SEJAK akhir-akhir ini nama Veveonah Mosibin sering disebut-sebut setelah kisahnya yang memanjat pokok untuk mencari capaian internet bagi menduduki peperiksaan tular di laman sosial.

Kisahnya juga turut baru-baru ini mendapat perhatian ahli dewan Parlimen sehingga berlaku beberapa perselisihan faham antara dua pihak.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin hari ini dilihat bertemu dengan Veveonah dan meminta maaf bagi pihak kerajaan atas isu yang ditimbulkan dua timbalan menteri sebelum ini.

Pertemuan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berlaku sehari selepas Ahli Parlimen Rembau berkenaan mengesahkan Jemaah Menteri berpendapat tindakan dua timbalan menteri terbabit tidak betul dan tidak wajar.

Melalui perjumpaan tersebut, Khairy turut mengambil kesempatan itu untuk menawarkan supaya Veveonah bekerjasama dengan agensi di bawah kementeriannya, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) untuk membangunkan projek inovasi di kampungnya.

Khairy atau juga popular dengan panggilan ‘Abah KJ’ memuat naik gambar pertemuan yang turut disertai ibu dan bapa pelajar berkenaan menerusi entri terbaharu di akaun Twitter miliknya.

“Sempat bertemu Veveonah di UMS. Saya telah mohon maaf kepada beliau dan ibu bapa beliau bagi pihak kerajaan.

“Saya juga telah cadangkan untuk Veve bekerjasama dengan @YayasanInovasi untuk membangunkan projek inovasi di kampung beliau dalam pemeliharaan alam sekitar,” tulisnya ringkas dalam akaun Twitternya.

Semalam, Khairy dalam Twitternya turut mengesahkan bahawa kenyataan kedua ahli Parlimen berjawatan timbalan menteri itu tidak betul dan tidak wajar.

Artikel berkaitan: Tiada peperiksaan semasa video tular Veveonah dirakam di atas pokok

Artikel berkaitan: [VIDEO] “Setiap manusia melakukan kesilapan, saya maafkan” – Veveonah Mosibin

Iklan

Artikel berkaitan: “Hanya kongsi video, bukan minta bantuan” – Abang Veveonah pertahan dakwaan adiknya

Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, dalam Sidang Dewan Negara berkata, isu Veveonah yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet bagi menjawab peperiksaan hanyalah untuk rancangan YouTube pelajar berkenaan.

Iklan

Bagaimanapun selepas mendapat kecaman pelbagai pihak, beliau memohon maaf kepada Veveonah dan mendakwa pihaknya menerima laporan yang kurang tepat.

Beliau mendakwa menerima maklumat berkaitan Veveonah yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian Internet daripada Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri yang juga ahli Parlimen Kudat.

Abd Rahim kemudian tampil menjelaskan beliau mendapat maklumaat itu daripada laporan pegawai lapangan di daerah Pitas.