BAGI seorang wanita, melalui detik-detik melahirkan zuriat suatu pengalaman yang cukup bermakna. Jika boleh, si isteri mahukan kehadiran suami di sisi bagi memberikan sokongan dan kata-kata semangat ketika bertarung nyawa melahirkan zuriat yang dinanti-nantikan.

Bagaimanapun persoalan timbul apabila tanda-tanda isteri hendak melahirkan sangat hampir dengan waktu solat Jumaat.

Baca juga: Solat Jumaat di tempat larangan ulil amri? Hati-hatilah, takut tak sah, nanti kena ganti balik dengan solat Zuhur

Lalu yang mana satu si suami perlu dahulukan. Menemankan isteri di bilik bersalin atau pergi menunaikan solat Jumaat?

Solat Jumaat merupakan salah satu tuntutan syarak yang wajib hukumnya ke atas setiap lelaki muslim yang mukallaf serta salah satu daripada syiar agama Islam. Begitu banyak nas syarak yang menunjukkan kepada pensyariatan solat Jumaat serta larangan yang tegas ke atas mereka yang meninggalkannya dengan sengaja.

Kredit foto: Pixabay

ALLAH SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati ALLAH (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat).

Solat Jumaat diwajibkan kepada mereka yang memenuhi tujuh syarat berikut, iaitu:
– Beragama Islam
– Baligh
– Berakal
– Merdeka (bebas) sepenuhnya
– Lelaki
– Sihat tubuh badan
– Bermukim di tempat solat Jumaat didirikan

Sekiranya seseorang itu telah cukup ketujuh-tujuh syarat ini, maka diwajibkan solat Jumaat ke atas dirinya.

Rasulullah SAW memberi ancaman kepada orang yang meninggalkan solat Jumaat secara sengaja dan mengambil mudah tentang kewajipannya dengan ALLAH SWT akan mengunci mati hatinya.

Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَرَكَ ثَلاَثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ
Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan tiga kali solat jumaat kerana mengambil ringan akannya, nescaya Allah SWT akan mengunci mati hatinya.

Baru-baru ini seorang pengguna Twitter telah bertanya kepada Dr Zulkifli tentang hukum seorang suami meninggalkan solat Jumaat kerana ingin menemani isteri di dalam bilik bersalin. (ciapan tersebut telah pun dipadam)

Kredit foto: Pixabay

 

Baca juga: Waktu berdoa paling mustajab hari Jumaat, ibu-ibu jangan lupa gunakan sebaiknya

Menurut Dr Zulkifli yang merupakan bekas Menteri Agama, solat Jumaat adalah tuntutan agama yang wajib dilaksanakan.

Jelas Dr. Zulkifli, solat Jumaat tetap wajib dilaksanakan biarpun ketika itu si isteri sedang menunggu masa untuk melahirkan anak.

“Solat Jumaat tetap wajib. Tinggalkan isteri di bilik bersalin. Insya-ALLAH, ALLAH jaga” katanya.

Menurut beliau, ketika menunaikan solat Jumaat, para suami boleh memohon kepada ALLAH SWT agar urusan isteri bersalin dipermudahkan. Antara waktu yang mujarab untuk berdoa adalah pada waktu antara dua khutbah.

Seorang pengguna Twitter yang lain pula bertanya tentang bagaimana jika segelintir pasangan yang enggan memahami tuntutan agama ini? Sungguhpun tahu solat Jumaat wajib ditunaikan, si suami tetap enggan meninggalkan isterinya selain tindakan isteri yang merayu-rayu suami untuk menemaninya.

“Suami dan isteri yang faham agama, Insya-ALLAH faham keperluan akan kebergantungan kepada ALLAH pada saat-saat genting sebegitu.

“Keutamaan bagi suami adalah berdoa kepada ALLAH SWT untuk dipermudahkan kelahiran anak. Meninggalkan solat Jumaat hanya mengundang murka dan dosa kepada ALLAH,” katanya.

Iklan

Baca juga: Video tular jemaah solat Jumaat dari hentian bas, ini penjelasan Mufti

Persoalan tentang topik ini juga turut menarik perhatian pengguna Twitter. Berikut antara-antara komen-komen yang ditulis oleh pengguna Twitter:

– “Bila baca soalan itu, saya rasa takut. Makin ramai umat Islam tidak memahami perkara asas.”

– “Apakah yang paling utama dalam hidup seorang Muslim? Pencipta-NYA atau yang dicipta-NYA…tanyalah pada diri sendiri.”

– “Selepas hantar isteri, pergilah solat Jumaat dan doa banyak-banyak supaya isteri dan anak selamat.”

– “Pengalaman saya, jam 8.00 pagi masuk ke dewan bersalin, saya beritahu bayi dalam perut supaya ‘keluar’ awal sebab ayahnya hendak pergi solat Jumaat. Alhamdulillah jam 11.00 pagi saya selamat bersalin.”

– “Saya dilahirkan pada tengah hari waktu solat Jumaat dan ibu bersalin tanpa ayah di sisi sebab ayah pergi solat Jumaat. Sampai ke hospital ayah tengok sudah ada bayi.”

Iklan

– “Suami saya melakukan tindakan yang betul walaupun hati berat waktu bersalinkan anak sulung. Sepanjang suami solat Jumaat, rasa sakit kontraksi tidak seteruk sebelum suami pergi solat Jumaat.”

Baca juga: 7 peranan suami temani isteri bersalin

Sumber: Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Maktabah al-Bakri

Kredit foto utama: Pexels 1, 2

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.