BERJAUHAN dengan keluarga sudah menjadi satu perkara lumrah buat anak rantau yang berkelana di tempat orang. Demi mencari sesuap nasi, rasa rindu terpaksa dibenam jauh di lubuk hati.

Sama juga dengan wanita kelahiran Jitra, Kedah, Umi Izzati Hassan atau lebih popular dengan nama panggilan Tatty Hassan.

Boleh dikatakan sudah beberapa tahun beliau menyambut Ramadan sendirian. Biarpun sudah biasa, namun tetap juga muncul rasa pilu dalam hati apabila mengenangkan kemeriahan berbuka puasa bersama keluarga tercinta.

 

Baca juga: Uyaina, Syahiran berusaha curi waktu untuk berbuka bersama sepanjang Ramadan

Baca juga: Memori berpuasa zaman kanak-kanak mengamit kenangan Ramadan Fedtri Yahya

 

Namun, hal itu tidak sedikit pun berbekas pada dirinya kerana beliau sering ditemani oleh dua ekor kucing peliharaan bernama Don dan Henry.

Itulah yang menjadi penawar duka dan pengubat sepi di rumah. Boleh dikatakan sebagai terapi emosi, namun kadangkala si bulus bernama Don daripada Bengal boleh menyebabkan dirinya ‘naik hantu’.

“Saya memiliki dua ekor kucing British Shorthair (Henry) dan Bengal (Don) agak nakal dan boleh dikatakan hampir setiap kali ingin berbuka puasa, Don pasti akan berusaha untuk mencuri makanan dari dalam pinggan.

Tatty bakal menyambut Syawal di kediaman ahli keluarganya di Jitra, Kedah.

“Pernah suatu hari, selepas saya menggoreng ayam untuk sahur, minyak dalam kuali dibiarkan sejuk. Namun, alangkah terkejutnya apabila pagi itu saya melihat banyak kesan minyak bersama tompokan tapak kaki kucing di merata-rata tempat,” cerita beliau penuh semangat mengenai telatah mencuit hati haiwan kesayangannya yang berlaku pada Ramadan baru-baru ini.

Itu kisah di rumah. Di ofis pula, tugas sebagai peguam sedikit berbeza pada bulan yang mulia ini sebaik beliau menjadi rakan kongsi di firma Irwan & Athira.

“Alhamdulillah, kami dibenarkan untuk pulang awal dan kelonggaran itu memberi peluang kepada saya untuk mengatur waktu bekerja sendiri. Dalam bab memasak, memandangkan saya bujang, kadang-kadang saya ‘bertandang’ jua ke dapur. Selebihnya beli sahaja juadah berbuka di bazar,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor.

Menu seperti ayam percik, tongkeng ayam atau apa sahaja berkaitan ayam, selain tepung pelita, otak-otak atau yong tau foo, antara yang digemari pengamal undang-undang itu.

“Namun, tidaklah beli kesemuanya serentak kerana saya lebih suka makan satu menu sahaja bagi mengelakkan pembaziran,” ujarnya yang bakal menyambut Syawal di Jitra, Kedah.

Introvert

Sambil-sambil bercerita tentang Ramadan, Tatty turut berkongsi tentang perkara yang perlu ditempuhi sepanjang berada di ‘timbang-tara’ perundangan.

Sekiranya tidak mengenali susuk wanita berusia 30 tahun itu, pasti ada yang menyangka dirinya seorang yang sukar untuk didekati dan garang! Mungkin kerana bentuk wajah yang serius ditambah pula dengan ‘watak kerjayanya’ yang memang dikenali sebegitu.

Telahan tersebut bagaimanapun meleset kerana secara peribadi, Tatty gemar berjenaka dan ‘mudah terhibur’. Meskipun hanya dilontarkan ‘komedi’ ringan, beliau tetap akan tertawa riang.

Selesa sendirian di rumah, Tatty akui dirinya seorang introvert walaupun bergelar peguam.

Sifat yang ceria itu mungkin sedikit terlindung dengan personaliti introvertnya. Disoal jika diberi pilihan untuk berada di dalam kelompok ramai atau bersendirian, beliau nampaknya lebih senang memilih untuk kekal di rumah tanpa kehadiran sesiapa.

Namun, sayang seribu kali sayang, profesion beliau tidak memberi peluang untuk berbuat demikian. Berkhidmat sebagai peguam, Tatty perlu berinteraksi dengan ramai pihak dan tegas dalam membuat keputusan.

“Biasanya saya akan menggunakan banyak tenaga. Namun, apabila selesai sahaja urusan kerja, saya akan pulang ke rumah dan tidak bercakap apa-apa.

“Saya lebih cenderung buat hal sendiri dan tidak gemar keluar rumah kecuali hal penting atau ingin mendapatkan keperluan asas. Pada hujung minggu, saya gemar duduk (di rumah), menonton Netflix dan tidak berbuat apa-apa kecuali bermain dengan kucing,” katanya berterus terang.

Tambah beliau lagi, meskipun selesa melakukan hal secara solo tanpa perlu berkomunikasi dengan sesiapa, namun beliau tetap terbuka untuk mengenali mana-mana individu.

“Nak kata pemalu sangat itu tidak, cuma saya selesa bergaul dengan mereka yang sudah lama dikenali. Saya juga suka membuat kawan baharu dan tidak mempunyai masalah dalam pergaulan.

“Sejujurnya juga, saya kurang gemar untuk ke sebarang acara atau majlis yang dipenuhi dengan ramai orang. Saya lebih suka berada dalam lingkungan rakan-rakan yang kecil, tetapi berkualiti,” jelasnya bersahaja.

Hidangan ayam percik menjadi antara menu kegemaran Tatty ketika berkunjung ke bazar Ramadan.

Tolak persepsi & ‘teman serumah’

Perkongsian Tatty kemudian diteruskan dengan kisah percintaan. Adakah karakter diri memberi kesan dalam menjalin hubungan dengan bakal imamnya kelak?

Mengakui sedang dalam fasa mengenal hati budi seseorang, peguam yang aktif di media sosial itu enggan memanjangkan cerita selagi belum mendapat kata yang pasti.

Pun demikian, penulis terus mengusiknya dengan bertanyakan sama ada berpeluang untuk merasa nasi minyak dalam tempoh masa terdekat atau tidak?

Sambil tersenyum beliau menjawab: “Terserah kepada pihak di sana bagaimana? Insya-ALLAH sekiranya sudah jodoh tidak akan ke mana-mana.”

Melihat kepada ciri-ciri yang ada pada dirinya, persoalan adakah beliau berada dalam kategori wanita yang tidak gemar dikongkong terus ditebak.

Dengan tenang, wanita berkarisma itu meleraikan hal berkenaan. Ujar beliau, beberapa kenalan yang pernah mencuba untuk mendekati sering berasa takut kerana berpendapat dirinya seorang jenis keras kepala dan sentiasa ingin menang lebih-lebih lagi apabila mengetahui kerjaya yang sedang digalas.

Don (kiri) dan Henry menjadi penghibur Tatty di rumah.

“Minda mereka terus melabelkan hal-hal macam itu tanpa mengenali saya terlebih dahulu. Sejujurnya saya ini bukanlah serius sangat kerana di pejabat, saya tetap bergelak ketawa dengan yang lain,” tutur beliau.

Berbalik semula tentang kisah si bulus kesayangan, ‘teman serumahnya’ memiliki kisah menarik untuk diceritakan.

Kata Tatty, meskipun sesekali sifat nakal kucing peliharaan terserlah, namun beliau tetap menyayangi dan menjaga dengan penuh rasa cinta umpama menatang minyak yang penuh.

Mana tidaknya, segala kelengkapan makanan, minum dan bekas najis, semuanya bertaraf ‘T20’. Segala-gala berfungsi secara automatik tanpa perlu pengawasan manusia.

“Apabila keluar bekerja, ‘mereka’ akan duduk di rumah. Kedua-duanya juga tak suka berjumpa dengan orang asing dan bagi saya cara sebegini lebih mudah lagi selesa. Pernah sebelum ini saya menghantar ‘mereka’ ke hotel kucing dan pusat bergaya (grooming), tetapi Henry dan Don demam selepas pulang.

“Disebabkan enggan perkara sama berulang, saya biarkan sahaja di rumah. Jika pulang ke kampung terlalu lama atau ke luar negara, saya akanminta kenalan rapat untuk sesekali memeriksa keadaan mereka,” jelas beliau.

Meskipun comel pada mata, namun gelagat dua kucing tersebut pernah menduga kesabaran apabila Don sering memecahkan barangan di rumah dan kencing di merata tempat seperti sofa dan langsir.

“Saya pernah menangis ketika bercakap dengannya. Sudahlah penat bekerja di pejabat, balik pula rumah berselerak dan berbau hancing.

“Apa-apa pun saya bersabar sahaja kerana setidak-tidaknya ada kerja hendak dibuat di rumah,” selorohnya.
Sebelum ini, peguam itu pernah memiliki empat ekor kucing sebelum dua daripadanya dihantar ke kampung.

 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI