'High Risk' bukan sekadar dicop pada buku pink, wanita kongsi detik getir bersalin bayi 4.37kg

ibu hamil (1)
ibu hamil (1)
A
A
A

'HIGH risk', mendengar perkataan itu akan meresahkan sesiapa sahaja lagi-lagi ibu yang bakal berdepan melahirkan anak.

Melahirkan bayiproses yang dilalui oleh setiap wanita berkahwin yang dikurniakan rezeki cahaya mata.

Bagi melahirkan anugerah berharga itu golongan ibu bakal berdepan apa sahaja risiko yang menanti.

Ada yang mengalami pelbagai dugaan dan cabaran namun ada sebaliknya.

Begitulah dengan wanita dikenali Lina yang berkongsi pengalaman bersalinnya pada 29 Oktober lalu.

*

Allahurabbi! Sangat menyeksakan hidup namun aku redha dan cuba tenang lalui demi seorang khalifah ALLAH.

Disahkan mengandung pada usia 38 tahun, berdepan pelbagai risiko buatku, masalah kencing manis (GDM), obesiti, pernah keguguran, pernah melahirkan anak melebihi 4kg (anak kedua 4.2kg), tiada pilihan lain, diwajibkan mengambil insulin untuk mengawal gula dalam darah.

Bermula usia bayi tiga bulan dalam kandungan, aku lalui hidup dengan mengambil suntikan insulin empat kali sehari.

Ku lalui demi seorang anak, suntikan yang menjadikan kulit pahaku lebam sehingga kini yang masih kelihatan. Hanya ALLAH sahaja yang mengetahui peritnya.

Pengalaman yang ku tulis ini untuk memori di kemudian hari.

Anak pertamaku seorang lelaki yg kini berusia 12 tahun, anak kedua pula perempuan berumur sembilan tahun, ketiga keguguran ketika dua bulan pada tahun lalu dan ini perjalanan mengandung dan melahirkan anak keempat aku.

Detik gembira bermula apabila aku mendapat 'double line' pragnancy test pada 26 Februari lalu.

Pada detik itu walau ia bermakna buat suami dan dua anak, namun aku kerisauan apabila baru sahaja mengalami keguguran pada empat bulan sebelumnya.

Namun ku lalui dengan tenang, siapa aku untuk menidakkan takdir dan rezeki dari ALLAH kan!

Hiduplah aku seperti wanita hamil lain, namun ku lebih istimewa diberi dugaan untuk mengambil suntikan insulin untuk tempoh sepanjang hamil.

Mujurnya permohonan untuk bekerja dari rumah diluluskan majikan. Alhamdulillah!

Baca juga Sah cuti bersalin 98 hari, kerja 45 jam seminggu mulai Januari 2023, 20 info perlu tahu

28 September 2022

Pemeriksaan akhir kandungan untuk doktor menegesahkan aku boleh bersalin normal atau pembedahan di Day Care, hospital.

Doktor pakar scan kandungan mengesahkan bayi besar dan mencadangkan aku bersalin secara pembedahan.

erus pihak hospital 'booking' tarikh untuk pembedahan malangnya bermula pada 30 September hingga 7 Oktober, bilik bedah mereka penuh.

Mau tidak mahu, memandangkan bayi tidak boleh lagi ditunggu lama (mungkin risiko lagi besar), mereka memutuskan untuk aku bersalin pada keesokkannya. Fuh! berderau darah aku masa tu. Akur! Aku perlu masuk wad pada hari yang sama.

29 September 2022

Seawal 7.50 pagi aku dipanggil untuk memasuki bilik bedah. Hanya doa mengiringi aku waktu itu.

Sambil mengusap perut, menitip pesanan buat bayi yang akan bersua tidak lama lagi.

Ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari!

Begitulah, ku berdepan detik sukar ketika pembedahan. Proses bius yang menyiksakan, hampir dua jam doktor bius mencuba namun gagal, ALLAH sakitnya ketika itu.

Lebih 10 suntikan namun masih gagal, akhirnya mereka terpaksa panggil doktor lain. Mujur doktor yang datang (mungkin pakar), alhamdulillah dengan dua kali cucuk, dia berjaya.

Aku dibius separuh badan untuk pembedahan kali ini. Selepas bius berjaya, terus ku rasa dalam bilik bedah itu kelam kabut dengan tugasan masing-masing.

10 minit pembedahan berjalan, aku tiba-tiba mengalami sesak nafas. Ketika itu, dadaku sangat berat, hanya mak, ayah, suami dan anak-anak yang ada difikiran.

Sebak, tidak boleh lagi bernafas, suara-suara orang sekeliling dan doktor bius di tepi aku kian kelam. ALLAH! mungkin ini pengakhiran hidup aku. Aku cuba mengucap dua kalimah syahadah.

Ya, aku rasa nyawaku sudah di penghujung.

Namun syukur alhamdulillah, aku tidak pasti berapa lama aku 'hilang'. Sedarku ketika itu dapat mendengar suara doktor di sebelah mengatakan, "puan relaks ya, bacaan jantung normal. Puan selamat bersalin, sekarang dalam proses menjahit."

Ketika itu juga ku mendengar tangisan bayi, ALLAH anakku! Tidak lama kemudian mereka datang membawa bayi menunjukkan jantina dan diberi ku menciumnya. ALLAH anakku perempuan, wanginya ku cium!

"Puan bayi puan kami bawa ke bilik khas ya, nafasnya sedikit laju."

Kata-kata itu ibarat panahan buatku, terus ku berdoa pada ALLAH agar memelihara anakku daripada sebarang penyakit.

Selepas pembedahan, aku dihantar ke wad.

Bayi diletakkan di Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU) hanya suami dapat melihatnya pada petang itu. Bayi dimasukkan oksigen.

30 September 2022

Aku gagahi untuk bangun dan menguruskan diri, niat dihati ingin melihat si kecilku di wad berlainan.

Syukur dapat melihat si kecil di NICU, walaupun keadaan meruntun hati namun ku bulatkan hati mengatakan anakku okey dan ambil sedikit masa untuk sembuh.

Baca juga Suami tak pergi solat Jumaat sebab nak teman isteri bersalin, Dr Zulkifli jelaskan hukumnya

1 Oktober 2022

Aku dibenarkan pulang, namun apa yang sangat menyedihkan bayiku masih perlu dipantau di hospital. Bayi dipindahkan ke wad Unit rawatan rapi bayi (SCN), perlu dimasukkan bantuan oksigen dan antibiotik kerana ada kuman dalam darah.

Sepanjang bayiku di hospital, ku ulang alik setiap petang. Suami juga setiap hari tidak pernah 'miss' untuk bertanyakan doktor perkembangan bayi.

Setelah dua minggu di hospital, doktor memaklumkan bayi masih perlu menggunakan bantuan oksigen.

Masuk hari ke 15 doktor membuat ujian jantung, namun syukur alhmdulillah tak ada apa. Doktor memaklumkan mereka lakukan ujian paru-paru dan mengesahkan ada kuman sekali gus perlukan antibiotik.

14 Oktober 2022 (hari ke-16)

Tarikh due sebenar bayi.

Allahurabbi, allahuakbar, allahuakbar, allahuakbar!!! Bayi dibuka oksigen untuk dipantau pernafasan! Ini juga detik pertama aku dapat memegang dan memberi susu badan. Namun pada malamnya bayi perlu bantuan oksigen semula.

Setelah lima hari bayi dipantau bernafas tanpa bantuan oksigen akhirnya bayi dibenarkan pulang ke rumah pada hari ke 23 usianya.

Alhamdulillah! Akhirnya bermula perjalananku berpantang dengan bayi.

Allahuakbar! Kaulah sebaik perancang.

Perjalanan mengandung dan bersalin kali ini amat berbeza buatku.

Nasihatku buat ibu-ibu di luar sana, jika ingin menambah anak lagi teruskanlah ketika usia masih muda.

Betul kata orang, jika ingin bersalin, usahalah sebelum umur 35 tahun. Risiko yang ku lalui memberikanku seribu pengalaman.

Sementara itu, menurut portal myhealth, sesiapa sahaja boleh mengalami GDM semasa kehamilan.

Pesakit yang sememangnya menghidapi diabetes berisiko tinggi menghidap GDM.

Namun, wanita boleh menghidap GDM tanpa sebarang penyakit diabetes sebelumnya.

Faktor-faktor yang meningkatkan kemungkinan berlakunya GDM termasuklah:

  • Sejarah keluarga menghidapi diabetes.
  • Wanita berumur (> 25 tahun).
  • Berat badan yang berlebihan sebelum hamil.
  • Menghidap GDM ketika kehamilan yang lalu.
  • Mengalami masalah yang berkaitan semasa hamil seperti hipertensi, penghasilan cecair amnion berlebihan (polihidramnios), keguguran.
  • Pernah melahirkan bayi yang bersaiz besar (>4kg) ketika kelahiran terdahulu, lahir mati, atau bayi yang dilahirkan cacat.
  • Jangkitan kandidiasis faraj yang berulang-ulang dan jangkitan kulat pada kulit.

Baca juga Bersalin secara pembedahan tak boleh lebih 3 kali, ini risiko wanita perlu tahu

Gejala atau tanda:

Lazimnya wanita tidak menunjukkan sebarang tanda amaran walaupun kemungkinan sesetengah wanita merasa teramat dahaga, kerap buang air kecil dan kelesuan.

Ramai wanita yang menghidap GDM tidak menunjukkan sebarang faktor risiko.

Doktor akan menjalankan ujian darah Modified Oral Glucose Tolerance Test (MOGTT) ke atas anda untuk mengesan GDM sama ada semasa lawatan pertama jika anda berisiko tinggi atau pada minggu ke 24 hingga 28 kehamilan, jika risiko anda tidak begitu tinggi.

Jika ujian pertama untuk wanita yang berisiko tinggi negatif, maka ujian kedua perlu dilakukan antara minggu ke 24 hingga ke 28.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca