PENGHUJUNG tahun 2021 telah meninggalkan banyak momen yang merobek sanubari. Tidak cukup dengan kehadiran varian Delta dan terbaharu, Omicron, Malaysia dilanda musibah yang tidak pernah terlintas oleh sesiapa pun.

Mendengar kesedihan, meninjau kemusnahan, melihat kesungguhan masyarakat membantu tatkala bah membadai beberapa buah negeri, begitu meruntun perasaan.

Justeru, melangkah ke tahun 2022, masing-masing mengharapkan sesuatu yang lebih baik. Begitu juga dengan selebriti yang tidak asing lagi dan mempunyai jutaan pengikut menerusi Instagram, Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin.

Dalam diam tidak diam, Daiyan Trisha atau senang disapa sebagai Daiyan sudah hampir sedekad bergelar pelakon dan penyanyi. Tempoh tersebut membuatkan dirinya sudah semakin matang.

 

Baca juga: Daiyan Trisha ada alasan tersendiri jadi sukarelawan di PPV

 

Bagaikan menaiki anak tangga secara perlahan-lahan, namanya semakin mengharum. Ia bermula selepas empunya diri membintangi drama rantaian Projek: Anchor SPM.

Hampir 10 tahun dalam industri, Daiyan sudah faham tentang sepak terajang sebagai anak seni sebagai pelakon dan penyanyi.

Kepada penulis, Daiyan dengan penuh kesungguhan mengharapkan agar tahun baharu ini akan membuka lebih banyak peluang dan ruang untuknya beraksi di hadapan kamera.

Pun demikian, seiring dengan usia yang semakin matang, wanita berusia 28 tahun itu mengakui dirinya kini lebih selektif dalam memilih karakter.

Tujuannya bukan sekadar mahukan yang terbaik, tetapi ingin menjaga ‘jenama‘ dan portfolio seninya agar lebih berwarna-warni.

“Apabila umur kian meningkat, mustahil asyik membawa watak sama sahaja. Saya juga perlu menyahut cabaran untuk melakonkan pelbagai watak agar lebih variasi,“ ujar model dan jurucakap bagi pelbagai jenama tersohor dunia itu.

Pengalaman perit

Sebenarnya, ketika penulis mewawancara tuan punya badan, selebriti berkenaan baru sahaja pulih selepas disahkan positif Covid-19. Walaupun langkah berwaspada sangat dititiberatkannya, sudah ditakdirkan beliau menjadi mangsa juga.

Seperti orang lain, apabila dijangkiti, pelbagai perkara yang bukan-bukan bermain dalam pemikirannya. Setiap hari beliau menghitung hari. Daiyan juga tertanya-tanya, apakah yang akan berlaku pada hari esok? Bukankah virus bahaya tersebut mampu meragut nyawa sesiapa pada bila-bila masa sahaja?

Daiyan menjadikan ibunya, Samsiah Mohd Nor sebagai idola dan inspirasi dalam penulisan beliau.

Ketika menceritakan pengalaman menakutkan itu, nada suara Daiyan kedengaran tenang di corong telefon.

“Sejujurnya saya memang terkejut dan tidak menyangka (dijangkiti). Ini kerana saya fikir hanya demam biasa disebabkan keletihan berkerja. Syukur keadaan saya tidak terlalu teruk dan berada pada tahap sederhana. Disebabkan itu, doktor memberi saranan agar saya menjalani kuarantin kendiri di rumah saja.

“Namun, dalam tempoh dua minggu itu, saya tidak hanya berehat semata-mata. Pelbagai perkara saya lakukan, antaranya aktif melakukan senaman dan aktiviti-aktiviti mengeluarkan peluh. Saya buat itu semua atas syor doktor juga.

“Orang kata jangan layan sangat sakit itu. Saya juga akui memang boleh ‘gila‘ kerana terkurung di rumah dan tak boleh ke mana-mana. Apa-apapun saya sangat berterima kasih kepada mereka yang memberikan makanan dan sokongan moral sepanjang melalui detik yang tidak terduga itu,“ kata penyanyi lagu Penat itu.

@tulisanbydaiyantrisha

Tahun 2021 nampaknya menyimpan beberapa perkara yang membuatkan hati Daiyan menjadi tidak keruan.

Bukan sahaja virus korona yang menghimpit sanubari, ceritera tentang pengakhiran cintanya bersama lelaki yang disayangi sekitar Ogos tahun lalu juga memberi tamparan kepada kehidupan beliau.

Tegas Daiyan, perit memang perit, namun segala pahit maung yang pernah direntas biarlah berlalu dan tidak perlu diungkit lagi. Emosi dan keadaan mental yang kurang stabil turut mahu dilempar sejauh mungkin.

Katanya, memasuki tahun baharu, beliau enggan menoleh ke belakang, sebaliknya akan mengatur kemas langkah dengan azam yang lebih jitu.

Berbanding terus mencari cinta, anak kelahiran Selangor itu berazam mahu lebih serius membina kerjaya.

“Sudah cukup, tiada yang perlu dibahas. Sekiranya kita memaksa hal yang tidak mungkin berlaku, ia tetap tidak akan terjadi. Saya reda dan berlapang dada. Percayalah dengan qada dan qadar ALLAH bahawa setiap daripada kita sudah ditentukan takdir atau jodoh masing-masing.

“Saya sendiri tidak mempunyai sebarang perancangan untuk berkahwin pada usia muda, apatah lagi terburu-buru untuk mendirikan rumah tangga sebelum umur 30 tahun. Siapa tahu, mungkin bulan depan atau bulan akan datang saya berkahwin?,“ tuturnya lembut.

Bagi merawat duka lara, Daiyan memiliki cara tersendiri untuk mengubatinya. Barangkali sedikit berbeza dengan orang lain. Beliau meluahkan isi hati yang terbuku ke dalam puisi indah ciptaannya!

Bakat berkenaan diwarisi daripada ibunya, Samsiah Mohd Nor. Benar kata bidalan, mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi.

 

Baca juga: Saya minta maaf kepada yang jadi kontak rapat Daiyan Trisha positif Covid-19

 

Kepada mereka terutamanya penggemar novel, pastinya cukup kenal dengan nama Samsiah yang sudah menghasilkan puluhan buku. Antara yang paling dikenali ialah naskhah bertajuk Tangisan Bulan Madu dan Bulan Berbisik.

Tidak terlalu mengharapkan cinta, Daiyan tidak pernah meletakkan harapkan untuk berkahwin sebelum mencecah usia 30 tahun.

Ah, tatkala kami berbicara tentang bab penulisan, intonasi suara Daiyan yang sebelum ini perlahan temponya, bertukar menjadi ceria dan rancak.

Cerita Daiyan, sejak di bangku sekolah lagi, minat menulis sudah tertanam dalam dirinya. Segala aksara kata yang terkumpul di dalam benak, pasti akan ditumpahkan ke dalam sebuah blog peribadinya.

Beliau juga mula menulis beberapa petikan kata pendek yang kemudiannya disusun sehinggalah menjadi puisi. Segala hasil tulisan turut dikongsikan di laman Instagram, @tulisanbydaiyantrisha.

“Kalau dicongak kembali, @tulisanbydaiyantrisha dibuka sekitar tahun 2019. Sejujurnya sebelum itu, saya hanya berkongsi puisi pendek. Apabila ramai yang suka dan memberi respons positif, barulah saya membuka akaun Instagram khas itu.

“Lagipun orang sekarang juga gemar penulisan puisi. Pada saya, ia sesuatu yang bagus terutama untuk pendidikan termasuk penggunaan prosa bahasa,“ kata anak seni yang jelita dan bijaksana itu.

Beritahu Daiyan, kelazimannya, beliau akan semakin galak menulis ketika sedang bersedih atau beremosi.

“Apabila sedang pada fasa sebegini, saya dapat merasakan ‘frekuensi“ kesedihan mendominasi emosi, sekali gus melahirkan lebih banyak idea untuk menulis,“ terang pelakon filem Busker itu seraya ketawa.

Penguasaan bahasa Inggeris

Terlanjur bercakap soal pendidikan, perbualan singkat penulis bersama Daiyan kemudian beralih kepada penguasaan bahasa Inggerisnya yang disifatkan sangat cemerlang.

Jika tidak, mustahil anak seni berbakat besar itu diundang mengacara banyak program dalam bahasa antarabangsa itu.

Biarpun dilihat seakan dilihat menyanjung bahasa penjajah, Daiyan berpendapat, penguasaan bahasa Inggeris terutama dalam kalangan siswazah merupakan satu pendekatan yang sangat signifikan.

Bukan bermaksud mahu membelakangkan bahasa ibunda, tetapi pendekatan itu secara tidak langsung memudahkan seseorang mempelajari dan menimba pengalaman terutama di negara luar, ungkap Daiyan bersungguh.

Biarpun Daiyan sangat meminati bidang muzik, namun penyanyi berusia 28 tahun itu tetap mementingkan pendidikan.

Tidak dinafikan akan ada pandangan yang menyebut ‘apa bagusnya bahasa Inggeris? Cuba lihat negara moden lain seperti Jepun, China dan Korea Selatan, mereka tidak menitikberat soal bahasa Inggeris, tetapi masih boleh maju.‘

Sebaik mendengar kata-kata berkenaan, secara tiba-tiba Daiyan menjadi bertambah bersemangat dan lagaknya tidak ubah seperti seorang tokoh politik yang berhujah di parlimen!

“Ya! Memang benar negara-negara tersebut maju tanpa ada bahasa Inggeris, tetapi kemajuan yang disebabkan perkembangan teknologi di negara masing-masing berkembang dengan pesat dan sangat mengagumkan. Bahkan, masyarakat dunia sendiri menjadikan mereka sebagai contoh, selain berusaha mempelajari budaya mereka.

“Pada pandangan saya, itu adalah satu perbandingan yang tidak adil dan tidak munasabah. Teknologi Malaysia sudah ke hadapan, namun masih belum cukup jika ingin dibandingkan negara-negara yang disebutkan tadi. Mereka sebenarnya juga turut mempelajari bahasa Inggeris, tetapi kurang fasih sahaja,“ ulasnya.

Pada perspektif graduan Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan juga, penguasaan bahasa Korea juga menguntungkan dan mendatangkan manfaat lebih-lebih lagi ‘kegilaan‘ dunia dengan karya muzik, filem dan drama dari negara itu semakin mencanak naik.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram