar sana yang jauh lebih baik daripada saya. Tapi mereka bukan Ellie Suriaty yang sangat faham siapa Azri Iskandar,” katanya.

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-16 itu kini memilih untuk menumpukan kepada kerjaya seni dan dua cahaya matanya.

Untuk rekod, Ellie Suriaty memfailkan permohonan cerai ke atas Azri Iskandar dan mereka disahkan bercerai melalui prosiding mahkamah pada 17 Mei lalu.

Tiada keserasian menjadi punca perpisahan pasangan pelakon itu selepas 19 tahun melayari bahtera rumah tangga.

Perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Azrell Omar Azri Iskandar, 18 dan Nur Azreen, 13.

Penceraian bukanlah pengakhiran. Usah terlalu berduka, ‘move on’ wahai wanita!

Baca juga: Hormati permintaan suami, Ellie Suriati akur ambil vaksin

Gambar hiasan

Baca juga: Nilai kehidupan tidak boleh dibeli dengan tawaran sepotong roti, segunung emas – Ellie Suriaty

Iklan

Menurut Divorcemag, wanita boleh melakukan beberapa tip berikut untuk melalui tempoh sukar selepas penceraian;

1- Ambil sedikit masa untuk bersendirian dan ‘benarkan’ diri untuk bersedih. Jangan terus mencari pasangan lain untuk mengisi kekosongan. Bersendirian membantu anda membuat keputusan yang lebih baik pada masa hadapan.

2-Dekatkan diri kepada ALLAH. Titipkan doa semoga urusan anda dan anak-anak dipermudahkan.

3-Tulis jurnal tentang perasaan dan emosi yang dirasai dan cabaran yang dihadapi. Menulis jurnal bukan sahaja menyalurkan luahan malah memberikan inspirasi untuk memperbaiki diri.

4-Komunikasi lebih kerap dengan rakan dan keluarga ketika waktu sukar ini.

Iklan

5-Motivasikan diri untuk mencapai kestabilan kewangan.

6-Jangan terburu-buru untuk melupakan semuanya, ambil masa untuk menenangkan diri. Dapatkan bantuan perubatan sekiranya anda tertekan atau depresi.

Bukan mudah untuk membina semula diri selepas penceraian. Selepas merenung, menerima, dan menyedari bahawa anda boleh melaluinya, anda akan lebih kuat secara dalaman.

Untuk bertahan dan pulih dalam masa yang sangat sukar ini, anda memerlukan sokongan daripada rakan dan keluarga, usah bersendirian.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI