BERMULA pada hari ini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ‘dilonggarkan’ bagi membuka semula sebahagian sektor ekonomi.

Langkah tersebut dilaksanakan untuk menjana semula pertumbuhan ekonomi negara yang terjejas susulan PKP dilaksanakan bermula pada 18 Mac lalu.

Impaknya, Malaysia mengalami kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari yang mana jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion. Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara mungkin akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion.

Justeru, atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), maka kerajaan memutuskan membuka semula sektor-sektor ekonomi hati dengan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ketat.

Pun begitu, sebahagian rakyat Malaysia menzahirkan kebimbangan susulan kelonggaran itu akan wujud lebih banyak kluster yang mendorong pada pertambahan jumlah kes positif Covid-19.

Sehubungan itu, selain kluster membeli-belah raya, kluster tapak pembinaan dan kluster taska, masyarakat juga dinasihatkan supaya berhati-hati agar tidak terkena kluster pantri di pejabat.

covid-19
Public Health Malaysia menyarakan rakyat berbuka puasa di meja sendiri atau di rumah sahaja.

Maklumlah, hari ini merupakan hari pertama bertugas dan mungkin segelintir umat Islam terpaksa berbuka puasa di tempat kerja bersama rakan sepejabat.

Bimbang disebabkan terlalu teruja masing-masing mulalah menempah variasi makanan seperti murtabak, ayam golek dan nasi ayam secara online.

Lalu makanan tersebut dihidangkan pula di pantri dan dinikmati bersama-sama sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang.

Peringatan, jika terdapat dalam kalangan kita memasang niat untuk berbuat demikian pada sesi iftar hari ini, tolong lupakan impian tersebut.

Menurut Public Health Malaysia, menjamu selera di pantri bukan lagi norma biasa.

“Sebelum ini terdapat kluster di hospital berpunca daripada makan bersama di bilik pantri. Terbaharu, terdapat kes kluster restoran di China yang disebarkan melalui sistem penghawa dingin di premis terbabit.

Iklan

“Jangan ulangi perkara sama di tempat kerja anda. Lebih baik order (tempah) dan bawa pulang ke rumah. Berbuka puasa di rumah lebih selamat berbanding berbuka di luar,” tulisnya menerusi laman sosial Facebook Public Health Malaysia baru-baru ini.

Artikel berkaitan: Covid-19: Penghawa dingin restoran punca titisan air virus merebak dari meja ke meja

Dalam pada itu, status yang sama turut menasihatkan rakyat agar bersama-sama menjayakan norma baharu itu. Masyarakat disarankan mempertahankan status zon hijau di kawasan sendiri.

Jangan diulangi kesilapan kejadian kluster-kluster sebelum ini.

Iklan