SERING terdengar suara ghaib yang menyuruhnya membunuh dan mencederakan diri sendiri. Itu antara gangguan kronik yang dialami seorang pesakit mental yang mahu dikenali dengan nama Nida.

Gadis yang berusia 23 tahun itu yang ditemui SinarPlus mengakui, dirinya sering berhalusinasi dan cuba melakukan sesuatu di luar kawalan, selain suka menjerit sehinggakan membuatkan orang sekeliling berasa gerun.

“Sebelum ini, saya ditempatkan di rumah anak-anak yatim di Kuching, Sarawak sebelum dibawa ke pusat Eve (Eve Psychosocial Rehabilitation Centre) untuk rawatan. Kini saya tenang dan gembira duduk di sini dan suka membantu kerja-kerja di dapur.

rawatan mental Eve

“Inilah yang saya mampu buat. Dalam tiga bulan sekali, saya akan dirujuk ke hospital,“ katanya yang ditempatkan di Eve sejak berusia 16 tahun.

Bagi S Chris Anand, 35, pula, gangguan skizofrenia yang dialami membuatkannya sering depresi, sukar untuk fokus sehingga menyebabkan anak kedua daripada tiga beradik itu hilang pekerjaan.

“Saya selalu berhalusinasi dan mendengar suara yang sentiasa merendah-rendahkan diri saya. Mendengarkannya akan membuatkan saya marah dan mengasingkan diri daripada keluarga.

rawatan mental Eve

“Nasib baiklah emak kenal dengan pakar kaunselor dan merujuk ke Eve. Di sini saya semakin pulih kerana semua keperluan perubatan dipantau. Paling saya seronok, saya boleh bekerja semula sebagai pemandu demi kelangsungan hidup,“ kongsinya.

Nida dan Anand sebenarnya ialah antara 30 pesakit yang menerima rawatan di Eve, Jalan Templer, Petaling Jaya, Selangor.

Baca juga Fobia, cemas, takut melihat badut adalah satu penyakit mental. Atasinya dengan cara ini…

Berkongsi sejarah penubuhan fasiliti rehabilitasi yang dibuka sejak tahun 2000 tersebut, Pengarah Eksekutif Eve, Jared David memberitahu, idea asal dicetuskan oleh ibu bapanya yang membuka Mary Childcare Centre iaitu pusat menempatkan anak-anak kurang upaya.

rawatan mental Eve
JARED DAVID.

“Sebelum ini ibu bapa kami mengusahakan pusat jagaan kanak-kanak istimewa pada tahun 1992 di Banting, Selangor sebelum berpindah ke Kuala Lumpur. Jadi, insan yang berkeperluan khas ini terlalu dekat dengan hati saya.

“Justeru, saya kembangkan idea untuk memenuhi impian ibu yang mahu memberi peluang kedua kepada mereka yang berdepan gangguan skizofrenia, kecelaruan bipolar, insomnia dan lain-lain,“ katanya yang menguruskan Eve bersama kakaknya, Evelina David.

rawatan mental Eve

David menambah, pihaknya mahu membawakan kaedah terapi baharu berkonsepkan keluarga kepada pesakit kerana masalah gangguan mental bukannya boleh dirawat dalam tempoh yang singkat.

“Rawatan ini bukan sekadar ubat, tetapi sokongan padu daripada keluarga yang paling penting untuk bersama membawa pesakit keluar dari dunia hitam mereka.

Baca juga Kecelaruan bipolar satu masalah mental, ini yang perlu difahami

“Kita mahu mereka sembuh sepenuhnya dan boleh melakukan pekerjaan atau aktiviti harian dengan baik selain selamat berada di dalam komuniti,“ katanya.

rawatan mental Eve

Iklan

Tidak hanya menerima pesakit tempatan, premis yang berkonsepkan rumah jagaan itu turut merawat penuntut dan warga negara luar seperti dari Arab Saudi, China, Jepun dan United Kingdom.

Menariknya di Eve, setiap pesakit yang dibawa adalah atas syor agensi kerajaan, kaunselor universiti, kedutaan dan organisasi bukan berasaskan keuntungan dirawat oleh pasukan perubatan yang diketuai pakar psikiatri yang juga Pengarah Perubatan Pusat Psikologi Eve, Prof Dr Subash Kumar Pillai.

Jangan pandang ringan

Sementara itu, Dr Subash yang juga pakar Raintree Specialist Clinic menekankan, kesedaran ibu bapa juga penting bagi membantu mengesan perubahan tingkah laku ahli keluarga yang mungkin tidak disedari lebih awal seperti kemurungan, kurang bercakap, tidak makan atau tidur dengan normal.

rawatan mental Eve
PROF DR SUBASH KUMAR PILLAI.

“Gangguan mental ini juga tidak dinafikan memberikan stigma negatif kerana ramai beranggapan pesakit sangat menakutkan, ganas dan perlu diasingkan daripada orang ramai.

“Apa yang saya kesal, kebanyakan mereka mengambil jalan mudah dengan berjumpa bomoh atau mengambil air suci untuk memulihkan anak mereka sedangkan terdapat rawatan yang lebih praktikal,“ jelasnya.

Baca juga Betulkah ‘overthinking’ tanda penyakit gangguan mental? Ini penjelasannya…

Iklan

Menjawab satu soalan, pakar tersebut mengakui, amat sukar untuk memujuk pesakit atau ahli keluarga untuk membawa mereka yang bermasalah ke pusat rawatan psikiatri. Itu semua gara-gara perasaan malu dan memikirkan ia satu hal yang taboo.

rawatan mental Eve

“Sebenarnya jika dapat didiagnosis dan diberi rawatan bersesuaian lebih awal, gangguan mental yang dialami seseorang dapat dibendung demi keselamatan ahli keluarga itu sendiri.

“Di Eve, proses rawatan diberikan mengikut empat fasa dan mereka dipantau secara berkala, selain program terapi mengikut minat seperti melukis, bermain muzik atau memasak. Jadi, jangan malu atau bimbang untuk mendapatkan rawatan segera,“ sarannya.

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI