DIBUANG kerja dek perniagaan cermin mata yang diusahakan majikannya gulung tikar pada tahun 2012, membuatkan Muhamad Najib Khamai jatuh terduduk.

Berkecai jiwanya apabila sekelip mata hilang punca pendapatan selepas lebih 10 tahun berkhidmat. Lebih meruntun emosinya, musibah menimpa saat isterinya sedang berpantang anak sulung.

Mengenangkan dugaan yang pernah meremukkan sanubarinya itu, Muhammad Najib, 38, mengakui ketika itu separuh jiwanya seakan hilang.

“Masa itu saya bagaikan hilang arah sebab duit simpanan pun tak banyak. Pada masa sama, isteri pun baru dalam dua minggu bersalin anak sulung.

“Memang saya gelisah dan tak boleh duduk diam. Ke hulur ke hilir mencari idea bagaimana nak bangkit semula. Dapat juga tawaran kerja, tapi hati saya lebih suka untuk berniaga,“ ceritanya kepada SinarPlus.

inspirasi anak asnaf

Nekad untuk memiliki perniagaan sendiri, anak jati Klang, Selangor itu sanggup mempertaruhkan nasib dengan memulakan jualan cermin mata secara kecil-kecilan bersama seorang rakan kongsi.

Ketika itu, dia menggunakan modal yang ada dan rela berhutang dengan pembekal cermin mata untuk menjayakan usaha, namun perniagaannya hanya bertahan tidak sampai tujuh tahun.

“Mungkin tiada rezeki, kami terpaksa hentikan usaha sama. Memang ‘sakit‘ apabila terpaksa bangkit semula dari bawah, tapi saya gagahkan diri demi isteri dan anak-anak,“ luahnya.

Bermula kosong dengan ruang tidak sampai keluasan 1.11 meter persegi, pemilik Kedai Kacamata Nur Kaseh itu memulakan semula perniagaan dengan hanya dibantu oleh seorang pekerja.

Memahami situasi mencabar, isterinya, Norawati Ibrahim, 37, sanggup merelakan kesemua barang kemasnya digadai untuk dijadikan modal perniagaan, namun hati suaminya berasa tidak sanggup.

inspirasi anak asnaf

“Saya tidak sampai hati nak guna barang kemas isteri sebab itu hak dia. Susah payah saya sekali pun tak akan guna hak isteri, sedaya upaya cari jalan lain untuk bangkit.

“Barangkali, berkat doa isteri dan semua orang yang tak putus-putus memberikan sokongan membuatkan saya kembali bersemangat untuk memulakan perniagaan baharu,“ katanya.

Servis terbaik

Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, Muhamad Najib bersungguh-sungguh memulakan servis terbaik sehingga sanggup menggaji seorang pakar optometris bertauliah walaupun ketika itu tidak mempunyai modal besar.

“Untuk perniagaan lebih berkat dan berpanjangan, saya percaya semua itu bermula daripada servis yang baik. Sebab itu saya sangat utamakan kualiti selain menawarkan pakej mampu milik hanya dengan RM50.

“Pakej mesra pengguna ditawarkan. Alhamdulillah berkat doa semua, saya mampu bangkit dan kini memiliki dua premis kedai,“ tutur Muhamad Najib penuh sebak.

Iklan

inspirasi anak asnaf

Mengimbau gelaran anak asnaf fakir miskin, bapa berusia 38 tahun itu tidak dapat menahan perasaan dan berlinangan air mata mengenangkan nasib ketika menghuni rumah beratapkan rumbia.

“Saya kehilangan mak ketika usia 10 tahun kerana sakit darah tinggi. Sejak itu, saya dibesarkan oleh ayah yang hanya bergantung kepada jualan hasil kampung yang tak seberapa.

“Boleh dikatakan nak makan pun apa yang ada. Baju sekolah juga pakai sampai lusuh sebab memang tak mampu sangat masa itu. Lauk kuah kari contohnya, kalau ada simpan sampai tiga hari sebab nak berjimat,“ katanya mengimbas kenangan lalu.

Dunia kelamnya kembali bersinar sedikit demi sedikit apabila bapanya mula menerima bantuan zakat termasuk sebuah rumah untuk dibina tidak jauh dari tapak rumah asalnya.

“Saya masih ingat masa itu umur 18 tahun dan berpindah ke rumah baharu. Seronok sangat masa itu sebab rumah lebih selesa dan abang pun dah mula kerja, dapat bantu sikit-sikit.

Iklan

inspirasi anak asnaf

“Kesusahan mengajar diri untuk lebih kuat dan banyak bersabar. Sebab itu, saya tidak mahu isteri dan anak-anak hidup susah seperti saya dulu, kalau boleh nak bagi mereka selesa dan keperluan semua cukup,“ katanya.

Muhamad Najib sempat menitipkan kata-kata semangat buat anak asnaf di luar sana agar jangan sesekali berputus asa dan menyesali takdir.

“Hanya diri sendiri mampu mengubah nasib hidup. Jangan kerana kemiskinan, memberontak dan sanggup membuang masa di luar dengan aktiviti tidak berfaedah. Percayalah kemiskinan ini mampu diubah jika kita mahu berubah.

“Cekalkan diri dan tanamkan dalam hati untuk berjaya demi keluarga yang lebih baik pada masa akan datang. Percayalah ALLAH akan bantu permudahkan semuanya insya-ALLAH,“ nasihatnya.