SEMALAM, pengguna media sosial terutamanya pengikut media sosial ibu kepada pengacara terkenal Neelofa, Noor Kartini dikejutkan dengan satu posting di Instagram (IG) Story wanita itu.

Malah ia turut menjadi perhatian ramai apabila didakwa mempersoalkan sistem perlembagaan di Malaysia dengan melibatkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Bagaimanapun, IG Story itu telah dipadam selepas beberapa minit kemudian.

Selain itu, Noor Kartini turut memberitahu perkara tersebut dilakukan oleh salah seorang pekerjanya. Ini cerita sebenarnya.

1. Dalam satu tangkap layar yang tersebar luas, menunjukkan imej dan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkaitan isu cadangan sekatan penuh bersasar bagi menangani kebimbangan lonjakan penularan Covid-19. Bagaimanapun, ia turut disertakan sekali dengan kata-kata yang mempertikai niat dan saranan Sultan Johor tersebut. Kata-kata tersebut adalah “Kalau perihatin suruh la Agong batalkan darurat!! Cakap je lebih!!”

2. Setelah itu, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim turut memuat naik tangkap layar berkenaan di akaun IG Story beliau dengan kapsyen “Memang keluarga dia ni semua jenis macam ni?”.

Tunku Idris turut berkongsi satu petikan daripada Saidina Ali bin Abi Talib berkenaan adab. “Sesungguhnya adab itu tidak akan boleh didapati dengan jual beli, akan tetapi ia adalah suatu yang terbit di dalam hati setiap insan yang dididik dengan baik. Bukanlah faqir itu orang yang tiada emas ataupun harta tetapi faqir itu orang yang tiada adab juga akhlaknya.”

Bakal imam Neelofa, kenali siapa PU Riz

3. Justeru, ibu selebriti kontroversi itu menjelaskan perkara tersebut berlaku atas kecuaian salah seorang pekerjanya yang mempunyai akses kepada media sosial IG miliknya.

“Berhubung tangkap layar daripada media sosial (IG Story) saya yang tersebar berkenaan sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia, saya ingin jelaskan perkara tersebut berlaku di atas kecuaian salah seorang pekerja saya yang mempunyai akses kepada Instagram saya.

“Individu tersebut merupakan pengurus media sosial di Noor Khan International Sdn Bhd secara tidak sengaja telah memuat naik Insta Story tanpa sedar menggunakan akaun saya,” katanya.

Menurut Kartini, dia juga telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut dan akan memberi kerjasama sepenuhnya.

Noor Kartini turut menzahirkan permohonan maaf kepada Sultan Johor dan seluruh ahli keluarga diraja.

“Kepada Istana Negeri Johor terutamanya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan seluruh ahli keluarga diraja, patik merafak sembah memohon maaf di atas kecuaian yang terjadi,” katanya.

4. Pengurus media sosial kepada Noor Kartini tampil mengakui dirinya tersilap memuat naik tangkap layar tersebut. Wanita yang bernama Zulshafiqah Zulkafli berkata tangkap layar yang tular itu sebenarnya adalah atas tujuan rujukannya sahaja.

“Tiada sebarang niat untuk memuat naik tangkap layar tersebut di akaun IG Datin Noor Kartini atau IG peribadi saya.

“Saya juga ingin menjelaskan gambar dan tulisan asal yang dipaparkan adalah bukan daripada penulisan saya mahupun Datin Noor Kartini sendiri,” katanya.

“Saya juga telah memberi kenyataan dan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu menyelesaikan siasatan isu tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zulshafiqah turut memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Johor dan keluarga Datin Noor Kartini.

Neelofa dan ibunya.

Iklan

5. Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata pihaknya menerima satu laporan berkaitan perkara itu, kira-kira jam 5.44 petang semalam oleh pemilik akaun Instagram berkenaan, Datin Noor Kartini Noor Mohamed.

Menurutnya, laporan dibuat berhubung paparan di IG peribadi milik wanita berusia 54 tahun itu yang memaparkan gambar laporan berita disiarkan TV3 bertajuk Sultan Johor Cadang Sekatan Penuh Bersasar.

Katanya, siasatan awal mendapati hantaran dibuat seorang wanita tempatan berusia 32 tahun yang mengaku tersilap menggunakan akaun Instagram milik pengadu dengan membuat hantaran melalui medium ‘IG Story’.

Iklan

Anuar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Baca juga Hujung tahun ini saya akan menamatkan zaman bujang – Haqiem Rusli

Beliau turut berpesan, orang ramai dinasihat supaya tidak sewenang-wenangnya mengongsikan sebarang maklumat atau berita di media sosial hingga menjejaskan reputasi dan hak asasi mana-mana orang.

Terdahulu, pada 28 Mei, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencadangkan agar kerajaan melaksanakan ‘lockdown’ penuh secara bersasar bagi negeri bersempadan dikuatkuasakan bagi menangani peningkatan jumlah kes Covid-19 di negeri terbabit. Titah Sultan Ibrahim, langkah itu dicadangkan agar ia dibuat tanpa menghentikan kegiatan ekonomi negara secara keseluruhan.

Justeru, hati-hatilah dalam apa jua perkongsian di sosial media. Semoga menjadi pengajaran buat semua.