Ebit Lew ziarah bapa, anak dibaham buaya, hadiahkan bot dan enjin, titipkan semangat serta doa
BARU-BARU ini tular satu video yang memaparkan seorang lelaki mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan anaknya yang dibaham buaya.
Video itu mendapat perhatian warga maya yang begitu sedih dan simpati dengan lelaki itu selepas gagal menyelamatkan anaknya.
Baca juga: Tular wanita hantar makanan gendong anak OKU jentik hati warga maya, Ebit Lew hadiahkan kereta
Kejadian itu berlaku berhampiran Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM), di Lahad Datu. Berdasarkan maklumat, lelaki berusia lingkungan 40-an terbabit bersama anaknya dipercayai diserang buaya ketika sedang mendayung sampan.
Bagaimanapun lelaki itu diselamatkan oleh orang awam namun mengalami kecederaan. Difahamkan lelaki terbabit parah dengan kecederaan di beberapa bahagian badan dan kepala akibat gigitan buaya berkenaan.
Pendakwah bebas, Ebit Lew telah meluangkan masanya untuk melawat lelaki yang dikenali sebagai Morehan di kediamannya di Lahad Datu. Dari Jakarta, Ebit terus ke Sabah menziarahi bapa malang ini.
“Menangis saya masa melihat kejadian itu. Anaknya umur dua tahun. Teringat-ingat. Berulang-ulang abang itu cakap, anaknya belum jumpa. Anaknya belum balik. Anak itu penemannya ke mana-mana. Rapat dengannya.
“Jauh pandangannya. Termenung jauh. Depan mata dan berusaha berenang mencari anaknya walau bahaya menanti. Itulah seorang ayah. Begitulah sifat ayah sanggup beri nyawa demi anaknya. Sabar ya abang. Berat ujian abang. Insya-ALLAH jumpa di sana nanti. Ya ALLAH beri ketabahan pada abang ini,” kata Ebit.
Dalam pertemuan tersebut, Ebit telah menghadiahkan bot dan enjin untuk Morehan. Selain itu beliau juga turut menitipkan sedikit kata semangat dan doa.
“disaat kita rasa ujian kita berat, ada orang jauh lebih berat ujiannya. Bersyukurlah dalam hidup ini. Hargai apa yang kita miliki,” jelas Ebit.
Di ruangan komen, rata-rata warga maya turut meluahkan rasa sebak dan simpati terhadap apa yang menimpa Morehan. Berikut antara komen-komen warga maya:
- “Kosong pandangan matanya. Takziah.”
- “Senyum pun sukar dizahirkan. Allahuakbar peritnya dia menanggung trauma. Semoga dia kuat demi ahli keluarganya yang lain.”
- “Semoga hatinya kuat. Tidak tahan air mata tengok video anaknya dibaham buaya.”
- “Takdir ketentuan ALLAH. ALLAH lebih menyayangi anaknya.”
Oleh: Norhasliza Mohd Shafi
Sumber: Ebit Lew
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang