KANAK-KANAK untuk disayangi dan disantuni bukan sebagai pemuas nafsu serakah!

Bila sebut tentang gangguan seksual kepada kanak-kanak, ramai orang marah.

Namun, kes tersebut ibarat tidak dapat dibendung.

Seperti sebuah perkongsian seorang doktor Pediatrik, Dr Redza Zainal mengatakan antara kerja hakiki yang menyesakkan jiwanya ialah menjadi pegawai perubatan yang melihat, membaca dan mengumpul kes penderaan kanak-kanak selama empat tahun.

“Saya mengambil masa berhari-hari untuk menulis posting ini.

“Sepanjang empat tahun itu, beratus orang kanak-kanak yang telah didera secara fizikal, didera secara seksual atau berlaku pengabaian (negligence).

“Sampai ke hari ni, masih ramai anak di luar sana yang didera secara seksual.

“Kalau mak ayah nak tahu, paling tinggi ialah kes penderaan seksual kepada bayi dan kanak-kanak sehingga usia 18 tahun,” tulisnya.

Menurut Dr Redza, penderaan seksual adalah kes cabul (molest), rogol (rape) dan liwat (sodomy).

“Jika anak tu ditunjukkan dengan perlakuan yang tak senonoh atau dipaksa untuk melihat pornografi, ia juga dikira sebagai penderaan seksual,” katanya.

"Beratus kes, saya jadi loya. Adakala saya menangis sendirian" - Dr dedah gangguan seksual kanak-kanak

Iklan

Kata Dr Redza, ia sangat menyeksakan jiwa.

“Kenapa kerja yang saya buat ni menyesakkan jiwa saya?

“Sebabnya, saya kena membaca semua kes penderaan tu ayat demi ayat sehingga habis.

“Saya membaca bagaimana pak cik meraba anak saudara yang tak tahu apa. Dia masukkan jari ke kemaluan anak tu, sambil mengugut supaya jangan beritahu sesiapa.

“Saya melihat kanak-kanak berusia 15 tahun keluar dari dewan bersalin bersama bayi selepas dirogol oleh abang kandung sendiri.

“Saya terpaksa baca bagaimana ahli keluarga dengan kejamnya meliwat budak yang kecil.

“Semuanya wajib direkod dengan teliti sebab kemudiannya pihak polis akan mohon laporan perubatan untuk mereka teruskan siasatan kes.

Baca juga Sayunya, kanak-kanak 3 tahun ini derita sindrom satu dalam sejuta, kanser mata dan komplikasi dalaman

Iklan

“Bila membaca beratus kes ini, saya jadi loya. Kepala saya pening. Adakala saya menangis sendirian. Adakala saya menghentak meja sekuat-kuatnya.

“Kalian cuba pandang muka anak sekarang. Cuba bayangkan budak umur lima tahun diliwat berkali-kali.

“Tahu budak tu cakap apa? Dia ingatkan itu cara orang dewasa memberi kasih sayang.

“Semua pengalaman ni buatkan saya yakin yang mak ayah wajib belajar ilmu pendidikan seksual.

“Kitalah pelindung anak. Kitalah yang sepatutnya menjadi guru pendidikan seksual anak yang pertama,” katanya.

Justeru, ibu bapalah yang perlu lebih peka terhadap mereka. Sentiasa pantau pergaulan anak-anak walaupun dengan saudara mara sendiri.