SEJAK beberapa hari kebelakangan ini, kita terpaksa berlapang dada menerima kenyataan bahawa kes harian di Malaysia menghampiri angka 5,000 kes.

Lebih membimbangkan, kes kematian yang direkodkan juga semakin bertambah saban hari.

Buktinya, semalam sahaja, 45 kes kematian baharu telah dicatatkan.

Bukan itu sahaja, baru-baru ini juga kecoh apabila keadaan di hospital dan unit rawatan rapi (ICU) dikatakan sudah berada paras kritikal.

Berkongsi mengenai situasi sedih menjadi salah seorang pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di hospital, Emilia Ismail menerusi akaun Facebooknya menulis coretan dan pengalaman pilu yang boleh dijadikan pedoman dan iktibar kepada kita semya.

Ujar Emilia, beliau telah ditempatkan di ICU Hospital Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Wanita berkenaan disahkan positif Covid-19 pada 29 April lalu setelah mengalami simptom seperti batuk dan demam yang berlarutan hampir seminggu lamanya.

Lebih parah, keadaan itu dilihat semakin bertambah kritikal apabila beliau mengalami masalah sukar bernafas dan memerlukan rawatan lebih rapi.

Maka, pihak hospital menempatkannya di wad ICU.

Iklan

“Oleh sebab keadaan saya yang membimbangkan itu, saya ditidurkan selama tiga hari.

“Apabila sedar daripada tidur tersebut, saya sangat terkejut kerana semua tangan dan badan dipenuhi dengan wayar,” tulis beliau.

Bukan itu sahaja, Emilia turut menceritakan bagaimana dirinya melihat sendiri pesakit di sebelahnya dijemput Illahi.

“Saya dapat rasakan ALLAH masih memberi saya peluang kedua.

Iklan

“Saya juga melihat keadaan ‘real’ jururawat dan doktor berkerja di ICU. ALLAH sahaja yang tahu keikhlasan dan beratnya tanggungjawab mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Emilia turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua kakitangan kesihatan Hospital Sungai Buloh dan turut meninggalkan pesanan buat orang ramai di luar sana.

Artikel berkaitan: Guna kontena simpan jenazah Covid-19. Hospital Sungai Buloh tak mampu menampung jumlah kematian

“Alhamdulillah, saya sudah dibenarkan pulang. Sekarang saya memerlukan rawatan fisioterapi sendiri di rumah kerana kaki masih belum kuat untuk berjalan.

“Jadi, please… please… please… rakan-rakan Facebook semua, stay safe dan stay at home. Jaga diri ya guys,” pesan Emilia pada penghujung entri perkongsiannya yang juga menghibakan.