KETIKA negara heboh dengan Menu Rahmah yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup bernilai RM5.00, seorang wanita di Kota Damansara menjadi perhatian ramai kerana menjual nasi bungkus bajet dengan harga RM3.50.

Menu Ayam Minyak Kicap, Ayam Masak Merah, Daging Goreng Berlada, Sambal Sotong, Sambal Ikan Tongkol dan Sambal Sotong siap bungkus dengan nasi cukup menyelerakan. Masakan tidak, 200 bungkus nasi bajet boleh habis dalam tempoh dua jam sahaja!

Tidak hanya itu, peniaga Nurul Hashima atau dikenali sebagai Shima yang menjual pelbagai menu nasi bajet di gerainya di hadapan Surau Al-Falah, Seksyen 6 ini hanya memberi nasi percuma kepada yang memerlukan.

Cabaran hidup masa kini barangan dan perkhidmatan serba ‘mahal’ dan ‘naik harga’ menyebabkan ramai marhaen terpaksa mencatu makanan dan berkira-kira wang untuk membeli.

Memahami keperitan hidup, Shima tampil dengan idea berniaga sambil beramal. Warga maya tersentuh dengan kebaikan yang dicurahkan buat wanita ini.

Tular di Twitter baru-baru ini, ciapan Shima tentang gelagat pelanggan dalam kesusahan meraih perhatian warganet.

Baca juga: Hotel lima bintang jual nasi bajet RM2

“Tak cukup duit nak makan? Cakap. Sis boleh bagi nasi percuma.

“Jangan kais cari duit dalam poket, lepas tu letak balik nasi sebab tak cukup duit.

“I cannot go la dengan situasi macam tu. Saya mudah tersentuh hati. Setakat bagi dua hingga empat bungkus nasi bajet tu tak ruginya niaga sis,” tulisnya dalam ciapan yang menerima 12,650 tanda suka dan 8,162 twit semula.

Manakala dalam ciapan terbaru, Shima memberi lima bungkus nasi percuma kepada seorang pelanggan yang terpaksa mengira kepingan syiling bagi membeli menu mengalas perut.

“Hamba ALLAH ni datang gerai nak beli nasi bajet, empat bungkus. Buka dompet, dia diam.

“Berapa orang kat umah?

“Dia jawab “Tiga tapi bagi satu jelah untuk anak makan. Tak cukup duit.” Katanya sambil kira syiling.

“Sis pek lima nasi percuma. Jangan segan tak cukup duit nak makan, singgah gerai sis,” ciapnya.

Baca juga: Mulianya hati pasangan suami isteri ini, beri percuma nasi bajet RM2 untuk bantu orang susah

Kagum dengan sikap wanita ini konsisten memberikan nasi percuma kepada pelanggan yang terpaksa mengikat perut, penulis menghubungi Shima.

Wanita berusia 40 tahun ini tiga tahun berjualan nasi bajet. Segalanya tercetus apabila membeli menu ringkas harga ‘kayangan’ tidak lama dulu.

“Saya mula berniaga nasi bajet sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun 2020. Terdetik nak jual nasi bajet selepas insiden beli nasi putih separuh, sayur sesenduk dan ikan masin sekeping RM7.

“Kalau orang yang tak mampu, macam mana nak beli? Dah la ramai terkesan masa PKP. Saya beritahu niat pada suami dan dia sokong. Saya buat kira-kira dengan anak sulung lelaki untuk dia bungkus dan jaga gerai. Selepas anak sulung masuk universiti tahun lepas, mak dan adik datang tolong saya,” tuturnya.

Shima awalnya perniagaan dari rumah atau home food delivery sejak tahun 2012. Namun mulai 2022 wanita ini membuat perubahan dan memfokuskan kepada nasi bajet. Apa yang mengagumkan penulis, harga RM3.50 masih dikekalkan wanita itu sejak ia diperkenalkan.

“Alhamdulillah, nasi bajet dah nak masuk tahun ketiga dengan harga masih sama RM3.50 sebungkus.

“Walau untung tak banyak seperti food delivery, tapi saya boleh tolong ramai orang yang susah sepanjang PKP dan ia berterusan lagi,” kongsinya.

Memang benar sedekah tidak akan memiskinkan seseorang. Menjual sambil memberi, wanita ini ternyata mempunyai alasannya sendiri.

Pernah hidup susah ketika kecil membuatkan Shima memahami erti kemiskinan dan niat ingin membantu golongan memerlukan membuak-buak. Kesukaran pada masa lalu membuatkan wanita ini ingin berkongsi rezeki.

Baca juga: Miliki 23 adik-beradik, hidup susah, Wawa Zainal menitiskan air mata imbas jatuh bangun hidup

“Saya dah merasa hidup susah masa kecil. Makan bercatu, kadang tak ada makanan langsung. Bila datang haid, tak mampu beli tuala wanita (pad). Terpaksa buat lapisan tebal daripada kain perca lebihan mak menjahit supaya tak bocor masa sekolah.

“Tak mampu beli buku rujukan. Saya kutip kertas-kertas elok dalam tong sampah kelas, kumpulkan dan salin nota-nota penting daripada buku kawan-kawan.

“Daripada kecil memang dah diajar berdikari dan jadi kreatif. Saya mula berniaga sejak sekolah rendah dengan niat nak tolong mak beli makanan, bagi adik-adik belanja sekolah dan beli buku,” kongsinya kepada SinarPlus.

Istimewa Nasi Bajet Shima ialah lauk-lauknya. Bukan telur dadar ‘sim card’ atau telur mata gred paling kecil. Ikan, ayam dan daging yang merupakan sumber protein dan berbaloi di beli pelanggan.

“Nasi bajet dijual ada empat jenis lauk setiap petang. Dua adalah ayam (wajib), salah satu lauk daging dan satu lagi lauk ikan.

“Kadang-kadang ada udang atau sotong tapi bergantung pada harga pasaran,” kongsimya yang juga gemar aktiviti mendaki.

Baca juga: Baik hatinya, cleaner tak ada kereta tapi wakaf 2 mesin dialisis curi perhatian ramai

Iklan

Dari segi operasi, Shima hanya membuka gerai pada sebelah petang memandangkan anaknya yang membantunya bersekolah pada sesi pagi ketika tahun 2020.

Gerainya makin dikenali selepas tular menerima peningkatan permintaan. Pun begitu, wanita ini tidak alpa daripada nawaitunya turut membantu keluarga susah ketika PKP.

“Saya hanya buka gerai nasi bajet petang sahaja sebab anak sekolah pagi masa itu. Dia lapang waktu petang. Sehingga sekarang gerai nasi bajet kekal dibuka pukul 5.00 petang.

“Walaupun sudah mula dikenali, saya masih macam dulu. Harga nasi bajet masih sama RM3.50 sejak tahun 2020 lagi, tak berubah. Cuma kuantiti bertambah sebab banyak permintaan.

“Satu kepuasan, rasa tenang dan lebih fleksibel apabila dapat tolong orang susah. Alhamdulillah, saya sudah tolong lebih 30 buah keluarga sepanjang dua tahun PKP dengan bagi barang keperluan dapur dan barang bayi.

“Alhamdulillah, saya mampu agihkan nasi bajet percuma pada sesiapa yang memerlukan sehingga sekarang. Ada untung ke? Alhamdulillah, dengan duit untung yang sikit itulah saya mampu tolong ramai orang susah yang datang ke gerai tepi jalan saya atau ada yang mohon bantuan melalui WhatsApp,” katanya.

Baca juga:Kisah sejadah selit di pinggang ketika marathon, pemergian suami jentik hati warganet

Ketenangan hati yang diperoleh tatkala membantu orang susah sukar digambarkan. Selain berjualan, Shima juga sempat belajar daripada kisah kehidupan dengan para pelanggan.

Penulis mengagumi wanita ini kerana tidak memilih pelanggan untuk dibantu. Sesetengah pelanggan yang malu, Shima tetap menghulurkan bantuan dengan pelbagai cara.

“Saya gembira bertemu dan berborak dengan pelanggan-pelanggan yang datang ke gerai nasi bajet. Macam-macam kisah kehidupan saya belajar dan tahu. Itu yang buat saya lebih rendah diri dan bersyukur dengan apa yang ada disekeliling.

Iklan

“Ada yang datang gerai dan cerita masalah hidupnya.

“Kalau ada jenis segan, cuma WhatsApp saya jer dan saya minta mereka datang gerai amik nasi free dan duit belanja,” kongsinya.

Baca juga: Sedekah paling afdal berilah kepada adik-beradik susah, paling tinggi kedudukan

Ternyata sedekah tidak akan membuatkan seseorang jatuh miskin. Semoga apa yang dilakukan oleh wanita ini menjadi inspirasi kepada kita semua berkongsi rezeki. Sedekah bukan dalam bentuk wang ringgit semata-mata. Makanan, tenaga dan tutur kata yang baik juga adalah sebahagian daripadanya.

Rasulullah SAW pernah bersabda;

“Tidak ada hari yang disambut oleh para hamba melainkan di sana ada dua malaikat yang turun, salah satunya berkata: ‘Ya ALLAH, berikanlah ganti kepada orang-orang yang berinfaq’. Sedangkan (malaikat) yang lainnya berkata: ‘Ya ALLAH berikanlah kehancuran kepada orang-orang yang menahan (hartanya)’.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baca juga: Dahsyatnya bersedekah, antara paling baik memberi makanan kepada orang

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.