Dari trak makanan hingga 4 premis, Padangs On Wheels sajikan 70 menu Padang asli dari resipi tradisional dari Sumatera

No Image Caption
A
A
A

BOLEH rambang mata dibuatnya apabila lebih 70 menu masakan asli Padang, Indonesia yang terkenal dengan keunikan rasa sambal dan kaedah pembikinan terhidang depan mata.

Lagi buat ramai teruja, setiap sajian ditawarkan masih mengekalkan keaslian rasa masyarakat etnik nusantara tersebut walaupun anda berada di Malaysia.

Itu antara tarikan yang ditawarkan Padangs On Wheels yang diusahakan pasangan adik beradik, Abjda Zulkifli, 48, dan Sukinah, 46, bersama rakan kongsinya, Farrah Adeeba Mohamed Ashraf, 46.

No Image Caption

Antara masakan laku keras, gulai tunjang, dendeng rangup, rendang Minang dan gulai ayam kalio dengan cita rasa tersendiri menjadi rebutan pelanggan.

Dendeng rangup, misalnya antara menu premium yang dibikin menerusi proses yang rumit dan berkos tinggi. Padanlah dengan harga yang ditawarkan memang berbaloi.

Berkongsi keistimewaan kesemua kulinari enak tersebut, Farrah Adeeba akui, setiap rencah bubu asli diimport khas dari tanah Sumatera Barat.

No Image Caption

“Resipi warisan daripada nenek Abjda dan Sukinah yang datang berhijrah ke Malaysia sejak 1930-an itu menjadi formula rahsia keenakan setiap hidangan.

“Lagi satu, selain persembahan makanan tip top, kami juga menitikberatkan soal kebersihan premis kerana percaya itu antara daya pemikat untuk pelanggan terus datang,” katanya kepada SinarPlus.

Cukup membanggakan apabila idea jualan hanya bermula daripada trak makanan pada tahun 2015 itu berkembang maju sehingga empat premis berjaya dibuka kepada umum.

No Image Caption



Promosi teh tarik percuma

Tatkala ditanya bagaimana ilham bernas itu tercetus, pengacara televisyen versatil itu memberitahu, ikatan persahabatan yang terjalin 15 tahun dalam bisnes fesyen membuatkan mereka mahukan sesuatu kelainan.

“Dunia fesyen dengan selera yang sentiasa berubah membuatkan kami perlu banyak travel ke luar negara. Jadi, masa untuk keluarga khususnya anak yang sedang membesar cukup terhad.

“Sebab itu kami cuba berubah angin dan tak sangka, ramai peminat nasi Padang. Bila lihat trend orang suka makan dan lepak sambil menikmati hidangan membuatkan kami lebih berani membuka outlet pertama dan alhamdulillah sambutan cukup menggalakkan,” katanya.

Suri hati kepada Muhammad Rafique Rashid Ali, 47, itu juga mempelawa orang ramai untuk mencuba 18 menu sarapan terbaharu yang diperkenalkan sejak tiga bulan lalu.

No Image Caption

Antaranya, Nasi Uduk Telur Berlado, Nasi Lemak Ayam Bumbu, Bakso Bom, Lontong Sotong, Roti Bakar Ayam Kalio, Big Breakfast dan Roti Choco Cheese.Menarik tentang Big Breakfast, set yang ditawarkan merangkumi nasi lemak, nasi uduk, soto, bakso, telur separuh masak dan roti bakar kaya yang boleh dinikmati empat hingga lima orang.

“Pelanggan juga boleh tambah lauk lain mengikut selera masing-masing. Jangan lupa rebut promosi teh tarik percuma jika berkongsi gambar dengan menu kami di media sosial,” saran Farrah Adeeba.

No Image Caption

Untuk tempahan majlis privasi melibatkan lebih 100 tetamu, graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang itu juga menawarkan ruang khas di setiap premis sama ada di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Konsep makanan bufet dengan lebih 100 pilihan lauk pasti membuatkan anda puas hati. Jika mahu tempahan katering untuk 5,000 tetamu majlis perkahwinan juga kami boleh sediakan,” ujarnya menutup perbualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang