ALHAMDULILLAH, syukur ke hadrat ILAHI kerana dengan limpah dan kurnia-NYA, sekali lagi umat Islam di seantero dunia diberi peluang untuk bertemu dengan bulan penuh rahmat dan kebesaran dalam kalendar Islam.

Bukan sekadar melipat gandakan pahala, amal ibadah dan transisi tingkah laku ke arah yang lebih baik, saya percaya, setiap daripada kita pasti menyimpan pelbagai kisah menarik sepanjang menjalani ibadah puasa.

Begitu juga saya yang tidak ketinggalan mempunyai pengalaman berpuasa dan berbuka bersama rakan sekerja disebabkan perlu menyelesaikan tugasan, sama ada di studio ataupun di set penggambaran.

 

Baca juga: Apa dah jadi dengan awak 2 

Baca juga: Susah dan lewat bangun sahur ini cara terbaik bantu selesaikan masalah itu

 

Mengimbau semula perjalanan ketika menggalas tanggungjawab sebagai pengacara di sebuah stesen televisyen swasta sekitar tahun 1990-an, Ramadan akan menjadi bulan paling sibuk khususnya buat tenaga produksi dan selebriti.

Ini kerana pada waktu itulah, masing-masing saling berlumba-lumba untuk menyempurnakan rakaman program televisyen yang bakal bersiaran sepanjang Hari Raya Aidilfitri.

Boleh dikatakan ramai barisan artis popular ketika itu terlibat menjayakan rakaman tidak mengira sama ada rancangan komedi, nyanyian mahupun lakonan.

Lazimnya, proses penggambaran tidak hanya dilakukan di studio sahaja, malah beberapa destinasi seperti Pulau Langkawi, Kedah; Pulau Tioman, Pahang dan Tanjung Karang, Selangor turut menjadi pilihan demi mewujudkan suasana dan semangat kampung yang sebenar.

Biarpun set penggambaran diadakan di bawah terik matahari, tetapi saya bersyukur kerana sepanjang melaksanakan tugasan, saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menunaikan tanggungjawab Rukun Islam ketiga itu.

Segala penat lelah dan usaha bertungkus-lumus bagaikan terawat dengan kemeriahan berbuka puasa bersama kru produksi dan artis-artis lain yang terlibat.

Dalam pada itu, terdapat juga sesetengah artis yang kurang bertenaga atau kata mudahnya digelar sebagai Geng Plastik Hitam. Seperti biasa, disebabkan bulan puasa, sudah tentulah pihak produksi tidak menyediakan sebarang makanan pada waktu sebelah siang hari sehinggalah berbuka.

Namun, sebenarnya geng tersebut bukanlah hanya ‘kelaparan‘ semata-mata, tetapi pada masa sama, tidak tahan untuk merokok! Jadi, sebilangan daripadanya akan menjadikan kereta sebagai port untuk makan dan merokok secara sembunyi-sembunyi.

Meskipun ramai antara kami yang mengetahui akan perbuatan nakal mereka itu, namun masing-masing hanya mendiamkan diri dan menyimpan segala rahsia itu. Bak kata pepatah, biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.

Terpalit

Itu satu hal. Namun, terdapat juga sebilangan artis yang tanpa segan-silu makan dan merokok di kawasan terbuka ketika menjalani penggambaran di kawasan kampung sehinggakan dilihat oleh jiran tetangga.

Maklum sahajalah, kadangkala rakaman akan dibuat di rumah orang, jadi tentulah ada penduduk setempat yang datang melihat proses program berlangsung.

Perlu diingatkan, ketika itu, media sosial masih belum wujud lagi. Jadi, jika ada mata-mata yang melihat perkara itu, biasanya cukup sampai di situ sahaja. Mereka juga tidak memperbesarkan cerita.

Namun, apabila orang kampung melihat ‘adegan‘ sedemikian, mereka secara tidak langsung akan membuat tafsiran dengan melabelkan semua artis memiliki sikap yang sama.

Stigma sedemikian memang sukar untuk dielakkan dan secara tidak langsung ia telah memalitkan ‘lumpur‘ kepada artis lain dek kerana lumpur yang dibawa oleh ‘kerbau sekandang‘ itu.

Saya sendiri juga pernah berdepan dengan situasi apabila ada yang memerli apabila melihat saya bertenaga ketika bertugas. Sejujurnya saya berasa sedih, namun apakan daya.

Iklan

Perbuatan mereka itu terus berlanjutan sehinggalah sebuah stesen televisyen mengadakan program raya di taman tema, Sunway Lagoon, Selangor ketika bulan Ramadan.

Bagi yang pernah ke lokasi tersebut, mereka tahu, keadaan panas terik sememangnya menjadi satu cabaran terbesar buat individu yang terlibat menjayakan sesi rakaman.

Sekali lagi, sejumlah selebriti dengan selamba makan dan minum secara terbuka tanpa mempedulikan sesiapa yang memerhati. Hendak dijadikan cerita ketika itu, berita tersebut sampai ke pengetahuan wartawan.

Sudahnya, apa lagi, isu hangat tersebut disiarkan di dada akhbar dan menjadi cerita sensasi. Laporan secara terang-terangan menyebut, terdapat artis tidak berpuasa pada bulan Ramadan!

Berita itu pantas menarik perhatian Kementerian Penerangan pada waktu itu. Pihak kementerian kemudian mengeluarkan arahan supaya tidak membenarkan rakaman program raya dibuat pada bulan puasa lagi.

Lihat, ada hikmahnya di sebalik apa yang berlaku. Bermula daripada insiden berkenaan, mulalah era evolusi yang mana semua rakaman program raya perlu diselesaikan sebelum bulan puasa.

Maka, sebulan sebelum Ramadan, memang agak meriah kerana sesi rakaman atau fotografi majalah dan akhbar dapat diselesaikan lebih awal.

Iklan

Bagaimanapun, secara perlahan-lahan larangan berkenaan mula menjadi longgar semula. Ini kerana stesen televisyen mengambil inisiatif untuk membuat rakaman selepas waktu berbuka puasa pula.

Mengimbau semula kenangan itu, kita boleh melihat peralihan industri hiburan yang semakin matang, lebih-lebih lagi dengan adanya media sosial.

Platform digital telah menjadi tempat untuk golongan artis berkongsi aktiviti mereka sepanjang bulan Ramadan. Sebilangannya mengadakan majlis berbuka puasa, tadarus al-Quran, solat jemaah dan tarawih.

Melihat kepada revolusi itu juga, industri sekarang ini lebih berorentasikan amal dan ibadah yang sekali gus boleh memberi refleksi positif kepada peminat di luar sana. Adakah terdapat lagi Geng Plastik Hitam? Wallahualam.

 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI