"Anak aku, suka hati aku" - Video ibu 'seronok' anak hisap vape undang amarah
ANAK-ANAK ibarat kain putih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya bagi mendapatkan hasil yang baik dan cantik.
Seperti sabda Rasulullah SAW: "Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkan sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi".
Ini disebabkan setiap anak itu adalah unik dan berbeza-beza sifat dan perangainya. Jika baik didikan, maka eloklah kejadiannya.
Justeru, dalam mendidik anak-anak, berbagai cara dan kaedah akan digunakan ibu bapa. Namun, lain pula yang berlaku kepada sebuah keluarga ini.
Menerusi sebuah video yang tular dalam laman sosial kelihatan seorang wanita didakwa ibu kandung menghulurkan vape ke mulut kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan dua tahun.
Video yang dimuat naik di Instagram peribadi wanita tersebut memaparkan dirinya menghulurkan vape ke dalam mulut anaknya. Si comel yang tidak mengerti apa-apa bertindak menghisap rokok elektronik yang mengandungi bahan kimia .
Lebih mengecewakan wanita tersebut seolah-olah tidak belas kasihan, bahkan teruja menyuap vape berkali-kali terhadap permata hatinya itu.
Baca juga Ibarat bom jangka. Perokok dan penghisap vape berisiko tinggi dijangkiti Covid-19
Tindakan si ibu secara tidak langsung mengundang amarah warganet. Rata-rata mengatakan ia adalah tindakan tidak wajar.
Pun begitu, selepas menerima kecaman ramai, wanita tersebut dilihat menukar akaun Instagramnya kepada 'private'.
Bagaimanapun, sebelum itu dia sempat menulis dalam Instagram Story (IGS) yang berbunyi: "Kelam kabut semuanya ya! Suka hati akulah nak post apa. Anak aku, suka hati aku. Aku yang jaga dia."
Tindakan wanita itu bukan sahaja dikecam warga maya, malah portal tempatan melaporkan pihak polis sedang memburu pemilik akaun Instagram yang memuat naik video berkenaan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Asisten Komisioner, Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya telah sedia maklum tentang penularan video terbabit dan kini dalam usaha mengesan lokasi kejadian.
"Pihak polis dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang giat mengesan lokasi kejadian bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan dan tindakan menyelamatkan kanak-kanak tersebut dilakukan. Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.
Bagi SinarPlus, apa pun tujuan wanita terbabit berbuat demikian, ia sangat melampau. Kasihan betul melihat anak kecil yang tidak berdosa itu menahan rasa perit dan tidak selesa.
Bahaya vape
Menurut portal Hello Doktor, vape atau rokok elektronik mengandungi lebih 40 bahan kimia
yang telah dikenal pasti.
Setengah daripada bahan kimia tersebut membahayakan kesihatan dan berupaya untuk dilepaskan ke udara sekeliling (risiko perokok pasif).
Antara bahan kimia yang terkandung terdiri daripada Asetaldehid, N-Nitrosonornicktina (NNN), Plumbum, Toluena, Benzena dan lain-lain yang mampu menyebabkan kesan buruk terhadap kesihatan.
Justeru, kita sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran, berfikirlah sebaiknya sebelum melakukan sesuatu, apatah lagi melibatkan anak-anak kecil.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang