Glamping dalam ‘bilik padi’, kafe viral & view sawah – percutian paling win di Sekinchan!
PERCUTIAN magis di tengah sawah dengan bonus pemandangan matahari terbit dan terbenam!
Malah tangga infiniti ke langit antara rebutan ramai.
Mi Le Garden antara pilihan destinasi pelancongan terapi di Sekinchan, Sabak Bernam, Selangor yang menawarkan panorama sedemikian buat pencinta alam.

Bayangkan setiap kali bangun pagi, latar alam yang hijau menguning menjadi halwa mata yang cukup mendamaikan sehingga boleh membuatkan kita lupa dengan kesibukan kota.
Uniknya penginapan yang diusahakan anak jati Sekinchan, Lim Bau Kuee atau dikenali dengan gelaran Bos Andy bukan sekadar resort semata-mata, tetapi lebih daripada itu.
Reka bentuk sembilan resort yang mengelilingi kolam penuh ikan diilhamkan daripada bentuk butir padi yang menjadi signatur ikonik daerah yang terkenal sebagai salah satu pengeluar padi negara.
Berkongsi lebih lanjut, pengurusnya, Leong Wei Kin atau mesra disapa Chloe memberitahu, semua konsep seni bina kreatif tersebut adalah inspirasi Bos Andy sendiri yang mahukan kelainan.

“Kami mahu tonjolkan keistimewaan Sekinchan yang terkenal dengan tanaman padi.
“Malah, setiap resort yang boleh memuatkan 12 hingga 20 orang itu mempunyai dekorasi dalaman dengan kejutan manis buat si kecil,” katanya kepada SinarPlus.
Mana tidaknya, bilik tidur di ruang terbuka tingkat atas dengan konsep ala perkhemahan indoor, ditambah tingkap gergasi pasti membuatkan pengunjung cilik teruja.

Ujar Chloe, ruang santai yang luas dengan kelengkapan penuh seperti tilam, khemah dan pencahayaan ambien menjadikan ia ruang selamat untuk berkhemah.
“Jangan risau, ruang bawah serba lengkap dengan kemudahan tandas, dua bilik tidur dan balkoni berdepan kolam ikan. Jadi, memang mesra warga emas buat mereka yang mempunyai keluarga besar.
“Selain mandi-manda di kolam berlatarbelakangkan sawah padi, penginap juga boleh menggunakan kemudahan basikal secara percuma,” kongsinya yang memulakan operasi sejak tahun 2022.

Sekiranya kalian mahukan suasana berbeza, bolehlah cuba tiga kamar berkonsepkan glamping yang boleh memuatkan hingga empat orang di tapak perkhemahan terbuka.
Pengunjung juga boleh menikmati secangkir kopi latte matcha, mangga ais blended dan pencuci mulut viral di Mi Le’ Cafe yang berkonsepkan retro klasik.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

