“TIADA siapa menegur saya ketika itu, saya sendiri turut ghairah membawa kelainan sehinggalah satu masa tu saya disebut dalam khutbah Jumaat di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Begitulah pendedahan eksklusif pengacara dikenali ramai, Datuk Aznil Haji Nawawi atau mesra dipanggil Pak Nil.

Dirinya dikecam ketika mengendalikan sebuah rancangan hiburan popular era 1990-an begitu mengharukan warganet ditambah dengan tangisannya ketika membutirkan setiap baris ayat.

“Saya juga diduga sehingga hendak berhenti dan malu untuk meneruskan kerjaya. Zaman saya dahulu, orang semua menonton TV. Tidak seperti zaman sekarang ada YouTube, portal, game dan sebagainya.

“Rancangan Pop Kuiz yang saya kendalikan ketika itu menjadi rancangan hiburan nombor satu Malaysia. Dalam keghairahan mencapai nama, penampilan saya tidak dijaga. Muncul dengan berpakaian ‘Boys To Man’ ketika itu berseluar pendek dan memakai neck tie mengabaikan aurat.

“Bayangkan minggu-minggu sebelum itu, khutbah Jumaat berkisarkan tentang penindasan di Bosnia, jadinya ketika itu hangat tumpuan kepada sebuah rancangan hiburan dikatakan mempunyai pengaruh buruk buat akidah anak-anak,” cerita beliau secara live ketika segmen khas, The Story of Datuk Aznil Nawawi sempena sambutan ulang tahun portal SinarPlus yang pertama, Yass Satu Tahun Yang Awesome-SinarPlus Versary yang berlangsung 15 jam berturut-turut pada 1 Mac lalu.

Tak semua juga yang tahu kisah di sebalik kejayaan personaliti serba boleh yang dapat memikat hati pelbagai lapisan masyarakat ini untuk menempa nama dalam industri seni sehingga ke tahap sekarang.

Hakikatnya bermacam liku terpaksa dilalui beliau menempuh industri sepanjang bergelar anak seni.

Menurut Pak Nil lagi, setelah perkara itu berlaku, beliau dipanggil pengurusan TV mengatakan namanya mula jatuh sebab unsur negatif.

“Aznil, nama awak dah mula jatuh. Bagaimana awak bersedia? Saya hanya diam. Mereka turut minta serahkan semua urusan kepada pihaknya.

“Saya balik bagitahu kepada mak dan ayah, saya mahu berhenti. Saya lari daripada media dalam tempoh seminggu. Saya amat malu.

“Saya berfikir bagaimana mak dan ayah mertua serta isteri saya… saya tak mahu buat dah kerja ini. Tapi hati saya suka, cinta dan sayang sangat bidang ini.

“Saya mengambil masa bertenang dan akhirnya saya bersedia bertemu media. Alhamdulillah, saya rasa bersyukur Allah memberi kerja saya yang dapat dilihat oleh Imam Besar Masjid Negara.

“Dari situlah mendapat nafas baru ingin terus ke hadapan dan memperbaiki diri serta menjadi lebih matang,” ujarnya.

Begitulah pendedahan eksklusif pengacara dikenali ramai, Datuk Aznil Haji Nawawi atau mesra dipanggil Pak Nil.

Kata Pak Nil, sejak perkara itu menjadikan dirinya lebih bersedia seandainya berlaku kontroversi.

“Kita tahu bagaimana jaga diri, mulut, pemikiran, tingkah laku dan tidak cepat melenting. Alhamdulillah itu menjadi amalan dari dulu.

“Jika saya tidak mempunyai ilmu, pelajaran, pengetahuan dan asas agama serta keluarga yang kuat, haruslah sukar untuk bertahan,” katanya.

Bercerita mengenai bagaimana permulaan menceburi bidang pengacaraan, SinarPlus cuba membongkar kisah di sebalik nama besar Pak Nil ini.

Berkelulusan bidang Ekonomi daripada Universiti Malaya pada tahun 1984 dan memulakan kerjaya di sebuah syarikat perkapalan, MISC.

“Namun ketika saya bekerja di situ, jiwa saya lebih ke arah bidang penerbitan. Saya menceburkan diri dalam iklan dan banyak terpapar di kaca TV.

“Banyak orang tidak senang juga ketika itu kerana setiap kali iklan di TV ternampak muka saya. Iklan ini itu. Ketika zaman itu, Alhamdulillah saya mendapat banyak peluang untuk muncul sebagai model iklan.

“Bermula daripada itu, saya berjinak dengan kamera dan mula timbul rasa suka. Tambah pula, ketika itu saya turut terlibat dengan menjadi model di majalah Remaja keluaran Karangkraf bersama editor Richie Rachman.

“Dan di situlah bermulanya pendedahan saya kepada dunia glamour,” katanya.

Katanya yang juga pernah terlibat sebagai pelakon, pengarah, penyanyi serta penyampai radio, ia bermula dengan bidang pengacaraan.

“Saya sendiri tidak mengjangkakan melonjak ketika itu dalam pengacaraan. Tiba-tiba nama saya meletup menjadi bualan ramai.

“Saya juga pernah menjadi pembaca berita di TV3 dan wartawan dan setelah itu baru saya masuk berjinak dalam bidang hiburan.

“Dalam bidang pengacaraan, saya belajar banyak mengenai kerja-kerja belakang tabir seperti pengarah dan penulis skrip. Selain itu, saya edit sendiri artikel dan menjadi audio man, semua saya belajar.

“Selepas itu, ketika nama saya memuncak dengan kerja pengacaraan datang pula tawaran menyanyi. Saya pernah ditolak oleh sebuah syarikat rakaman sebelum itu sebab suara bukan sedap sangat pun kan…

“Apabila ada nama, syarikat tersebut juga yang datang semula menawarkan kepada saya. Mereka tahu saya tak boleh nyanyi kan. Jadi nampak bahawa kerjaya sebagai penyanyi tu bukanlah bersandarkan kepada suara semata-mata tapi nama populariti.

“Saya tidak terima tawaran itu, namun saya terima tawaran daripada sebuah syarikat rakaman dari Jepun. Namun apabila buat album dan hanya sekadar laku dan tidak menaikkan nama saya sebagai penyanyi.

“Selepas itu saya dipancing oleh syarikat perfileman pula sebagai pengarah. Semua ini berlaku secara semula jadi dan bukan dipaksa-paksa. Semua bermula setelah menjadi pengacara. Kalau tidak menjadi pengacara saya rasa peluang-peluang lain mungkin tidak masuk kot,” ujarnya.

Menurutnya, itu juga membuka peluang beliau menjadi penulis novel dan ruangan-ruangan dalam majalah.

“Itu semua adalah rezeki setelah kerja pokok saya berjaya… saya bukan ‘ghost writer’ seperti biasa orang buat. Saya tulis semua sendiri.

“Itulah kelebihan dan cerita disebaliknya,” katanya.

Namun disebalik kejayaan demi kejayaan, ada ‘harga’ yang dirinya perlu lunaskan sebenarnya.

“Harga yang perlu saya bayar adalah nama saya mungkin menjadi buruk disebabkan menyanyi tak berapa bagus, sedangkan saya dah ada nama sebagai seorang pengacara. Jadi bila saya mengarah filem , filem saya tak meletup tak sehebat yang sepatutnya. Bukanlah ini menggoncangkan nama saya telah bina kan.

“Jadi, dalam waktu mengejar menjadi pengacara, rumah tangga saya dilanda badai. Itu juga antara harga yang perlu saya bayar.

“Kami tidak bermula bercinta dan mendirikan rumah tangga pada latar belakang saya sebagai seorang pengacara dan bintang terkenal. Jadi perubahan berlaku dalam rumah tangga yang sudah tentunya kesesuaian berbeza apabila bersama dengan seseorang yang telah menempuh bidang yang lain.

“Lainnya, hari Ahad dah tak menjadi seperti sebelum ini, keluar pun dah tak ada keamanan akibat diserbu. Kemudian pada waktu yang sama sikit kesalahan dibuat dah ada orang report.

“Kehidupan tak macam dulu yang bebas kemana sahaja. Mungkin disebabkan itu dan faktor kesefahaman juga. Itu antara harga yang saya perlu bayar. Saya tidak pernah menyesal namun saya jadikan ia satu iktibar.

“Dan pada waktu yang sama, ia adalah punca rezeki yang sangat luar biasa,” ujarnya.

Baca juga Bantu masyarakat, TV Al-Hijrah beri kelainan menerusi Dengar

Iklan

Namun kata Pak Nil lagi, jika dirinya terlampau mengikut kata hati ketika itu, mungkin tiada Aznil Haji Nawawi ketika ini.

“Kalau saya ikut kata hati, tidak berfikiran rasional ketika itu, memang tak ada lah nama Aznil Haji Nawawi ketika ini.

“Saya mempunyai pendidikan Ekonomi, kalau apa-apa berlaku saya boleh kembali kepada bidang itu. Dengan sijil saya, boleh mohon kerja di bank. Dan kalau saya bekerja di bank ketika ini, kepakaran saya mungkin sudah bertambah-tambah mungkin telah menjadi seorang CEO di sebuah bank besar.

“Tetapi terdapat satu insiden yang terjadi… sebenarnya orang tahu nak menjadi bintang ini senang. Anda kena ingat semasa Pak Nil mula terlibat, saya mempunyai ibu, ayah serta ibu bapa mertua.

“Jadinya nama mereka harus saya jaga. Apa yang dibuat akan meninggalkan kesan kepada mereka. Keluarga kedua belah kena jaga.

“Inilah antara benda yang berlaku… kami tidak diasah dan dilahir untuk menjadi selebriti. Mengikuti disiplin seorang selebriti seperti tidak boleh keluar sesuka hati dan pakai baju sesuka hati.

“Banyak perkara perlu dijaga dan kadang-kadang ia tidak boleh diterima keluarga yang tidak faham bidang ini. Adik beradik saya pun ada yang bertanya bagaimana saya boleh melalui keadaan begini. Mental kena kuat,” katanya.

Perjalanan kerjaya seni beliau kini telah memasuki tiga dekad. Hampir 36 tahun itu tempoh yang panjang.

“Apa lagi saya nak ya? Saya sudah memiliki sebuah program yang mempunyai rating tinggi, saya sudah melalui pusingan program di musim kegawatan ekonomi, kerjaya jatuh, tidak mempunyai pekerjaan ‘back up’, hampir ‘lumpuh’ ketika itu.

“Kemudian muncul program Akademi Fantasia yang menaikkan semula nama saya. Alhamdulillah dan saya belajar bahawa makan gaji secara tidak sepenuh masa tidak menjamin masa depan.

Iklan

“Saya menjadi pengacara pertama negara apabila diminta menandatangani kontrak dengan stesen TV, saya minta kontrak jangka panjang. 10+10 tahun. Dan itu yang berlaku saya dengan Astro. Saya juga menjadi yang pertama diberi kontrak ekslusif bekerja dengan Astro sejak 2005,”ujarnya.

Pendek kata, keseluruhan isi cerita seorang figura bernama Aznil ini penuh dengan plot kehidupan yang berwarna-warni.

Sesungguhnya, kejayaan yang dikecapi sekarang bukan mudah seperti yang disangka oleh ramai pihak.

Semoga kecekalan dan bersemangat tinggi beliau dapat dicontohi anak muda sekarang dalam menempuh pelbagai liku dalam kehidupan.