Bukan sekadar penginapan — ini staycation bergaya di puncak awan dengan suasana ‘wow’ di setiap sudut


ADA sesuatu yang magis tentang percutian di puncak awan. Bayangkan anda meneguk kopi panas sambil menyaksikan kabus putih berarak perlahan di celah gunung, jauh dari hiruk-pikuk kota.
Di sinilah letaknya 1001 Nights Hotel Genting Highlands, di bawah jenama Trademark Collection by Wyndham, hotel bertema tertinggi di Malaysia yang menjanjikan pengalaman mewah, unik dan penuh fantasi.
Terletak kira-kira 6,000 kaki dari paras laut, hotel ini bukan sekadar tempat menginap, tetapi sebuah dunia imaginasi yang dihidupkan dengan rekaan dalaman eksklusif, pemandangan dramatik dan sentuhan kisah dongeng.
Setiap ruang terasa seperti babak dalam cerita, dari lobi berkilauan hingga bilik yang direka mengikut tema yang berbeza.

Masuk sahaja ke bilik, anda seolah-olah melangkah ke alam lain. Ada bilik bertemakan Fairy Tales, Alice in Wonderland, Panda, malah Sun Wukong Suite yang diinspirasikan daripada legenda klasik China.
Setiap satunya menampilkan hiasan unik, warna ceria dan pemandangan gunung yang menenangkan. Tiada satu pun bilik yang sama, menjadikan setiap penginapan di sini satu kisah baru yang berbeza setiap kali.
Bagi yang ingin berehat sepenuhnya, jangan lepaskan peluang ke Areõma Boutique Spa di aras 13. Inilah spa tertinggi di Malaysia, menawarkan urutan badan penuh, refleksologi kaki, terapi jakuzi dan rawatan tandatangan untuk kesegaran semula.
Bayangkan menikmati urutan sambil mendengar desiran angin gunung dan udara sejuk yang menyegarkan selain menenangkan minda dan jiwa.
Tertinggi di Asia Pasifik
Selepas itu, anda boleh menjamu selera di Ambrosia, restoran utama di aras 12 yang menyajikan hidangan Asia-fusion dari pagi hingga malam.
Bufetnya kaya pilihan, dan suasana makan malam diiringi panorama Genting yang berkabus cukup romantik untuk pasangan mahupun keluarga.
Jika mahu bersantai santai, Cloof Caffè & Bar di lobi menawarkan kopi, pastri dan kudapan ringan dengan suasana kasual yang mengundang perbualan santai.

Sementara itu, buat kalian penggemar piza, The Majestic Pizza di aras 12 wajib di singgah. Di sinilah anda boleh menikmati piza dibakar kayu dengan kerak rangup, topping penuh rasa, serta aroma yang memikat seisi ruang.
Ia beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 9 malam, sesuai untuk makan tengah hari santai atau kudapan lewat petang.
Namun, kemuncak pengalaman di sini semestinya di Hard Rock Cafe Genting Highlands, yang juga merupakan Hard Rock tertinggi di Asia Pasifik.
Terletak di aras 50, ia membawa suasana muzik dan tenaga ikonik ke awan dengan menu terkenal seperti Legendary Burgers, rusuk salai, koktel istimewa dan persembahan muzik live.
Betul-betul di sebelahnya pula ialah Souper Hot, Yunnan Steamed Stone Pot Restaurant.
Untuk pencinta pemandangan dan fotografi, Hoverland Genting Highlands pula wajib dikunjungi.
Terletak lebih 6,100 kaki dari paras laut, dek pemerhatian ini menawarkan panorama 360 darjah dengan pelbagai zon menarik seperti Stairway to Heaven, Riser Deck dan Rhythm at the Sky.

Setiap sudutnya bagai dicipta untuk lensa kamera, memukau dari pagi hingga senja. Dengan kombinasi seni bina, cahaya dan bunyi menjadikan suasananya luar biasa.
Hotel ini juga tidak melupakan keluarga. Terdapat kolam renang infiniti dan kolam air panas dalaman dengan pemandangan banjaran Titiwangsa, bilik permainan kanak-kanak, teater mini serta pusat kecergasan lengkap dengan sauna dan bilik wap.

Sama ada anda mahu bersantai atau aktif, semuanya ada di bawah satu bumbung.
Apa yang menjadikan 1001 Nights Hotel istimewa bukan sekadar ketinggiannya, tetapi cara ia 'menghidupkan cerita'.
Inilah lokasi anak-anak boleh berimaginasi, ibu bapa boleh berehat dan setiap detik terasa seperti babak dalam kisah dongeng moden.

Andai anda mencari destinasi percutian yang menawarkan keindahan semula jadi, kemewahan bertaraf antarabangsa dan sentuhan magis yang sukar dilupakan, inilah tempatnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
