ISU ‘persengketaan’ antara penyanyi rap, Caprice dan pendakwah, Ebit Lew berkaitan misi kemanusiaan di Gaza, Palestin mendapat perhatian ramai baru-baru ini.

Pelbagai pihak dikatakan kurang bersetuju dengan tindakannya memuatnaik bermacam-macam hantaran berbaur sindiran menerusi laman sosial Instagram.

Bahkan, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli juga memaklumkan akan ‘membongkarkan’ situasi yang berlaku pada 21 Julai ini.

Pun begitu, enggan berterusan memanaskan keadaan, hari ini penulis lagu berusia 32 tahun itu tampil menzahirkan kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam satu hantaran di Instagram.

Beliau mengakui kesilapan tersebut berlaku adalah kerana terlalu beremosi.

Pada masa sama, selebriti yang popular dengan tagline Bang! Bang! memaklumkan bahawa situasi berlaku berpunca daripada diri sendiri dan tiada kaitan dengan pihak lain.

Dalam hantaran sama, Caprice juga memohon maaf secara terbuka kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ebit.

“Salam Tuanku @hrhcrownprinceofjohor @hishammuddinhussein @ebitlew, Caprice mohon maaf atas kesilapan Caprice di mana kita terlalu emosi tentang pejuang demi ummah, demi Palestine dan demi rakyat Malaysia.

“Ape yang berlaku adalah kesilapan Caprice sendiri dan tidak terlibat pihak lain.

“Saya juga minta maaf kepada ibu dan ayah kerana membuatkan mereka risau mengenai keselamatan saya selama ini. Saya sayang kamu dan apa yang saya lakukan adalah untuk membuat kamu bangga,” tulis Caprice.

Baca juga ‘Saya Minta Maaf…’ – Caprice Nafi Alami Tekanan Perasaan

Sementara itu, penyanyi lagu Baby Sayang tersebut turut merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan, Kedutaan Malaysia di Mesir dan kerajaan Mesir di atas segala layanan, sokongan dan pelindungan keselamatan selama 24 jam sepanjang berada di negara berkenaan.

Sebelum menutup bicara, Caprice memaklumkan akan pulang ke Malaysia selepas segala urusan dan janjinya kepada warga Palestin dilunaskan.

Iklan

Susulan hantaran permohonan maaf itu rata-rata warga maya menyambut baik dan mendoakan Caprice sentiasa dilindungi dan segala urusan berjalan lancar.

Antara petikan komen netizen:
– “Orang yang hebat adalah orang yang meminta maaf dan akui silap.”

– “Ada hikmah setiap apa yang berlaku.”

– “Perkara yang paling susah untuk dilakukan adalah memohon maaf dan jika seseorang itu berjaya melakukannya, MASHALLAH.”

Iklan

– “Semoga dipermudahkan.”

– “Setiap berlaku ada hikmahnya, be strong, stay save. Balik Malaysia buka new chapter.”

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Caprice (@capriceofficial)