BERSAMA Penyanyi dan Usahawan, Datuk Nora Ariffin

SOALAN

Kehilangan suami tersayang sekelip mata membuatkan Nora terus menggalas tanggungjawab cukup besar demi membesarkan anak-anak. Pada masa sama, Nora juga perlu mencari nafkah demi kelangsungan hidup. Pendek kata, Nora ialah ibu dan bapa buat anak-anak.

Pun begitu, bagaimana rasanya apabila luka lama masih belum sembuh, namun diuji sekali lagi dengan pemergian anak kedua? Bagaimana Nora bangkit menghadapi ujian yang datang silih berganti?

JAWAPAN:

saya sendiri tidak menyangka akan diuji dengan dugaan cukup berat dan silih berganti. Malah, saya mengakui kehilangan suami tersayang pada tahun 2017 membuatkan saya hilang arah.

Saya masih ingat lagi dalam tempoh idah, ketika itu boleh dikatakan saya melalui fasa ‘gila‘ kerana tidak boleh menzahir rasa yang terbuku di dalam hati dan sudah tiada semangat untuk meneruskan hidup.

Namun, alhamdulillah berkat sokongan anak-anak, ahli keluarga dan rakan-rakan membuatkan saya kembali bangkit dan terus survival.

Pun begitu, bayangkan ‘sakit‘ diduga kehilangan suami tersayang masih belum pulih, saya diuji dengan kehilangan anak kedua saya yang memang tidak disangka-sangka.

Pada masa itu, saya masih belum dapat menerima hakikat, namun akhirnya saya tiada pilihan lain kecuali meredai pemergiannya.

Baca juga Suami mahu berpoligami tak perlu kebenaran isteri pertama? Ini penjelasan peguam

Bukan senang sebenarnya untuk meneruskan hidup. Saya berfikiran kehidupan saya diibaratkan seperti tiada cahaya di hujung terowong. Gelap gelita dan tiada berpenghujung.

Namun, nasihat demi nasihat yang diterima daripada orang sekeliling membuatkan hati saya terubat. Saya kena akui, menangis air mata darah sekalipun, anak tidak akan kembali.

datuk nora ariffin

Alhamdulillah, ramai yang membantu membimbing dari segi emosi dan kerohanian.

Seperkara, menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal bukannya mudah, tetapi saya terus berusaha untuk menjadi ibu dan juga bapa yang terbaik untuk anak-anak, meskipun masih serba-serbi kekurangan.

Dalam usaha untuk belajar mencari kesempurnaan membina kehidupan bersama anak-anak, rupa-rupanya ada hikmah di sebalik kehilangan suami dan anak tersayang.

Hubungan saya dengan tiga lagi anak semakin rapat dan segala-galanya dikongsi bersama.

Alhamdulillah, apabila mereka memahami keadaan kita yang bersusah payah meneruskan hidup dengan pendapatan tidak stabil sepanjang pandemik Covid-19, anak-anak menjadi lebih matang.

Justeru, kepada para wanita di luar sana, saya ingin berkongsi pesanan yang menjadi pegangan hidup saya ketika ini.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Ketahuilah, ALLAH tidak menyukai kita yang terlalu bergantung harap kepada manusia dan kebergantungan itu hanyalah kepada ALLAH semata-mata.

Kita perlu mengakui dan menerima hakikat bahawa pada suatu hari nanti, kita semua akan meninggalkan dunia ini.

Kita semua juga perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melepaskan apa yang kita sayang dengan penuh reda. Perancangan ALLAH itu lebih baik sebenarnya.