MASIH ingat tak korang pada bayi yang menjadi kesayangan rakyat Malaysia? Kini adik, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin sudahpun menginjak usia tiga tahun.

Ainul Mardhiah yang sebelum ini menghidap Germ Cell Tumor sejak dilahirkan telah menjentik hati masyarakat tempatan. Boleh dikatakan ceritanya sentiasa menghiasi laman sosial sekitar tahun 2019.

Bagaimanapun, tumor seberat 200 gram pada bahagian mulut yang dialami anak sulung kepada pasangan Ahmad Safiuddin Ahmad Razak dan Nurul Erwani Zaidi itu berjaya dibuang.

Ia berikutan kisah si kecil itu telah mendapat perhatian pelatih pakar bedah warganegara Malaysia di London, Dr Nur Amalina Che Bakri yang mengambil inisiatif mengaturkan pembedahan di Hospital Kanak-Kanak London.

Misi murni tersebut terlaksana apabila Dr Amalina bersama pasukan diketuai Ketua Unit Kraniofasial, Profesor David Dunaway dan Dr Juling Ong berjaya membuang tumor terbabit pada 10 Jun 2019.

Baca juga [VIDEO]Pernah Menderita Kanser Mulut, Adik Ainul Mardhiah Kini Sudah Laju Berjalan

Susulan kejayaan pembedahan selama lima jam berkenaan hari demi hari keadaan adik, Ainul Mardiah menunjukkan perkembangan positif dan membesar seperti kanak-kanak lain.

Pun begitu, Ahmad Safiuddin berkongsi salah satu kesan daripada pembedahan yang dialami permata hatinya. Dikatakan, Ainul tidak dapat menggerakkan bahagian kanan mukanya.

“Saya nak share sikit kesan major operation Ainul di UK dahulu. Jika kita perhatikan muka Ainul, tampak bengkak sebelah kanan pipinya. Saya rasa, ini sahaja komplikasi pembedahan. Mukanya di sebelah kanannya tidak dapat berfungsi dengan baik disebabkan saraf-saraf tidak dapat disambung semula.

“Saraf-sarafnya ketika itu memang sangat halus. Umurnya pada waktu itu baru lapan bulan. Jadi memang agak mustahil pakar dapat menyambungkan seperti asal. Dan memang itulah komplikasinya, kata pakar, “tulis Ahmad Safiuddin baru-baru ini.

Selain itu, beliau juga berkongsi apabila Ainul senyum atau ketawa jelas kelihatan pipi sebelah kanan tidak bergerak. Hanya sebelah kiri muka sahaja berfungsi dengan baik.

“Begitu juga kalau Ainul menangis. Biasanya kita kalau menangis mata akan tertutup rapat. Tapi, Ainul menangis mata kirinya sahaja dapat ditutup. Mata kanannya terbuka,” ujar lanjut bapa kepada dua orang anak.

Iklan

Baca juga Ainul Mardhiah Dah Pandai Panggil Mama

Bengkak

Selain itu, Ahmad Saifudin juga mengimbau saat awal Ainul dibedah. Katanya muka sebelah bengkak. Namun begitu, kini beliau bersyukur apabila bengkak tersebut semakin surut.

“Tapi apa pun, kami tetap bersyukur dan ini hanyalah masalah kecil. InshaAllah apabila Ainul dah besar, kami akan rujuk pakar pembedahan plastik untuk buat reconstruction jika perlu.

“Sebenarnya sebulan yang lalu kami sudah jumpa pakar pembedahan plastik berkenaan saraf mukanya yang rosak (damage). Doktor menyatakan Ainul masih kecil. Budak kecil sel-sel dan saraf baru akan tumbuh setiap hari.

“Jadi, berkemungkinan muka disebelah kanan Ainul boleh pulih sendiri. Mungkin. Sebab kanak-kanak bukan seperti orang dewasa. Kanak-kanak punya pemulihan (recovery) sangat pantas,” kata Ahmad Safiuddin yang telah mendapatkan konsultasi pakar.

Bedah sekiranya keadaan masih sama

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu sekiranya pemulihan saraf tidak terjadi apabila Ainul berusia lebih 12 tahun atau mengganggu perkembangan, beliau merancang untuk membawa Ainul menjalani pembedahan plastik.

Iklan

“Andai kata apabila sudah besar keadaan sebelah kanan muka masih sama, pembedahan plastik boleh dilakukan. Tapi, bukanlah dalam masa terdekat. Mungkin tunggu Ainul berusia 12 tahun dan ke atas. Tapi jika perkara ini mengganggu proses percakapan, pembelajaran dan pemakanannya, mungkin pembedahan akan diawalkan.

“Pakar menasihati, biarlah Ainul main dulu. Dia sudah banyak struggle pada awal kelahiran. Biar Ainul rehat. Asalkan dia aktif, boleh makan, boleh bermain, maka leave her alone,” kongsi Ahmad Safiuddin.

Diharapkan masalah saraf pada wajah Ainul pulih segera. Semoga gadis kecil kesayangan rakyat Malaysia ini membesar dengan baik.

Sumber: Ahmad Safiudin