JKKN terus kukuh budaya rakyat melalui TEGAK 2025- Gulai tempoyak, gamelan & wau bercahaya. Rare & penuh rasa!

No Image Caption
A
A
A

BAYANGKAN suasana di tebing sungai dengan bunyi gamelan sayup-sayup kedengaran, lampu pelita menyala indah dan aroma gulai tempoyak menari-nari di ruang udara.

Itulah antara pengalaman magis yang menanti anda di Temasya Tranung Kite (TEGAK) 2025 yang bakal menggegarkan Pulau Warisan, Kuala Terengganu bermula 8 hingga 10 Ogos ini.

Acara yang berlangsung selama tiga hari itu bukan sekadar pesta seni dan budaya biasa, tetapi satu perayaan gaya hidup orang pesisir Pantai Timur yang diangkat dalam cara yang cukup segar dan berjiwa.

Dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu, TEGAK 2025 membawakan tema “Sohor Sokmo Weh” yang meraikan keunikan gaya hidup masyarakat pesisir sungai Terengganu dalam suasana penuh warna, nostalgia dan sentuhan moden.

Program tersebut disusun rapi dengan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga seperti persembahan budaya, zon permainan rakyat, pertandingan wau, sukan air, mini zoo dan pertunjukan perahu panjang.

Ada juga pameran gajah, cabaran kayuhan stand up paddle dan aktiviti seni kreatif kanak-kanak. Walaupun memang padat, namun happening habis!

Pada waktu malam pula, Pulau Warisan akan bertukar menjadi pentas terbuka dengan lampu-lampu pelita dan wau bercahaya menghiasi suasana.

Bukan setakat cantik untuk bergambar, malah memberi suasana yang cukup kuat tentang bagaimana budaya tradisional boleh diraikan dengan penuh bergaya.

Acara kemuncak TEGAK 2025 akan berlangsung pada 9 Ogos jam 5 petang, dengan perasmian oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, YB Datuk Razali Idris.

Majlis perasmian berkenaan bakal dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada artis-artis popular tanah air seperti Kumpulan Khalifah, Ucop Buskers dan Salim. Memang pasti meriah sampai ke malam!

Lebih menarik lagi, semua itu boleh dinikmati secara percuma. Jadi, kalau anda mahu healing sambil mengenal warisan budaya sendiri, inilah tempat dan masanya.

Ayuh, ajak kawan atau bawa satu keluarga terus ke Pulau Warisan. Penuhkan feed Instagram kalian dengan vibe “kampung moden” yang rare, unik dan penuh cerita.

Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang tentatif program atau maklumat rasmi, boleh terus ke laman media sosial JKKN Terengganu. Apa tunggu lagi? Pakat mai belaka, kita gegarkan TEGAK 2025 sama-sama. Sohor sokmo, weh!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang