PADA Rabu minggu lalu, seorang wanita mengirimkan bukti video cahaya matanya yang sedang menderita penyakit kepala besar atau hidrosefalus kepada penulis.

Jujur, penulis hanya mampu menonton kurang dari 10 saat. Bukan apa, hati penulis bergetar saat melihat penderitaan adik Muhammad Daiyan Faris Rayyan Khaire yang kerap mendapat sawan kerana penyakit yang ditanggungnya itu.

Sawan itu akan menyebabkan si kecil yang kini berusia enam tahun menggelupur dan mulutnya mengeluarkan darah.

Apabila berbicara dengan ibu kanak-kanak comel itu, ayat-ayat yang terpacul dari mulutnya jelas menggambarkan ketabahan dirinya memelihara anak syurga itu.

Roziyana Abdul Razak, 37, memberitahu SinarPlus, kerisauannya bukan kepalang setiap kali melihat tambatan hatinya itu mengerang kesakitan.

“Sawan kronik boleh menyebabkan gegaran pada otaknya, itu yang paling menakutkan saya,“ tuturnya yang kekal memeluk erat Daiyan dalam pangkuannya.

daiyan

Ya, melihat badan Daiyan yang kurus melidi hingga tulang rangkanya jelas kelihatan membuatkan sesiapa sahaja akan tersentuh.

Sambil menahan perasaannya, Roziyana cuba menjawab semua persoalan yang dilontarkan penulis.

Memulakan naratif ceritanya, beliau berkata, pada peringkat awal, tiada simptom yang mencurigakan, namun selepas dilahirkan, Daiyan mempunyai sakit kuning yang tinggi.

“Doktor terpaksa tukar darah memandangkan sakit kuningnya tidak turun. Pada usia lapan bulan, saya agak terkejut melihat saiz ukur lilit kepalanya membesar dan dia terpaksa dirujuk di sebuah hospital di Kuala Lumpur,“ katanya.

Tulang pinggul terkeluar

Hati ibu mana yang tidak hancur apabila pakar mengesahkan si comel itu bukan sahaja mengalami masalah saluran darah tidak normal malah menghidap hidrosefalus.

“Pembedahan kecil perlu dilakukan untuk membuang lebihan cecair pada kepalanya bagi mengelakkan saiz kepala membesar secara abnormal. Saya juga kelu apabila doktor maklumkan Daiyan hanya mampu bertahan kira-kira enam bulan. Saya merenung wajah polos Daiyan, namun saya percaya dengan aturan ALLAH SWT,“ katanya dengan suara yang tersekat-sekat.

Lebih meruntun perasaan, Daiyan yang tidak mengerti apa-apa itu terpaksa menjalani pembedahan kecil pada saluran darah demi kelangsungan hidup.

daiyan

“Bukan sekali tetapi lebih 10 kali cinta hati saya dibedah. Ah! Susah nak bercerita tentang perasaan tatkala melihat tubuh kecil Daiyan lemah tidak berdaya selepas melalui semua itu,“ katanya yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Jelatek, Kuala Lumpur.

Bebanan Daiyan memang tidak terhitung apabila kembali lagi ke bilik bedah. Kali ini, disebabkan tulang pinggulnya terkeluar akibat sawan baru-baru ini. Apabila plat terpaksa dipasang, tulang belakang si kecil itu pula membengkok.

Artikel berkaitan: Kemelut bapa tunggal urus anak tanpa isteri, rezeki sentiasa sempit

“Daiyan akan menangis kesakitan jika saya atau suami saya angkat dia untuk pindah ke kerusi sorong atau katil. Kami juga takut nak bawa dia naik kereta untuk rawatan susulan ke hospital,” tuturnya.

Iklan

Masih mengharap

Bercerita tentang kos rawatan, Roziyana menggelengkan kepala. Bukan mahu merungut, pendapatannya sebagai penjual sate di Ampang Street, Kuala Lumpur dan suaminya yang bekerja sebagai juruteknik dengan gaji kurang daripada RM2,000 membuatkan mereka perlu bekerja keras.

Impak Covid-19 jelas mengganggu momentum perniagaannya. Bayangkan, dalam sehari wanita itu hanya mampu meraih pendapatan sekitar RM30 hingga RM60 sahaja.

Selain Daiyan yang merupakan anak ketiga keluarga itu, pasangan suami isteri berkenaan mempunyai lima anak lelaki lain masing-masing berusia tiga hingga 15 tahun.

“Saya bersyukur apabila kempen derma RM10 yang tular menerusi media sosial sedikit sebanyak membantu menampung kos rawatan anak di Pusat Perubatan Universiti Malaya sebelum ini,“ katanya.

daiyan

Iklan

Pun demikian, keadaan Daiyan yang masih memerlukan rawatan membuatkan Roziyana mengaku bahawa keluarganya masih mendambakan bantuan.

“Ya, benar Daiyan masih kritikal. Meskipun doktor mengandaikan hayat anak saya tidak bertahan lama, saya percaya kepada keajaiban Tuhan dan saya percaya Daiyan masih ada harapan. Saya perlukan sumbangan namun, sumbangan itu akan lebih bermakna jika orang ramai membeli sate saya,“ katanya.

Justeru, orang ramai yang ingin membantu, boleh berbuat demikian dengan menyumbang ke akaun Maybank 5144 9569 0786 atas nama Roziyana Abd Razak.

Ya, benar Daiyan masih kritikal. Meskipun doktor mengandaikan hayat anak saya tidak bertahan lama, saya percaya kepada keajaiban Tuhan dan saya percaya Daiyan masih ada harapan. Saya perlukan sumbangan namun, sumbangan itu akan lebih bermakna jika orang ramai membeli sate saya.”