Tengah trend laksa siam! Teringin nak cuba boleh buat sendiri guna resipi ni

No Image Caption
A
A
A

LAKSA antara menu yang popular di Asia Tenggara. Di Malaysia, setiap negeri mempunyai keunikan rasa dan jenis tersendiri untuk makanan ini. Apatah lagi di negara jiran kita, Thailand.

Laksa Siam tular di media sosial kebelakangan ini. Orang ramai bukan sekadar berkongsi resipi, malah turut menjual hidangan tersebut.

Tidak terkecuali, pempengaruh terkenal, Cikgu Garang atau nama sebenarnya, Hasnah Saidin turut menjadikan juadah tersebut sebagai punca pendapatannya.

"Orang yang selalu berjalan ini, automatik akan menjadi seorang yang suka makan. Disebabkan kerap ke Thailand dan makan sendiri laksa Siam di sana, kita boleh rasa keunikannya.

"Bila balik, cerita pada kawan-kawan dan keluarga, mereka tertanya-tanya bagaimana rasanya sehingga cari di ekspo makanan dari negara seberang itu.

"Justeru, saya cuba buat dan rata-rata memuji keenakan hidangan yang disediakan.

"Dari situlah bermulanya saya menjual menu laksa Siam," katanya.

No Image Caption

Bertanyakan perbezaan laksa Siam dengan yang sedia ada di negara ini, laksa dari Thailand itu katanya mempunyai lebih banyak bahan.

"Laksa Siam seakan-akan laksa lemak. Cumanya laksa lemak menggunakan ikan, santan, bawang dan halia berbanding laksa Siam mengandungi pelbagai jenis ulam serta herba," jelasnya yang akan meneruskan jualannya selagi ada permintaan.

Sajian baharu

Wanita berusia 51 tahun itu juga seorang tenaga pengajar untuk kelas fizikal dan juga dalam talian.

Sebagai peniaga, Hasnah berkata, perniagaannya sudah beroperasi hampir 20 tahun, manakala kelas masakan pula sudah 13 tahun.

"Pada mulanya saya mengadakan kelas fizikal sepenuhnya. Selaras dengan perubahan trend, saya buka pula kelas secara dalam talian menerusi laman sosial Facebook.

"Dalam kelas berbayar, saya fokus pada perincian seperti menyediakan resipi dengan sukatan tepat termasuk garam dan gula.

"Itu membuatkan peserta sanggup datang dari jauh termasuk dari luar negara seperti Singapura, Brunei, dan Arab Saudi," ujarnya yang turut menjual makanan dan produk lain.

Mengulas tentang perancangan akan datang, Hasnah mahu fokus mengkomersialkan secara maya mengikut trend semasa seperti orang lain.

No Image Caption

No Image Caption

Resipi Laksa siam

Bahan kuah:

1 kilogram ikan selayang / kembung

1 biji bawang merah**

1 biji bawang putih*3 keping asam gelugur*

Air tenggelam ikan**

1 biji santan segar atau kotak

6 ulas bawang merah

3 ulas bawang putih

1 inci halia

1 inci lengkuas

2 ketul kunyit

4 batang serai

1 sudu kecil biji lada hitam

10 tangkai cili api

1 inci belacan

1 genggam daun selasih

5 helai daun limau purut

Bahan perasa (gula, garam dan serbuk perasa)

No Image Caption

Bahan ulam:

Kacang panjang

Daun laksa

Bunga kantan

Timun

Taugeh

Cili padi

Limau kasturi

Daun selasih

Cara membuat kuah:

Rebus ikan dengan asam gelugur, hirisan bawang merah, bawang putih dan air sampai ikan masak.

Asingkan isi dengan tulang ikan. Kisar halus isi ikan dengan air rebusan tadi.

Kemudian, kisar tulang ikan sampai halus dan tapis minimum dua kali.

Kisar halus bawang putih, bawang merah, halia, lengkuas, kunyit, serai, cili, belacan dan lada hitam.

Masukkan bahan kisar, isi ikan, air tulang ikan dan santan cair dalam periuk. Masak sampai mendidih.

Masukkan daun limau purut, asam gelugur, daun selasih, gula dan garam.

Akhir sekali masukkan santan pekat dan serbuk perasa. Masak dengan api kecil anggaran 30 minit kemudian boleh tutup api. Siap.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang