MENGURUSKAN dua anak yang masing-masing terlantar seumur hidup dan cacat pendengaran bukan mudah buat Rohani Hussin, 66, apatah lagi kudratnya tidak segagah dahulu.

Selain menderita penyakit darah tinggi dan kencing manis, lututnya juga tidak boleh banyak bergerak.

Bukan itu sahaja, kehilangan suami yang meninggal dunia akibat strok sejak lapan tahun lalu, adakalanya membuatkan semangatnya goyah.

Pun begitu, perasaan kasih dan cinta tidak berbelah bahagi kepada zuriat tersayang, Mohd Zulkarman Mohd Yusoff, 28, membuatkan empunya diri terus tabah.

Cerita Rohani, Mohd Zulkarman pada asalnya seperti pemuda lain yang sihat dan cergas. Pun demikian, pada tahun 2012, anak ketujuh daripada lapan beradik itu mengalami kecederaan parah akibat kemalangan.

Natijahnya, beliau sudah tidak mampu berdiri, apatah lagi mengurus diri sendiri.
Kepada SinarPlus, wanita berusia 66 tahun tersebut memberitahu, hatinya pilu mengenangkan nasib Mohd Zulkarman yang sudah terlantar sejak lebih 10 tahun lalu, meskipun pelbagai ikhtiar sudah dilaksanakan.

“Bukan saya tidak pernah berusaha sebelum ini, sudah habis wang simpanan hasil jualan rumah dikeluarkan demi menampung kos rawatan dia, namun sampai satu tahap doktor maklum, keadaannya tidak boleh disembuhkan lagi,” katanya yang kini tinggal di rumah sewa anak perempuannya di Pangkal Changgung, Machang, Kelantan.

Mengimbas semula bagaimana kemalangan berlaku, Rohani berkata, Mohd Zulkarman terlibat dalam satu nahas ketika dalam perjalanan untuk menonton perlawanan bola sepak.

“Dia bersama sepupunya menunggang motosikal ke stadium. Sepupunya meninggal dunia di tempat kejadian selepas patah tengkuk, manakala anak saya pula koma.

“Bukan sebulan, tetapi enam bulan lamanya dia koma dan dirawat di beberapa hospital termasuk berulang-alik dari Kelantan ke Hospital Kuala Lumpur. Ketika dibawa balik ke rumah, tiba-tiba dia sedar,” imbaunya.

BACA JUGA Khas untuk anak OKU, permohonan bantuan ANIS maksimum RM5,000 kini dibuka

BACA JUGA Perlu bantuan, Ustaz Kazim lalui detik mencabar, sakit, gatal, gelisah, pedih

Selepas bersembang lama, barulah Rohani ada kekuatan untuk memberitahu tentang satu kisah lain kepada penulis. Rupa-rupanya, anak bongsu beliau, Mohd Zulhilmi yang kini berusia 24 tahun merupakan lelaki cacat pendengaran.

“Mohd Zulhilmi mengalami masalah kesihatan sejak dilahirkan dan terpaksa ditahan wad lebih sebulan. Perkembangannya tidak normal seperti anak-anak yang lain.

“Saya ingatkan dia bisu sebab tak bercakap, malah untuk panggil mama pun dia tak pandai. Selepas dia bersekolah rendah, barulah dia pandai bertutur, tetapi dalam bahasa dialah,” kata beliau.

Meskipun begitu, ujar Rohani, Mohd Zulhilmi tidak pernah melakukan sesuatu perkara luar biasa yang boleh merisaukan famili.

Bukan saya tidak pernah berusaha sebelum ini, sudah habis wang simpanan hasil jualan rumah dikeluarkan demi menampung kos rawatan dia, namun sampai satu tahap doktor maklum, keadaannya tidak boleh disembuhkan lagi,” katanya yang kini tinggal di rumah sewa anak perempuannya di Pangkal Changgung, Machang, Kelantan.

IHSAN ORANG RAMAI

Luah ibu kepada lapan anak itu, perasaan takut membelenggu diri tatkala mengenangkan bagaimana masa depan dua anak orang kurang upayanya jika beliau sudah tiada di muka bumi ini.

“Kalau mahu ceritakan satu persatu, memang tidak terluah apa yang terbuku dalam hati. Berdepan ujian silih berganti, hanya ALLAH sahaja dapat membaca isi hati saya, namun demi anak-anak, saya mesti bersemangat,” ungkapnya sayu.

Selayaknya Rohani boleh digelar ibu yang cukup cekal, kuat, berani dan memiliki tahap kesabaran yang tinggi.

Iklan

Di sebalik kisah duka Mohd Zulkarman dan Mohd Zulhilmi, wanita itu sebenarnya sudah berdepan dengan banyak kehilangan.

Beliau begitu hiba tatkala menceritakan tentang dua lagi anak lelakinya yang telah meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

Anak sulungnya, Mohd Zulkifli meninggal dunia akibat demam panas pada usia 47 tahun, manakala anak keempat, Zulkarnain terkorban dalam nahas jalan raya pada tahun 2017.

Pendedahan tersebut membuatkan penulis terkedu dan perasaan sedih semakin menghantui diri selepas mendengar suara warga emas itu menangis.

“Doakan saya agar terus kuat berdepan dengan ujian daripada ALLAH,” katanya.

Tidak lagi bekerja, jadi bagaimana beliau menanggung kos perubatan, makan dan minum Mohd Zulkarman dan Mohd Zulhilmi?

Iklan

Rohani berterus terang, dirinya bergantung kepada ihsan anak-anak yang lain termasuk orang ramai.

Kalau mahu ceritakan satu persatu, memang tidak terluah apa yang terbuku dalam hati. Berdepan ujian silih berganti, hanya ALLAH sahaja dapat membaca isi hati saya, namun demi anak-anak, saya mesti bersemangat.

Untuk bantuan lampin pakai buang Mohd Zulkarman, keluarga itu menerima sumbangan daripada Perkeso setiap bulan. Pun demikian, untuk susu khas, wanita itu mengakui tidak mampu untuk membelinya sehingga terpaksa beri ‘makanan biasa’ sahaja kepada pemuda itu.

“Sejak pindah ke rumah anak, bantuan kerajaan sebanyak RM500 dihentikan kerana perlu buat permohonan baharu disebabkan pertukaran alamat. Semua dokumen sudah selesai, cuma kami masih menunggu kelulusan.

“Sekarang ini saya menumpang di rumah sewa anak perempuan yang sedang sarat mengandung anak kelima. Saya memang rasa serba salah,” katanya.

Kepada orang ramai yang ingin membantu, sumbangan anda boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam 03072020993641 atas nama Rohani Hussin.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.