BERSAMA Pakar Motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad

SOALAN

Dr, mungkin bagi orang lain, masalah ini kecil, namun pada saya tidak. Begini, sebelum berkahwin, berat badan saya cuma 55 kilogram (kg). Namun, selepas bernikah, saya mengalami kemalangan dan berat badan saya naik mendadak hingga mencecah 80kg.

Sejak itu, saya lihat suami saya sudah dingin pada saya. Pernah saya terbaca mesej yang dihantar oleh ahli keluarganya kepada dia. Mereka jadikan kegemukan saya sebagai bahan lawak dalam perbualan itu dan menuduh itu punca kami gagal mendapatkan zuriat. Saya sangat berkecil hati.

Sudah hampir setahun saya cuba mendapatkan berat badan ideal, namun kadar penurunan tidaklah terlalu ketara. Kata doktor, usaha itu mungkin sukar disebabkan umur saya sudah sudah menjangkau 37 tahun. Melihat situasi ini, saya ingin memohon cerai daripada suami. Adakah itu satu tindakan yang betul?

ISTERI KECEWA, 37
Selayang, Selangor

JAWAPAN:

Tindakan memohon cerai disebabkan alasan kegemukan ini tidak berasas dan pengadu sebenarnya masih berpeluang untuk kembali kepada berat ideal.

Pengadu harus faham, jika terdapat keinginan yang sangat dalam dalam diri untuk mengubah penampilan, kita boleh melakukan perubahan.

Justeru, dia perlu bersungguh-sungguh menjaga pemakanan, bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Jangan sesekali memandang rendah pada diri. Semua ejekan dan bahan lawak daripada keluarga mertua dijadikan sebagai satu cabaran untuk melakukan perubahan.

Di dalam dunia ini, terdapat dua jenis manusia iaitu seseorang yang sentiasa berfikiran positif dan apabila dicabar, semakin menjadi lebih baik, manakala yang kedua pula semakin dicabar, semakin teruk keadaannya.

perlekeh isteri gemuk

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Oleh itu, anda mahu menjadi individu pertama atau kedua? Semua yang berlaku dalam hidup ini adalah pilihan.

Dalam masalah ini, pengadu perlu memilih yang terbaik untuk diri sendiri kerana tidak mustahil, jika dia berubah demi menggembirakan hati suami, semua akan kembali pulih.

Maka, berkorbanlah demi kebahagiaan rumah tangga dan jangan melayan kata-kata orang sekeliling yang tidak menguntungkan. Semuanya kena bermula daripada diri anda sendiri.