HIDUP jauh di ceruk kawasan pedalaman memang sangat ranjau. Apatah lagi jika duduk di kawasan yang jauh dari penempatan manusia yang lain.

Begitupun, semua itu alah bisa, tegal biasa bagi masyarakat orang asli. Rata-rata mereka dibesarkan di kawasan berkenaan.

Namun begitu, ada satu titik persamaan antara komuniti orang asli dengan masyarakat yang lain. Mereka turut terkesan akibat pandemik Covid-19.

Masakan tidak, kebanyakan dalam kalangan mereka menyara keluarga dengan hasil hutan antaranya menoreh getah dan seumpamanya.

Hinggakan ada dalam kalangan mereka yang ‘lumpuh’ dari segi ekonomi akibat tidak dapat bekerja kerana hasil hutan berkurangan terutama ketika awal pelaksanaan Perintah Pergerakan Kawalan.

Walaupun ada juga yang turun menoreh, tetapi hasilnya tidak dapat dijual. Ini kerana peraih tidak dapat ke masuk ke kawasan mereka pada ketika itu.

Sungguh, begitu peritnya untuk meneruskan kelangsungan hidup. Itu belum lagi bercerita bab pembelajaran anak-anak yang kebanyakannya dijalankan secara online.

Pejam celik, pejam celik, rupanya lagi dua minggu lagi sesi persekolahan baharu 2021 akan dibuka. Pun begitu, kegembiraan mereka untuk melihat anak masing-masing kembali ke sekolah dirasakan begitu payah dengan kekangan ekonomi keluarga masing-masing.

Malah, ada keluarga yang bimbang dengan kesihatan anak masing-masing kerana tidak mampu untuk membeli pelitup muka.

Perkara itu diakui oleh Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Prof Juli Edo menerusi kenyataan akhbar ‘Kempen Cerahi Kehidupan Bersama Top’ baru-baru ini.

Tak mampu beli pelitup muka
KEMPEN Cerahi Kehidupan Prihatin Bersama Top yang bermula 1 Disember hingga 31 Disember 2020 sudah tamat dan bantuan dijangka akan disalurkan pada 15 Januari ini.

Ujarnya, pandemik yang melanda ketika ini memberi kesan mendalam kepada masyarakat orang asli.

“Namun, seperti insan lain, mereka juga tidak mahu anak mereka ketinggalan dalam bidang akademik.

“Pembelajaran secara dalam talian agak sukar bagi komuniti ini yang tiada sambungan internet dan peranti elektronik yang diperlukan di rumah. Bahkan, guru-guru perlu menghantar kerja rumah terus ke rumah para pelajar,” katanya dipetik dalam kenyataan media tersebut baru-baru ini.

Mujurlah ada pihak yang bermurah hati untuk membantu masyarakat orang asli agar anak mereka tidak keciciran untuk meneruskan pembelajaran masing-masing.

(Artikel berkaitan: Golongan terjejas boleh mohon bantuan RM500 zakat kecemasan MAIWP, ini info dan cara mohon)

Demikian usaha murni yang dilakukan oleh jenama detergen terkemuka, Top yang datang menghulurkan bantuan menerusi kempen amal ‘Cerahi Kehidupan Bersama Top’.

Sebanyak 364 pelajar orang asli di Pahang, Perak dan Johor bakal menerima bantuan bagi sesi persekolahan yang akan dibuka tidak lama lagi.

Tak mampu beli pelitup muka
SENYUMAN mesra daripada pelajar SK Kudong, Johor, sekolah Orang Asli berprestasi tinggi yang telah menerima pelbagai penghargaan antaranya Sekolah Orang Asli terbaik, Persatuan Ibu Bapa dan Guru terbaik, pra-sekolah terbaik dan Surau sekolah terbaik.

Mereka masing-masing akan menerima dua helai pelitup muka kain guna semula bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, di samping kelengkapan kembali ke sekolah seperti pakaian seragam baharu, kasut, stoking, beg sekolah, set alat tulis, pensil warna dan buku latihan.

Selain itu, Top yang juga pemenang anugerah Platinum Putra Brand Award 2019 bagi kategori produk keperluan rumah akan menyumbang detergen Top Super Hygienic kepada setiap keluarga orang asli. Ia merupakan pencuci berprestasi tinggi yang boleh membersihkan pakaian dengan lebih sempurna termasuk pakaian seragam sekolah dan pelitup muka kain.

Iklan
Tak mampu beli pelitup muka
PELAJAR orang asli di SK Terisu, Pahang gembira apabila bersama.

Pengurus Pemasaran Southern Lion Sdn Bhd (Bahagian Penjagaan Fabrik), Ling Ai Li menjelaskan, sumbangan itu bertujuan menyuntik semangat kanak-kanak itu untuk hadir ke sekolah.

Pada masa sama, katanya, ia dapat meringankan beban kewangan ibu bapa mereka dan meyakinkan mereka bahawa anak masing-masing dilindungi daripada pandemik.

“Populasi orang asli merupakan antara yang paling terjejas mata pencarian akibat Covid-19. Justeru, kami bekerjasama dengan JAKOA dan menyenarai pendek sekolah yang menempatkan pelajar orang asli sepenuhnya daripada komuniti yang paling terjejas mata pencarian mereka akibat pandemik, di samping meraikan kepelbagaian, pencapaian dan ketabahan komuniti ini.

“Terdapat tiga sekolah rendah orang asli yang menerima bantuan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kudong, di Bekok Johor; SK Pos Dipang di Jeram, Perak dan SK Terisu di Cameron Highlands, Pahang,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Iklan
Tak mampu beli pelitup muka
PELAJAR dari SK Pos Dipang, Perak gembira bermain bowling kelapa.

Ujar Ai Li, semua dana berkenaan diperoleh menerusi sumbangan daripada jualan produk detergen Top di pasar raya Tesco dan Tesco Online.

Setiap pembelian bermula 1 Disember ke 31 Disember 2020 itu, katanya, sebanyak 30 sen akan diambil untuk disalurkan ke dalam dana berkenaan. Bantuan akan diberikan pada 15 Januari ini.

“Sudah lima tahun kempen amal ‘Cerahi Kehidupan Bersama Top’ berlangsung. Sepanjang tempoh itu, terdapat 2,500 orang pelajar berusia antara tujuh hingga 17 tahun dibantu daripada 79 komuniti yang memerlukan termasuk orang asli, pertubuhan bukan kerajaan anak yatim dan anak-anak dari keluarga ibu bapa tunggal,” jelasnya.

Semoga sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi ini akan berjalan dengan baik dan memenuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan. Sama-samalah kita doakan agar pandemik ini segera berakhir.

Foto: Ihsan Top & Freepik