BERBULAN-BULAN berpisah dengan yang tersayang semestinya menyimpan rindu yang menggunung.

Begitulah yang terjadi kepada keluarga ini apabila si bapa terpaksa berpisah dengan isteri dan anak-anak angkara wabak Covid-19.

Tujuh bulan berjauhan! Ia bukanlah satu tempoh yang mudah untuk dilalui mereka.

Difahamkan, bapa ini, Mohd Azaruddin Tukari bekerja di Singapura.

Menerusi perkongsian Massoezailin Saleh, dia dan suami membuat satu rancangan kejutan untuk tiga anaknya menyamar sebagai ‘orang aircond’.

Melalui video yang dikongsikan, suami yang menyamar itu memakai topeng, namun anak-anaknya tetap ada instinct berasakan bahawa lelaki tersebut adalah bapa mereka.

Dalam yakin dan tidak, anak-anak mereka terus tertanya-tanya adakah lelaki tersebut bapa mereka, turut bertanyakan pada ibu mereka kerana inginkan kepastian.

Seusai membaiki aircond, lelaki tersebut turut memberikan ‘kinder joy’ kepada tiga beradik itu, namun mereka kelihatan malu-malu untuk mengambilnya.

Artikel berkaitan: Berkat gantung poster cari jodoh tepi jalan, Aziro kini bergelar suami

Setelah salah seorang daripada anak mereka menghulurkan segelas air, lelaki tersebut membuka topeng untuk minum.

Iklan

Ketika itulah, baru mereka tersedar yang lelaki ‘orang aircond’ itu adalah betul-betul papa mereka.

Momen yang tersentuh dan pastinya akan mengalirkan air mata sesiapa yang menonton tatkala ketika anak-anak ini terus berlari memeluk bapa mereka dengan erat melepaskan rindu yang tersimpan setelah sekian lama.

Iklan

Kata Massoezailin, tujuh bulan terpisah satu tempoh yang mereka tidak pernah jangka.

“Terlalu banyak air mata yang jatuh, tapi, semua ini ketentuan Allah. Seribu satu hikmah untuk kami.

“Allah pinjamkan 14 hari untuk kami bersama. Sabtu depan, kita terpaksa berpisah semula. Setiap kali pandang suami, seakan tak percaya yang dia ada di sisi.

“Anak-anak juga memang akan melekat dengan papa. Melepaskan kerinduan mereka. Bercerita momen-momen penting sepanjang ketiadaan papa di sisi,” tulisnya.

Dia turut doakan kepada sesiapa sahaja yang terpisah kerana virus ini, Allah akan satukan semua dengan segera.

“Semoga virus ni Allah angkat dan hapuskan dari bumi dengan segera dan doakan kami kuat untuk hadapi saat perpisahan minggu depan,” ujarnya.