'Kak Neelofa tak pernah perli adik-beradik yang belum berhijab'

A
A
A

SEBAIK sahaja memberikan salam, kelihatan seorang gadis memiliki raut wajah persis wanita Arab membuka daun pintu kediaman. Sambil menguntumkan senyuman, beliau mempelawa kru SinarPlus duduk di ruang tamu, sementara dirinya sempurna dirias jurusolek, Ayang Kamell.

Beliau juga sempat menunjukkan konsep solekan mata diminatinya, cuma meminta kerjasama mekap artis agar helaian rambutnya dibiarkan mengurai.

Kecantikan wajah Athisha Khan berusia 22 tahun itu begitu terserlah walaupun menerapkan konsep tata rias minimalis.

Bagaimanapun, paling menarik perhatian penulis sepanjang sesi solekan dan fotografi berlangsung, kelihatan sebuah kamera digital bersaiz mini setia menemaninya.

“Sha (Athisha) tak boleh berenggang dengan kamera dan telefon pintar kerana dua ‘sahabat‘ ini bertanggungjawab merakam detik-detik penting untuk content (kandungan) video.

“Selepas merakam bahan-bahan diperlukan, Sha akan melakukan suntingan sendiri sebelum memuat naik video tersebut dalam saluran YouTube,“ jelasnya ketika ditemui dalam sesi fotografi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam dunia media sosial, nama Athisha Khan sememangnya cukup terkenal. Namun begitu, popularitinya mencanak naik selepas membuka saluran YouTube peribadi yang kini memiliki 280,000 jumlah pengikut.

Biarpun personaliti media sosial itu dikenali sebagai adik kepada selebriti terkenal Neelofa, tetapi beliau tidak menjadikan kakaknya itu sebagai batu loncatan untuk membina nama.

[caption id="attachment_27814" align="alignnone" width="1024"]athisha khanATHISHA mengakui kamera dan telefon pintar sentiasa dibawa ke mana-mana bagi memudahkan beliau merakam pelbagai momen menarik sebelum dihasilkan video.[/caption]

Filosofi diterapkan pemilik nama sebenar, Nur Athisha Abdul Halim Khan cukup mudah. Katanya, tiada guna berpaut pada populariti kakak semata-mata, tetapi diri sendiri tidak berusaha menghasilkan sesuatu yang berbaloi.

“Sebelum beralih kepada medium Instagram dan YouTube, Sha aktif dalam penulisan blog khususnya pada masa senggang. Namun, seiring teknologi semasa, Sha ingin sesuatu yang baharu lalu mencuba menghasilkan sebuah video khas sempena ulang tahun kelahiran ayah menggunakan aplikasi iMovie.

“Tak sangka percubaan pertama menjadi sehingga ahli keluarga menyarankan membuka saluran YouTube sendiri, tetapi Sha pula enggan terburu-buru. Sha ambil inisiatif menggali ilmu suntingan dan teknik angle rakaman video serta mencuba bermacam-macam aplikasi terlebih dahulu.

“Bertitik tolak dari situ Sha semakin teruja membuat video menggunakan GoPro. Vlogging pertama adalah perjalanan ke London bersama abang pada empat tahun lalu. Kesemua video vlog berdurasi seminit itu saya kongsi dalam Instagram sehingga berasa yakin membuka YouTube pada Januari 2017,“ ujarnya yang tidak menetapkan tema kandungan tertentu untuk siaran videonya.

Pengalaman

Berkesempatan singgah di saluran YouTube Athisha Khan, kebanyakan video dihasilkan berkisarkan kehidupan, pengalaman melanjutkan pengajian di United Kingdom (UK), persahabatan, keluarga, budaya dan tutorial solekan.

“Sejujurnya, Sha tidak merancang topik khusus untuk penghasilkan video kerana tidak mahu terikat. Jadi, solusi terbaik hanya membawa kamera dan telefon pintar sepanjang masa dan ke mana saja.

“Lazimnya, video-video dihasilkan berkait rapat dan pengalaman sendiri yang mungkin sedikit sebanyak boleh dijadikan rujukan buat mereka yang menonton,“ kata Athisha yang sedang menyambung pelajaran jurusan undang-undang dalam perniagaan di Universiti of Birmingham, UK.

[caption id="attachment_27815" align="alignnone" width="1024"]athisha khanATHISHA kini terpaksa meneruskan sesi kuliahnya di Universiti of Birmingham, UK secara online di Malaysia berikutan pandemik Covid-19 yang melanda seantero dunia.[/caption]

Namun begitu, pengajian yang dijadualkan tamat pada tahun 2021 terpaksa diteruskan sesi kuliah secara digital di Malaysia berikutan penularan wabak Covid-19.

“Setiap yang berlaku ada hikmah, maka tiada sedikitpun perasaan ralat itu menerpa. Sekurang-kurangnya di sini (Kuala Lumpur) selain belajar, Sha juga boleh bekerja dan mengusahakan bisnes. Paling penting, Sha berdepan situasi pandemik bersama famili dan tidak bersendirian di sana (UK),“ jelasnya yang sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

Bergelar adik kepada pelakon, pengacara, duta dan usahawan popular, Neelofa mungkin mempunyai sisi pro dan kontra.

Dilayangkan soalan, adakah terbeban memiliki kakak bernama Neelofa yang mempunyai pengaruh yang berskala besar baik dalam industri seni, fesyen mahupun keusahawanan?

Athisha hanya menggelengkan kepala. Kemudian anak kelahiran Kota Bahru, Kelantan menyatakan pendiriannya: “Sha amat mengagumi Kak Lofa (Neelofa). Beliau bukan sahaja bijak dalam akademi dan penampilan, bahkan bijak berbisnes dan menyusun perjalanan karier dengan baik. Pelbagai ujian dan cabaran yang datang, Kak Lofa hadapi semua itu dengan sabar dan tabah.

“Kak Lofa sedikitpun tidak melatah, apatah lagi perlu melayan warga maya yang melemparkan kata-kata sinis. Ketenangan Kak Lofa mengendalikan apa jua situasi cukup luar biasa.

“Walaupun kini memakai niqab, personaliti Kak Lofa tetap sama. Beliau tidak pernah memerli apa lagi memaksa kami adik-beradik untuk turut sama memakai hijab sepertinya,“ luah Athisha.

Majoriti warganet nampaknya berterusan membuat perbandingan antara dirinya dan Neelofa dengan meninggalkan komen disifatkan kurang beradab.

Artikel berkaitanNeelofa berniqab, boleh beza antara purdah dan burqa

Mendengarkan hal tersebut, remaja jelita itu dengan tenang berkata: "Kadangkala masyarakat di luar sana lebih sudu daripada kuah sehingga bertindak secara berlebihan. Walhal, beliau tidak pernah mempersendakan Sha atau adik-beradik lain yang belum bertudung.

“Sepertimana, Kak Lofa berhijrah sedikit demi sedikit, maka doakan saya untuk berada di landasan sama satu hari nanti."

Sebelum itu, Athisha memberitahu SinarPlus, dirinya hanya mengetahui keputusan Neelofa berniqab hanya menerusi laman sosial Instagram @neelofa pada 15 Oktober lalu.

Sebagai insan yang rapat, katanya, kehidupan Neelofa yang merupakan Juara Dewi Remaja 2009/2020 selepas berniqab tampak lebih gembira dan bahagia.

“Penampilan baharu itu bukan penghalang buat kak Lofa terus bekerja dan bekerja memperluaskan jenama fesyen, Naelofar dan Nilofa (produk minuman berasaskan susu).

[caption id="attachment_27817" align="alignnone" width="1024"]athishaGadis berwajah persis wanita Arab ini memiliki personaliti yang ceria dan ramah.[/caption]

Selepas rancak bercerita perihal famili dan hobinya merakam dan menyunting video, gadis bertahi lalat pada bibir itu sekali lagi menguntumkan senyuman manis apabila penulis menyentuh mengenai diari di bawah label, AK by Athisha Khan.

Tutur bekas pelajar Sekolah Antarabangsa Sri Cempaka, Kuala Lumpur tersebut, beliau sama sekali tidak menyangka akan bergelar usahawan pada usia muda, apatah lagi mengeluarkan produk rekaan sendiri.

Impian

Benar, ungkapan mengatakan angan-angan itu percuma, namun ia tidak mampu menjadi kenyataan tanpa usaha, semangat dan ilmu.

“Sebelum ini Sha sentiasa memasang impian bergelar usahawan. Cuma tidak tahu nak bermula dari mana dan bagaimana prosedurnya?

“Jadi sebagai permulaan, Sha bekerja dahulu dengan menimba pengalaman dan ilmu di syarikat Young & Glow Cosmetics yang diterajui mama. Di sana, Sha berperanan dalam bahagian pemasaran dengan menyusun corak terbaik mempromosikan produk.

“Secara perlahan-lahan Sha mula memahami rentak bisnes. Dari semasa ke semasa, Sha mempertingkatkan skil pengurusan, komunikasi dan proses yang betul bagi menghasilkan sesuatu produk,“ jelasnya bersyukur dilahirkan dalam keluarga yang sentiasa proaktif dan bekerja keras dalam apa jua bisnes diusahakan.

Justeru, enggan dibayangi kejayaan Neelofa yang mengendalikan empayar hijab dan pakaian jenama Naelofar dan ibunya pula mengasaskan rangkaian produk kosmetik, maka gadis peramah dan bijak menjawab setiap soalan yang dilontarkan itu cuba memilih laluannya sendiri.

[caption id="attachment_27816" align="alignnone" width="1024"]AthishaANAK ketujuh daripada sembilan beradik ini tidak menyangka Diari 2020 AK by Athisha Khan yang dilancarkan pada 1 November lalu laris bak pisang goreng.[/caption]

Sesuai dengan mood remajanya, Athisha tampil menghasilkan produk berkonsepkan gaya hidup. Bagi projek pertama, wanita muda itu sengaja memilih diari 2021 yang hadir dalam dua warna kegemarannya iaitu hijau dan merah jambu.

“Sejujurnya, Diari 2020 AK by Athisha Khan mempunyai nilai sentimental yang cukup dekat dengan hati Sha. Bermula dari proses merangka, sampel, desain, promosi dan jualan semuanya mengikut cita rasa dan acuan Sha sendiri.

“Setiap halaman diari dibiarkan polos tanpa elemen tulisan ataupun sarat lakaran bukan-bukan. Sha gemarkan gaya ringkas dan praktikal bagi memberi peluang kepada pengguna menumpahkan coretan isi hati mereka sebanyak mungkin. Tidak ketinggalan mengisi jadual harian, mingguan ataupun bulanan pada ruangan disediakan.

“Diharapkan, pada helaian pertama pemilik Diari 2021 AK by Athisha Khan akan bermula dengan inti pati cerita yang indah-indah. Maklumlah, seperti kita sedia maklum tahun 2020 merupakan momen ‘sedih‘ bagi sebahagian besar individu dek pandemik Covid-19 yang melanda di seantero dunia,“ luah beliau yang mengusahakan label AK by Athisha Khan bersama kekasihnya, Wan Amirul Haiqal.

Pun begitu, bak peribahasa Melayu lama, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Athisha menzahirkan keterujaan kerana tidak menyangka diari yang dilancarkan pada 1 November baru-baru ini laris umpama pisang goreng dalam tempoh kurang 15 minit.

Kejayaan manis itu secara tidak langsung menyuntik semangat buat beliau untuk mengeluarkan variasi produk gaya hidup bersesuaian dengan jiwa anak muda yang santai, funky, kreatif dan bebas bereksperimentasi.

“Mungkin selepas ini, Sha akan mereka botol minuman, pakaian dan aksesori pula. Insya-ALLAH semuanya dalam perancangan. Buat masa ini, Sha ingin fokus pada diari. Tidak mahu terlalu tamak menguruskan banyak produk kerana bimbang kualiti terjejas,“ ujarnya menutup bicara.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca