“ADAKAH semalam hari terakhir aku bertemu isteri dan anak-anak? Adakah detik itu juga kali terakhir menatap wajah ibu dan ayah. Kalau meninggal dunia bermakna anak-anak dan keluarga tidak dapat menziarah aku di sini (hospital)?”

Bait-bait persoalan sedemikian mula menerawang dalam benak fikiran penyanyi, pelakon dan pengacara, Alif Satar sebaik sahaja disahkan positif Covid-19 pada 22 November tahun lalu.

Hati siapa yang tidak gundah-gulana dan bersedih apabila menerima perkhabaran tersebut, apatah lagi penawar virus itu belum menemui penawarnya.

Ceritanya bermula ketika menjalani sesi penggambaran drama Penjara Janji di Melaka. Sama seperti sektor ekonomi lain, sektor industri seni kreatif juga perlu menjalani ujian saringan Covid-19 bagi memerangi penularan wabak terbabit. Hanya tenaga produksi yang melepasi saringan ujian dibenarkan meneruskan tugas.

alif satar
SELEPAS disahkan positif Covid-19, Alif bersama pembantu peribadi menjalani tempoh rawatan di Hospital Melaka, Melaka selama 12 hari.

“Selepas beberapa kali menjalani swab (ujian saringan) alhamdullilah keputusan direkodkan adalah negatif. Biarpun tidak bergejala ataupun terdedah pada kontak rapat, saya memberi kerjasama mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Sehinggalah, selesai Muzik Muzik 35 Separuh Akhir, keesokkan harinya saya menyambung semula penggambaran drama di Melaka. Selepas bersiap-siaga di set saya telah menerima panggilan telefon yang mana salah seorang ahli keluarga disahkan positif Covid-19.

“Kebetulan pula saya merupakan kontak rapatnya (ahli keluarga). Justeru, sebaik sahaja memaklumkan kepada pihak produksi saya segera ke sebuah klinik swasta di sana untuk menjalani Ujian Rapid Antigen (RTK) dan keputusannya positif Covid-19,” tutur Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar yang menyifatkan ia bagaikan mimpi ngeri.

alif satar
SELAIN berbakat dalam bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan, Alif juga serius dalam sukan lasak triathlon dan pernah berjaya menamatkan misi Kejohanan Ironman Langkawi 2019.

Maka, bermulalah episod baharu pengacara berusia 31 tahun itu menjalani tempoh kuarantin di Hospital Melaka, Melaka bersama pembantu peribadinya selama 12 hari.

“Saya menangis kerana rungsing memikirkan keadaan isteri dan cahaya mata di rumah. Lebih-lebih lagi pagi sebelum bertolak ke Melaka saya cium dan peluk mereka.

“Fikiran semakin binggung apabila teringat berjumpa rakan-rakan artis di belakang pentas Muzik Muzik 35 Separuh Akhir. Adakah mereka yang ditemui berkemungkinan dijangkiti virus sama?,” jelas pelantun lagu Jangan Nakal yang dirundum perasaan serba salah.

Sepanjang menjalani tempoh kuarantin, kesihatan Alif dipantau dari semasa ke semasa termasuk pemeriksaan paru-paru, tekanan darah dan ambil darah. Bagi memastikan dirinya kekal bertenaga anak kelahiran Kuala Lumpur itu aktif bersenam di sekitar koridor hospital.

Artikel berkaitan“Saya Rindukan Permaisuri…” – Perkongsian Alif Satar Buat Warganet Sebak

“Tatkala menghadapi ujian sakit itu, selain sokongan dan doa daripada insan tersayang dan sahabat, saya juga tidak berhenti memanjatkan doa kepada ALLAH SAW supaya manusia yang terkesan dengan wabak ini (Covid-19) segera sembuh.

“Saya reda dengan cubaan ini dan tidak lagi diselubungi ketakutan mendalam kerana DIA sentiasa ada. Kebergantungan saya meletakkan sepenuhnya pada MAHA PENCIPTA, MAHA PELINDUNG dan MAHA KUASA,” cerita beliau yang mengalami simptom hilang deria bau pada hari keenam kuarantin hingga tidak dapat menghidu haruman sabun mandi dan deodoran.

Selain Alif, ibu bapanya, adik bongsu, makcik saudara dan pakcik saudara serta datuk beliau, Mohamad Che Noh berusia 91 tahun turut disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun, isteri, Sha Dila Halid dan tiga anaknya, Alisha Anugerah, 6, Ariana Mecca, 4, serta Muhammad Ali berusia dua tahun bebas daripada koronavirus.

alif satar
ALIF memanjatkan kesyukuran apabila isteri, Sha Dila Halid dan tiga permata hatinya negatif daripada jangkitan Covid-19.

Tepis stigma negatif
Berbicara mengenai stigma masyarakat terhadap bekas pesakit Covid-19, beliau yang turut berkongsi kisah kuarantin di channel YouTube Alif Satar untuk panduan umum.

Berkongsi hujah peribadi beliau terutamanya hashtag yang sering dilaungkan Alif, konsep itu seharusnya diterapkan dalam diri masyarakat supaya sentiasa menjaga individu sekeliling baik yang negatif mahupun bekas pesakit positif Covid-19.

Jangan sesekali wujudkan diskriminasi yang menambahkan lagi depresi kepada bekas pesakit wabak terbabit.

“Semasa di wad, saya merima sejumlah pesanan daripada warga maya yang mengadu kesedihan apabila ahli keluarga positif Covid-19 telah dipulaukan. Seolah-olah mereka itu ditakuti, jijik dan perlu dijauhkan.

“Tidak dinafikan, sebahagian besar individu takut untuk mendekati bekas pesakit Covid-19 berkemungkinan kurangnya pendedahan maklumat mengenai koranavirus.

“Bagaimanapun, saya terharu kerana sepanjang berada di hospital, sementelah isteri pula kuarantin bersama anak di rumah, jiran-jiran yang ringan tulang membantu membeli barang dapur dan makanan serta sanggup membuang sisa sampah rumah kami,” luah Alif yang komited menyebarkan mesej khidmat masyarakat bahawa ‘Positif Covid-19 Bukan Penjenayah’.

alif satar
ANAK jati Kuala Lumpur ini menyarankan agar tidak memandang serong dan memulaukan bekas pesakit Covid-19 menerusi kempen khidmat masyarakat  Positif Covid-19 Bukan Penjenayah.

Bukan itu sahaja, pelakon Dia Semanis Honey, turut menyarankan masyarakat agar berhenti menunding jari dan meletakkan 100 peratus kesalahan atas bahu pesakit Covid-19.

Walhal, mereka sendiri tidak mahu dan tidak tahu punca dijangkiti virus yang sukar dilihat dengan mata kasar.

“Hentikanlah stigma negatif, memulau, mengasingkan dan memandang serong mereka yang terkesan dengan wabak ini. Tiada siapa yang meminta untuk dijangkiti.

Budaya negatif ini bukanlah ciri-ciri yang baik sebagai rakyat Malaysia terutama sekali buat kita yang beragama Islam, agama yang menitikberatkan sifat kasih dan sayang bukan sahaja menjaga hubungan dengan ALLAH, tetapi sesama manusia.

“Benar, ada suara-suara sinis yang mendakwa sayalah penyebab kluster itu dan ini. Tidak kurang juga yang menyalahkan keengganan kekal berada di rumah sedangkan sakit. Jujur cakap, saya sendiri, waima pesakit lain pun tidak tahu dijangkiti Covid-19.

“Pun begitu, jauh di sudut hati saya biarkanlah mereka terus berkata-kata kerana cerita sebenar hanya empunya diri sahaja mengetahui. Lagipun saya berpegang teguh contoh kepimpinan dan pesanan Rasulullah SAW yang menasihatkan, jangan marah dan maafkan seseorang itu kerana dia tidak tahu,” ujarnya lanjut.

Hikmah Covid-19

Iklan
alif satar
ALIF menyimpulkan semua perkara yang berlaku memberi keinsafan dan iktibar buat dirinya

Menyentuh mengenai hikmah sepanjang memulihkan diri daripada virus korona tersebut, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Hartamas, Kuala Lumpur itu memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH SWT.

Beliau menyimpulkan semua perkara yang berlaku memberi keinsafan dan iktibar buat dirinya.

Tutur Alif, tinggal di wad bangunan lama yang serba kekurangan dari segi infrastruktur keselesaan dikecapi pastinya tidak sama seperti beradu di kamar peribadi. Beralaskan tilam empuk dan dibuai kedinginan penyaman udara.

Pun begitu, persekitaran sedemikian sedikitpun tidak menganggu emosi, sebaliknya mengajar beliau erti sebuah kesyukuran.

“Apa yang saya lalui mungkin 10 atau 11 hari sahaja dalam hidup. Kemudian, boleh nikmati semula kehidupan di rumah. Namun begitu, tatkala meniti saat-saat susah itu membuatkan saya sedar hakikatnya di luar sana ada yang lebih susah.

“Ada yang seumur hidup berteduh di rumah tanpa dinding dan menadah hujan. Mungkin sesetengah orang tidak berpeluang untuk mandi ekoran tiada kemudahan bekalan air bersih. Bahkan, ada jua terpaksa mengais mencari rezeki demi sesuap nasi.

“Walhal, saya yang diuji kesakitan ini (Covid-19) hanya berehat dan menanti makanan dihantar ke wad. Uniform pula sentiasa bersilih ganti selepas mandi,” jelasnya.

frontliners Covid-19Sebelum menutup bicara, Alif menzahirkan penghargaan kepada barisan hadapan pasukan perubatan dan doktor yang bertungkus-lumus menjaga pesakit Covid-19.

Iklan

Meskipun berlencun menyarungkan set peralatan perlindungan diri (PPE), tetapi mereka tetap komited melunaskan tanggungjawab dengan sempurna.

Pesan beliau: “Kekal berfikiran positif dan berdoa kepada ALLAH. Insya-ALLAH semua akan berjalan lancar dan diberkati.”

Sempena ulang tahun SinarPlus pertama yang akan disambut esok, Alif mengharapkan sisipan gaya hidup dalam akhbar Sinar Ahad terus menjadi wadah utama kepada para pembaca pada setiap hujung minggu.

Kepada semua pembaca, jangan lupa ikuti Facebook Live SinarPlus pada pukul 7 pagi hingga 10 malam esok bagi mengikuti program-program yang menarik dihidangkan di samping memenangi hadiah lumayan setiap jam.

PROFIL

alif satar

Nama: Muhammad Alif Mohd Satar
Nama karier: Alif Satar
Umur: 31 tahun
Tarikh lahir: 19 September 1990
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Isteri: Sha Dila Halid
Anak: Alisha Anugerah, 6 tahun
Ariana Mecca, 4 tahun
Muhammad Ali, 2 tahun
Tinggi: 173 sentimeter
Karier: Penyanyi, pelakon, pengacara dan jurucakap produk
Antara lagu: Jangan Nakal, Khayal, Lelaki Seperti Aku dan Cukup Indah
Antara drama dan filem: Dia Semanis Honey, Tundukkan Playboy Itu, Pia dan Aliff Dalam 7 Dimensi
Antara pencapaian: Tempat ketiga program One In A Million musim pertama
Pelakon Lelaki Popular, Anugerah Telenovela 2017
Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular 2017
Pelakon Utama Terbaik, BOH Cameronian Arts Awards 2018
Tamat misi Kejohanan Ironman Langkawi 2019
Instagram: @alifsatar (3.3 juta jumlah pengikut)