MULIANYA hati, demikian ujar netizen selepas tindakan luar biasa seorang ejen hartanah menghalalkan wang yang digunakan seorang wanita selepas kad debit tercicir.

Ejen hartanah, Arzaim Barimin kehilangan kad debit miliknya di sebuah restoran di Gelang Patah, Johor. Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut berlegar di media sosial membantu beliau mengesan pelaku.

Baca juga: Mudahnya! Ini cara tukar kad debit Maybank secara online, kad dihantar ke rumah

Arzaim berkongsi hantaran di sebuah grup komuniti Facebook meminta netizen mengesan wanita yang menggunakan kad beliau yang secara tidak sengaja tertinggal kad berkenaan ketika menjamu selera di sebuah restoran.

Wanita berkenaan dirakam menerusi CCTV memakai tudung biru manakala suaminya berbaju merah bersama tiga orang anak.

“Saya makan di sebuah restoran di Stadium Sultan Ibrahim ketika perlawanan Persahabatan JDT dan Persis Solo. Saya berbaju putih. Kad debit saya tertinggal atas menu restoran.

“Pencuri (yang memakai tudung biru) selamba mengunakan (tap) kad debit saya untuk membeli burger. Jika ada sesiapa mengenali mereka minta hubungi saya kerana kad tersebut telah dia gunakan di tempat lain juga sebelum saya sempat batalkan kad,” kongsi Arzaim di grup JDTFC.

Baca juga: Mudah dan cepat. Mesin layan diri kini mampu memperbaharui kad debit tamat tempoh

Kuasa viral perkongsian tersebut membolehkan beliau menemui wanita berkenaan dalam masa singkat dan menyelesaikan segala kekusutan dengan baik.

“Saya akui silap saya cuai selepas selesai membayar. Saya mengambil gambar menu kerana bercadang untuk memesan sarapan buat isteri di restoran itu keesokannya. Boleh pula kad tersebut sama warna dengan kad menu restoran. Saya menerima notifikasi daripada Bank Islam untuk kesemua transaksi. Hanya transaksi ketiga membuatkan saya tersentak kerana amaunnya yang besar.

“Pelaku ada menelefon saya petang keesokannya selepas video tersebar. Kami berjumpa di Puteri Harbour pada pukul 9.00 malam.

“Dia mengaku bersalah kerana “terguna” kad saya sebanyak empat kali. Dua kali ketika membeli burger di restoran dan dua kali di sebuah kedai runcit di Gelang Patah. katanya sudah pukul 11.00 malam tidak banyak kedai yang masih beroperasi ketika itu.

“Untuk burger dia akan bayar semula di restoran kerana saya sudah terima bayaran balik. Terima kasih kepada restoran dan JDTFC yang membantu daripada awal kes sampai sudah. Kes sudah selesai, moga menjadi pengajaran untuk semua,” ujar Arzaim.

Melalui peristiwa berkenaan, Arzaim mengakui akan lebih berhati-hati pada masa akan datang terutama berkaitan pembayaran di kaunter.

Selepas melihat senarai barangan yang dibeli pelaku di kedai runcit, sifat empati dalam diri membuatkan beliau memilih untuk menghalalkan sahaja.

“Pesanan untuk diri sendiri selepas ini akan lebih berhati-hati semasa membuat pembayaran di kaunter. Selepas bayar perlu ‘double check’ kad atau duit yang diterima.Saya yakin ada hikmah di sebalik kejadian ini. Transaksi yang besar dia buat adalah perbelanjaan barang harian dekat di kedai runcit.

“Saya kenangkan dia ada anak kecil sebaya anak saya. Tidak mengapalah, saya halalkan sahaja. Saya juga berharap dia (pelaku) belajar daripada kesilapan,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu kepada SinarPlus.

Baca juga: Tiada cara lain, anak terpaksa angkut ibu dengan katil naik ambulans perbaharui kad ATM

Warga maya tersentuh dengan perkongsian Arzaim. Kebanyakannya mahu kes berkenaan menjadi peringatan agar tidak mengambil mudah perihal mengambil barangan milik orang lain dan cuai dalam menggunakan kad debit. Ujar mereka:

– “Pemilik kad tersebut berjiwa besar kerana memaafkan. Pengajaran buat semua kalau bukan hak kita jangan ambil. Namanya amanah, terjumpa kad debit orang lain di restoran pulangkan pada juruwang supaya tuan punya boleh tuntut. Mudahkan urusan orang, itu lebih baik. Ikutlah resmi orang Jepun bab amanah.”

– “Bagus viralkan begini. Kalau tidak viral, rasanya wanita tersebut belum pulangkan kad debit lelaki ni. Viral begini biar jadi pengajaran kepada semua orang. Jangan sesekali ambil hak orang lain. Tanpa rasa malu pula, wanita tersebut gunakan berkali-kali dengan alasan beli barang keluarga. Sungguh tidak patut.”

-“Salah tetap salah kalau ambil barang orang tetapi tuan empunya badan sudah halalkan. Kira selesailah walaupun beliau yang tertinggal kad debit tu. Salah beliau tetapi orang lain tiada hak untuk ambil. Alhamdulillah selesai dengan baik”

Iklan

Baca juga: Kad bank hilang, ini yang perlu anda buat elak duit lesap

-“Bagusnya abang ini, siap halalkan lagi. Semoga ALLAH permudahkan segala urusan dan rezeki melimpah ruah seperti air yang mengalir.”

-“Pantas Tuan. Selamat kerana CCTV kedai berfungsi dan jelas. Semoga yang lain tidak berani mengambil kesempatan. CCTV banyak sekarang. Ambil sedikit atau banyak, itu duit orang.”

-“Fuh pemilik kad betul-betul berhati kental.”

-“Moga jadi pengajaran. Kalau tidak mampu memberi , setidak-tidaknya janganlah ambil hak orang lain. Ingat dosa dan pahala.”

-“Mulianya hati, moga pemilik kad dimurahkan rezeki.”

– “Jadilah seorang yang amanah. Tiada istilah terpakai sebab bukan hak kita.”

Iklan

TIP KAD BANK HILANG

1-Periksa transaksi dalam talian. Jika ada sebarang transaksi terkini yang tidak dikenali, catat segala maklumat berkaitan contohnya jumlah transaksi,
masa dan tarikh.

2-Jangan ambil remeh walaupun transaksi hanya melibatkan amaun yang kecil seperti RM5 kerana ia mungkin satu trik sebelum satu transaksi yang lebih besar dibuat oleh si pencuri.

3-Segera hubungi bahagian khidmat pelanggan, jangan bertangguh untuk memaklumkan kepada bank agar kad dibatalkan serta merta.

Baca juga: Bawa ibu strok ke bank tapi tertinggal IC, tindakan pegawai bank ini dipuji, siap turun ke kereta ambil cap jari

Kredit foto utama: Pexels

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi