CINTA hingga hujung nyawa. Itulah situasi yang berlaku terhadap pasangan warga emas ditemui meninggal dunia di ruang tamu kediaman mereka kelmarin.

Pasangan suami isteri masing-masing berusia 61 tahun dan 68 tahun itu dijumpai oleh anak angkat mereka yang datang melawat selepas tidak dapat dihubungi.

Kejadian yang berlaku di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor tersebut mengundang sebak dalam kalangan warganet, tambahan pula negara sedang melaksanakan perintah Sekatan Perjalanan Penuh (SPP) atau total lockdown.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, wanita terbabit disahkan positif Covid-19 hasil ujian saringan dijalankan setelah meninggal dunia.

Selain itu, wanita tersebut juga mengidap penyakit darah tinggi dan kencing manis manakala suaminya pula dipercayai mempunyai penyakit kronik termasuk sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis. Kematian mangsa lelaki berpunca daripada sejarah penyakit dihidapi itu.

Tambah Mohd Sohaimi, kaunter aduan Balai Polis Scientex, Pasir Gudang menerima maklumat mengenai kematian pasangan berkenaan pada pukul 1 tengah hari.

Katanya, pasangan itu tidak mempunyai anak kandung dan mayat mereka ditemui oleh anak angkat berusia 19 tahun yang pergi kediaman berkenaan apabila panggilan telefon tidak berjawab.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 48 jam dan tiada unsur jenayah menyebabkan kematian.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

Iklan

Sementara itu, menurut media tempatan, seorang jiran dikenali Esah memaklumkan kali terakhir melihat kedua-dua mangsa adalah pada minggu lalu.

Beliau menganggap pasangan tersebut tidak keluar rumah kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, beliau dimaklumkan oleh anak angkat pasangan itu bahawa suami isteri terbabit sudah meninggal
dunia.

Baca juga Bertunang melalui Microsoft Teams, hantar cincin guna pos

Iklan

Pasangan tersebut juga pernah memberitahu mengidap kencing manis dan darah tinggi. Lazimnya, hanya jiran perempuan keluar membeli barang dapur manakala suaminya di rumah.

Ujarnya lagi, mangsa wanita dikenali sebagai Mak Besah memang dikenali ramai kerana pandai berubat dan suaminya dikenali sebagai Pak Bakar.

Justeru, buat kita yang masih memiliki ibu bapa sentiasalah menghubungi mereka untuk bertanya khabar.

Biarpun terhalang dek aktiviti merentas daerah dan negeri tidak dibenarkan, jangan jadikan itu alasan untuk tidak berhubung.

Al-Fatihah untuk kedua-dua mangsa.