Lawan ketakutan dalam diri, sahut aktiviti lasak dan ekstrem di Selangor jer. Check list set!
PELUANG mengintai keindahan dan meneroka lokasi menarik di Selangor antara pengalaman yang menggembirakan penulis.
Selain SinarPlus, terdapat 12 lagi rakan media dan pempengaruh yang turut menerima jemputan khas pihak Tourism Malaysia.
Program inilah masanya cuti-cuti Malaysia 'Dekat-dekat Selangor je' telah berlangsung selama empat hari bermula 24 Ogos yang lalu.
24 September 2024: Pengembaraan bermula
- Bergerak dari Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC).
- Tiba di Sekolah Orang Hutan yang terletak di Gombak, Selangor.
Sepasang suami isteri iaitu Mejar (B) Kalam Pie dan Prof. Madya Dr. Norzalifa Zainal mengambil berat dalam mewujudkan program Jungle School Gombak Malaysia (JSGM) untuk orang ramai mempelajari ilmu dan kemahiran Orang Asli di negara ini.
Lelaki dengan latar belakang sebagai keturunan Orang Asli suku Semalai dari Negeri Sembilan itu bertekad membantu masyarakatnya memelihara tradisi yang telah diwarisi.
Penulis terpesona dengan pengalaman menghidupkan api menggunakan gobek api iaitu salah satu alat tradisional yang kerap digunakan oleh Orang Asli Semalai.
Sungguh menakjubkan!
Makan tengahari yang disediakan oleh suku Mah Meri dan Temiar cukup luar biasa.
Hidangan dimasak dalam buluh mengikut resipi warisan. Rasa dan aroma masakan itu sangat memikat selera, apatah lagi bila menikmatinya di tepi sungai.
Kami juga berpeluang belajar cara menganyam atap seperti Orang Asli suku Temiar dan merasai pengalaman menggunakan sumpit. Pengalaman tersebut tidak dapat dilupakan!
- Penulis seterusnya di bawa ke Gamuda Luge Garden yang terletak di Sungai Buloh Utara, Selangor dan perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit dari destinasi pertama.
Bayangkan, di Sungai Buloh Utara terdapat kenderaan tanpa enjin yang dipacu oleh daya graviti bagi membawa keseronokan meluncur di tiga laluan mencabar dan memasuki terowong yang penuh dengan lampu kecil (LED) berwarna-warni.
Anda boleh merasai sendiri pengalaman berpusing 360 darjah dari ketinggian 50 meter apabila mencuba Eye of Gardens. Lebih membanggakan, ia turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.
- Setelah menghabiskan sepenuh tenaga dengan aktiviti menyeronokkan itu, penulis bermalam di Ibis Styles Kuala Lumpur Sri Damansara.
25 September 2024: Hari kedua
Pada hari kedua pengembaraan, penulis dan rakan-rakan di bawa ke Paragliding @ KKB Paragliding Park untuk mencuba aktiviti sukan udara dan cuba terbang menggunakan payung terjun.
Sebelum menggapai awan, penulis dibawa naik ke puncak bukit Batu Pahat dengan kenderaan pacuan empat roda (4WD), menempuh jalan yang mencabar dan sempit selama lebih kurang 10 minit.
Juruterbang, Aqilluddin menasihatkan kami supaya berlari sekuat hati untuk mencipta momentum sebelum meluncur dari ketinggian 1,400 kaki.
Ketika kaki tidak lagi menjejak tanah, angin yang menghampiri tubuh seperti satu pelukan alam.
Kelihatan pemandangan Kuala Kubu Bharu yang terbuka luas, seolah-olah permaidani hijau terbentang di bawah kaki.
Selama hampir 10 minit, penulis dapat menyaksikan keindahan Banjaran Titiwangsa sebagai sebuah banjaran yang menganjur dari wilayah-wilayah Songkhla, Yala dan Narathiwat di selatan Thailand hingga ke Tampin di Negeri Sembilan, Semenanjung Malaysia.
- Sejurus selesai, penulis dibawa untuk mencuba masakan istimewa di Cafe Resepi Opah dekat sekitar pekan Kuala Kubu Bahru (KKB).
- Kedai makanan tersebut menyediakan hidangan masakan kampung yang membangkitkan selera selepas meluncur di udara.
- Akibat hujan lebat pada waktu petang, pengembaraan ke Santuari Ikan Sungai Chiling terpaksa ditangguhkan susulan air deras yang boleh membahayakan keselamatan.
- Kami dibawa bersiar-siar di daerah Hulu Selangor untuk melihat kecantikan mural gergasi di Lorong Seni dan Pelancongan KKB.
- Pengembaraan hari kedua sudah sampai ke penghujungnya dan penulis menginap di Fraser Valley Kuala Kubu Bahru dengan bertemakan ala-ala glamping.
26 September 2024: Hari ketiga
Sudah bosan dengan hiking, wall climbing, atau berendam di air sungai? Jom kita cuba aktiviti rafting!
Salah satu lokasi terbaik di Selangor adalah di Kuala Kubu Baru, yang terletak di Hulu Selangor. Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam dari Shah Alam.
Penulis melalui beberapa jeram mencabar dengan pelbagai tahap kesusahan dari Gred 2 hingga Gred 4.
Gred 2 sangat sesuai bagi pemula kerana aliran airnya lebih tenang. Sementara Gred 4 menjanjikan pengalaman mendebarkan.
Aktiviti arung jeram bergantung kepada aliran air dari empangan sungai Selangor. Jika air tidak dilepaskan, mungkin pengembaraan ini terpaksa ditangguhkan.
Penulis amat bertuah pada hari itu kerana dapat meneruskan aktiviti tersebut!
Monkey Canopy Resort
Di sini, penulis menemukan taman air yang mengujakan dan penginapan mewah yang dikelilingi hutan.
Berlokasi di Sungai Long, Kajang, penulis turut berpeluang mencuba permainan Esports Virtual Arena (EVA).
Penulis seperti berada di dunia pertempuran sebenar apabila dilengkapi dengan peralatan realiti maya (VR) berkualiti tinggi serta moden.
Arena yang direka khas untuk permainan VR membolehkan pemain merasai pengalaman bermain video dengan cara yang paling nyata dan bebas bergerak di ruangan berskala 4,300 kaki persegi.
- Tirai pengembaraan hari ketiga ditutup dan penulis berehat di atas katil empuk yang disediakan oleh Hotel Dorsett Putrajaya.
27 September 2024: Hari Terakhir
Menjanjikan keseronokan maksimum melalui aktiviti flying fox, leap of faith, abseiling, dan wall climbing. Itu yang ada di Putrajaya Wetland Adventure Park (PWAP).
Walaupun sedikit gementar ketika mencuba flying fox berukuran 420 meter merentasi tasik, tetapi demi sebuah video menarik di Instagram, penulis sanggup melakukannya!
Bukan itu sahaja, ada juga cabaran leap of faith yang menguji keberanian selain abseiling setinggi 13 meter! Wall climbing setinggi 10 meter juga wajib dicuba dengan lima tahap kesukaran dan dua laluan berbeza.
- Sebelum pengembaraan berakhir penulis sempat meninjau Putrajaya dan mengambil kesempatan menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan.
- Boleh dikatakan penulis mencuba hampir kesemua aktiviti yang disusun Tourism Malaysia dan berjaya melawan rasa takut dalam diri.
- Cukup menyeronokkan dan mencipta memori bersama selain mengeratkan hubungan sebagai media serumpun.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang