BERAT badannya yang jatuh mendadak selepas disahkan menghidap kanser usus tahap empat menjadikan pelawak negara, Nor Affendi Nurdin, 53, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Lah Cecupak tidak secergas dahulu.

Jika sebelum ini wajah cerianya sering menghiasi rancangan lawak di kaca televisyen pada era 1990-an, kini semuanya hanya tinggal kenangan. Beliau tidak mampu berbuat demikian lagi.

Malah difahamkan, keupayaan Pak Lah untuk menggubah lagu dan menulis lirik semakin terhad. Sebelum ini, beliau dikenali sebagai komposer kepada lagu bertajuk Joget Toleh Menoleh dalam loghat Perak dendangan kumpulan Senario.

Meskipun keadaannya agak lemah dan tidak bermaya, Pak Lah tetap menggagahkan diri saat diwawancara  SinarPlus.

pak lah cecupak

Kata bekas peserta Maharaja Lawak Mega 2011 itu, beliau sedang berehat di Kampung Wakaf Tengah, Kuala Terengganu, Terengganu bersama isterinya yang merupakan suri rumah tangga sepenuh masa.

“Kini, saya menjalani rawatan susulan kimoterapi di Hospital Kuala Terengganu selepas pembedahan membuang tumor dalam usus dan radioterapi sejak 24 Julai lalu.

“Sekarang ini, sebenarnya nak angkat telefon pun tak kuat sangat. Apatah lagi nak buat kerja lain. Mahu bergerak pun kadang-kadang terpaksa guna kerusi roda sebab kaki masih lemah. Makan pun tak lalu, tiada selera,“ kata anak jati Perak itu dengan nada lemah ketika bercakap melalui corong telefon dengan penulis.

Perlu bantuan

Kesempatan berbual dengannya terus mendorong penulis menebak soalan bagaimana penyakit kanser boleh menular ke tubuh badannya.

Penulis jelas mendengar nafasnya yang berbunyi tatkala hendak memberi jawapan terhadap soalan-soalan yang dilontarkan.

pak lah cecupak

Beliau seperti menyusun ayat lalu berkata: “Sebenarnya, sebelum ini saya ada simptom sakit tiroid dan pernah dinasihatkan untuk dibedah. Bagaimanapun ketika itu, saya menolak kerana memikirkan kesannya terhadap gangguan pita suara.

“Saya kan cari makan dengan menyanyi dan membuat lagu selain jadi pelawak. Bila diduga sedemikian rupa, saya terpaksa memilih opsyen lain, tak sanggup untuk buangnya (pita suara),“ akuinya.

Artikal berkaitan: Wahid Senario rayu orang ramai bantu Pak Lah Cecupak yang kini derita kanser usus tahap empat

Pak Lah yang pernah menjadi peserta program Sinaran Pasport Kegemilangan 1995 dan 1997 itu sendiri pun tidak menyangka, sakit yang ditanggungnya beralih kepada bahagian perut pula.

“Saya diserang sembelit pada tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Bila buat pemeriksaan, rupa-rupanya ia petanda awal saya dapat kanser usus.

Iklan

“Doktor maklumkan, ada tumor pada usus dan dinasihatkan buang kerana bimbang akan merebak hingga boleh jejaskan organ lain,“ katanya.

pak lah cecupak

Selepas memikirkan sedalam-dalamnya, Pak Lah memberitahu, beliau terus menjalani rawatan di Ipoh, Perak sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Terengganu untuk memudahkan urusan keluarganya berulang-alik melawatnya.

“Kalau dahulu saya menanggung keluarga, namun kini terpaksa guna simpanan yang ada untuk teruskan hidup. Runsing juga fikirkan cara lain nak cari rezeki untuk tanggung kos rawatan yang masih berjalan, isteri dan anak-anak,” luahnya penuh sebak.

Pak Lah berkata, beliau kini masih menunggu keputusan daripada majikannya sama ada mahu meneruskan khidmatnya sebagai penulis lagu dan persembahan pentas atau tidak.

Iklan

pak lah cecupak

“Terima kasih kepada orang ramai yang doakan saya dan hulurkan pertolongan. Hanya ALLAH mampu membalasnya. Moga-moga selepas ini, insya-ALLAH lebih dimurahkan rezeki dan kesihatan lebih baik. Terima kasih sekali lagi,“ katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB 762 688 2694 (Nor Amalina Bte Nor Affendi)

PROFIL

  • Nama: Nor Affendi Nordin
  • Nama komersial: Pak Lah Cecupak
  • Umur: 53 tahun
  • Asal: Ipoh, Perak
  • Facebook: Affendi Nurdin
  • Instagram: paklah_cecupak