MISS Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James mengesahkan dirinya kini bebas daripada jangkitan virus Covid-19 selepas dua minggu menjalani tempoh kuarantin kendiri di rumah.

Wanita berketurunan Orang Ulu Kayan-Kenyah sebelah bapa dan Iban (sebelah ibu) itu memberitahu, biarpun telah berwaspada mengikut prosedur operasi standard (SOP) disarankan, namun beliau akur dengan apa yang berlaku.

Menurut Francisca, 25, sebaik sahaja mendapat tahu keputusan ujian saringannya positif Covid-19, beliau menggigil ketakutan meskipun tidak mengalami sebarang gejala.

francisca luhong
SELEPAS dua minggu menjalani tempoh kuarantin kendiri keputusan ujian saringan kedua mencatatkan beliau telah pulih daripada jangkitan Covid-19.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa kerana menganggap mungkin ia berpunca daripada kekhilafan diri sendiri walaupun setiap masa berusaha mengikut SOP.

“Selain memakai pelitup muka, saya juga kerap mencuci tangan dan menggunakan cecair pembasmi kuman, namun ia (dijangkiti virus Covid-19) tetap terjadi.

“Oleh itu, solusi terbaik pada ketika itu saya menerimanya dengan tenang dan ikut SOP untuk langkah seterusnya,” tulis beliau menerusi laman sosial Instagramnya @francisca.luhong baru-baru ini.

Artikel berkaitan“Sudah Tahun 2020, Kenapa Masih Bersikap Rasis, Kenegerian”- Francisca Luhong

Wanita kelahiran Bumi Kenyalang tersebut turut menceritakan dek tidak tahu apa harus dilakukan, maka beliau segera menghubungi keluarganya di Sarawak.

francisca luhong
FRANCISCA akui takut untuk memaklumkan keadaan dirinya kepada keluarga kerana khuatir mereka bimbang.

“Disebabkan tidak tahu nak buat apa, saya terus hubungi ibu (Pauline Japok) dan ayah (James Bungan). Saya amat takut untuk memaklumkan mengenai perkara ini kerana khuatir mereka akan bimbang.

“Pun begitu, famili berjaya menenangkan saya dan menyarankan agar memaklumkan berita ini kepada Datin Elaine Daly (Pengarah Kebangsaan Organisasi Miss Universe Malaysia) dan mengamalkan SOP dari semasa ke semasa,” katanya.

francisca luhong
FRANCISCA (kanan) bersama Elaine Daly.

Seterusnya, Francisca menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia dan dinasihati menjalani kuarantin kendiri di kediaman peribadi memandangkan tidak mengalami sebarang simptom.

Iklan

“Sejujurnya, saya amat takut untuk menerima keputusan ujian saringan kerana kondisi kesihatan semuanya okey, tiada demam. Cuma bahagian belakang sakit sedikit dan selesema.

“Sepanjang kuarantin selama dua minggu, saya bermeditasi dan masih melakukan pengasingan kendiri agar semuanya kembali pulih sedia kala.

“Bersyukur, selepas hari ke-10 keputusan ujian saringan kedua mencatatkan saya negatif Covid-19,” jelasnya lanjut.

Iklan

Artikel berkaitan“Gaya Baju Cantik Rasa Lebih Yakin, Lebih Positif ” – Miss Universe Malaysia 2020

Dalam pada itu, pemegang Ijazah Perhubungan Awam, Universiti Teknologi Mara cawangan Lendu, Melaka turut menyarankan agar masyarakat sentiasa mematuhi SOP, jaga kebersihan dan kekal duduk di dalam rumah.

francisca luhong