Ketua isytihar taubat, berikut 6 info mengenai ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir
KEMUNCULAN ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) baru-baru ini menggemparkan negara hingga tertangkap ketuanya, Masitah Ab Jalar.
Masitah yang turut dikenali sebagai Sittah Annur, 39, ditahan 4 September lalu.
Wanita itu bagaimanapun telah telah mengisytiharkan taubat menerusi majlis pengisytiharan Istitabah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Bagi korang yang tidak mengetahui ajaran yang menyeleweng daripada landasan Islam ini, berikut adalah beberapa maklumat mengenainya:
1.PMYT mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukan mencari imam Mahdi untuk melawan musuh.
2. Sittah mengaku dirinya mempunyai keistimewaan dan berupaya membuat ramalan berkaitan apa yang akan berlaku pada masa depan.
3. Sittah mendakwa dia sebagai ‘pilihan Tuhan’ dan hanya dia mampu untuk menyelamatkan manusia akhir zaman. Malah, Sittah turut mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepadanya sebagai panduan untuk umat yang lain dan sesiapa yang menyakiti atau menghalang penyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh ALLAH.
4. Ajaran ini mengundang ketakutan dalam kalangan pengikut supaya membolehkan mereka menuruti apa jua ajarannya.
5. Sittah berhubung dengan pengikutnya dipercayai secara maya (melalui media sosial) tanpa pertemuan bersemuka. Kumpulan ajaran sesat itu juga mempunyai 22 akaun Telegram di seluruh negara. Pengikutnya kira-kira 3,000 orang bukan sahaja terdiri daripada orang kebanyakan sebaliknya ada golongan profesional seperti doktor, jurutera, pensyarah dan guru.
Baca juga Jangan Dekati Ajaran Millah Abraham, Perangi Habis-Habisan Fahaman Sesat Ini…
6. Susulan penahanan Sittah, polis berjaya membongkar penemuan dana sumbangan pengikut sebanyak RM84,721.42 semasa serbuan dilakukan pihak berkuasa di rumahnya di Shah Alam.
Pada majlis pengisytiharan Istitabah yang berlangsung pada Isnin, Masitah menyatakan bahawa pengisytiharan ini dilakukan dengan rela hati dan tidak dipaksa oleh mana-mana pihak.Dia juga mengakui bahawa beberapa kenyataannya telah menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar dan bertentangan dengan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Masitah juga turut mengakui kesilapannya dan bertaubat dalam majlis yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh.
“Oleh yang demikian, saya menginsafi, menyesali dan berjanji kepada diri saya bahawa saya tidak akan mengulangi dengan apa juga cara yang boleh membawa kepada keadaan yang dinyatakan.
“Dengan ini saya bertaubat kembali ke pangkal jalan mengamalkan ajaran Islam berdasarkan sumber pengetahuan dan ilmu yang benar.”
Tambahnya lagi, “Bahawasanya saya bertaubat dengan taubat dengan sebenar-benar taubat dan menyesal dengan perbuatan saya…Tiada mana-mana paksaan (lafaz taubat) melainkan dengan kesedaran diri sendiri,” kata Masitah yang kemudiannya mengucapkan dua kalimah syahadah dan menandatangani dokumen perakuan taubat yang disaksikan oleh empat saksi utama.
Semoga apa yang berlaku ini tidak berulang pada masa akan datang. Diharapkan kita lebih teliti dan berhati-hati agar tidak mudah terpengaruh dengan ajaran yang menyeleweng daripada landasan Islam yang sebenar.
Foto: BERNAMA
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang