TULAR di media sosial demonstrasi jalanan yang dipercayai terlibat dalam perhimpunan #Lawan di sekitar ibu negara.

Foto dan video mereka yang memakai pakaian berwarna hitam berdemonstrasi bermula dari Stesen LRT Masjid Jamek menuju ke Dataran Merdeka viral di laman sosial dan meraih perhatian ramai.

Demonstrasi berkenaan menjadi tular di laman Twitter dengan tanda pagar #LAWAN mempamerkan pelbagai aksi seperti membawa objek seperti kain rentang dan pelbagai plakad.

Walaupun dikatakan berlangsung secara aman, rata-rata warga maya menzahirkan pelbagai kebimbangan termasuk penularan Covid-19.

– “Ramainya, bukankah perhimpunan beramai-ramai tidak dibenarkan? Tak cukup lagikah kes yang ada.”

– “Kenapalah berhimpun sekarang. Jika tidak mahu hargai usaha kerajaan, hargailah usaha kakitangan KKM yang tidak berehat lagi sejak tahun lepas.”

– “Kita tengah pandemik janganlah bertindak begini. Fikirkan juga nyawa orang lain.”

– “Risaunya, takut timbul kluster baru je.”

Baca juga Warganet Sedih, Pertama Kali Tengok Doktor Mogok. 13 Gambar ‘Rare’ Hospital Malaysia

Dalam perkembangan terkini, Bernama melaporkan polis akan memanggil semua pihak termasuk penganjur yang terlibat dalam perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ berhampiran Dataran Merdeka.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata walaupun perhimpunan itu berlangsung secara aman, ia jelas melanggar peraturan dan seramai 400 peserta telah menyertai perhimpunan itu.

“Perhimpunan ini berlangsung dengan aman tetapi polis akan mengambil tindakan susulan kerana ia jelas melanggar Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Katanya tiada sesiapa dibenarkan berhimpun atau terlibat dengan sebarang perhimpunan di mana-mana tempat sama ada bagi aktiviti keagamaan, sosial, sukan, perkahwinan atau kebudayaan.

Katanya, peserta berkenaan telah menyasarkan Dataran Merdeka maka polis telah menghalang mereka memasuki kawasan itu.

Iklan

“Oleh yang demikian, mereka mengadakan perhimpunan di luar kawasan Dataran Merdeka dan kami telah beri mereka masa untuk bersurai,” katanya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Mengulas mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Mohamad Zainal berkata kesemua peserta perhimpunan itu mematuhi SOP memakai pelitup separuh muka tetapi gagal mematuhi penjarakan fizikal.

“Jarak fizikal agak sukar dikawal kerana adakalanya kita terlupa, rapat antara satu sama lain.

“Tiada sebarang tangkapan dibuat dalam perhimpunan itu,” katanya sambil menambah pihaknya menempatkan seramai 300 pegawai dan anggota polis bagi mengawal perhimpunan itu.

Iklan

Mengulas sama ada penganjur ada memohon permit kebenaran untuk mengadakan perhimpunan itu, Mohamad Zainal berkata dalam tempoh kawalan pergerakan ketika ini sebarang perhimpunan tidak dibenarkan sama sekali.

Demonstrasi atau perkataan yang semakna dengannya tunjuk perasaan bermaksud perbuatan menyatakan pendapat (bantahan dan sebagainya) dengan perarakan atau rapat umum dan sebagainya, atau perbuatan menyatakan bantahan beramai-ramai.

Menelusuri sejarah yang panjang, rakyat Malaysia pernah menyaksikan pelbagai demonstrasi. Antaranya ialah Demonstrasi membela kes Natrah, Demonstrasi menentang Malayan Union 1950, Demonstrasi Baling 1974 dan Demonstrasi BERSIH 2007.

Sumber: Bernama, Facebook Sinar Harian

Foto: 1