Shidee berlapang dada terima kritikan

SHIDEE
SHIDEE
A
A
A

TIDAK gentar menyahut cabaran, penyanyi popular era 1980-an, Shidee sedia memberikan persembahan terbaik sepanjang bersaing dalam program Gegar Vaganza (GV) musim kelapan yang membuka tirai pada Ahad lalu.

Biarpun sudah lama tidak muncul mengadakan persembahan secara langsung di kaca televisyen (TV), pemilik nama sebenar Rashid Abdul Wahab itu berkata, dia tidak pernah berhenti menyanyi, sebaliknya masih aktif sebagai anak seni.

“Mungkin disebabkan orang tidak nampak saya di kaca TV, ada yang fikir saya sudah berhenti menyanyi dan tiba-tiba muncul di pentas GV8 untuk buat comeback.

“Sebenarnya sejak dulu saya tidak pernah meninggalkan bidang nyanyian kerana inilah kerjaya yang saya minati. Sebelum menerima tawaran menyertai GV8, saya mengadakan persembahan secara tetap di sebuah restoran dan menghiburkan pengunjung di sana.

“Insya-ALLAH semoga kesihatan saya dalam keadaan baik sepanjang pertandingan ini dan dapat memberikan persembahan menghiburkan buat peminat yang sudah lama merindukan kemunculan semula saya di pentas besar begini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shidee yang cukup dikenali dengan lagu Sayang Semuanya Sudah Terlambat mengakui tergerak hati menyertai program tersebut untuk menilai kembali kemampuannya dalam bidang nyanyian.

“Saya memang ada mengikuti perkembangan GV pada musim terdahulu dan tahu program ini ramai pengikut, selain memberi peluang baharu kepada ramai penyanyi yang lama tidak tampil di pentas terbuka.

“Jadi saya fikir mungkin ini adalah platform terbaik untuk menilai semula kemampuan saya menyanyi di pentas besar begini. Dulu saya popular pada era lain dan kini situasi berbeza.

“Jujurnya saya tidak kisah menang atau kalah kerana niat saya untuk sahut cabaran menyanyikan pelbagai genre lagu dalam program ini, sekali gus mendengar penilaian yang diberikan barisan juri profesional dan peminat sendiri,” katanya.

Berikan yang terbaik

Tambah penyanyi yang kini menginjak usia 62 tahun itu, biarpun mempunyai pengalaman lebih tiga  dekad dalam industri, dirinya sentiasa terbuka menerima teguran dan kritikan daripada juri kerana percaya ia mampu menjadi nilai tambah dalam persembahannya pada masa akan datang.

“Kita rasa sudah buat yang terbaik, tetapi jika ada kesilapan yang berlaku dan ia dapat dikesan oleh barisan juri mahupun penonton, kenalah terima dengan hati terbuka.

“Walaupun saya penyanyi senior, tetapi tidak semua persembahan yang dilakukan itu sentiasa sempurna. Ada ketika kita melakukan kesilapan tanpa disedari dan inilah masanya untuk memperbaiki kesilapan itu.

“Saya juga bersedia jika persembahan dikecam netizen di media sosial kerana ia lumrah pada era ini. Apa-apapun saya akan sentiasa memberikan yang terbaik,” kataya yang bakal melancarkan single terbaharu selepas GV8 berakhir.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca