HUJUNG minggu lalu negara sekali lagi diselubungi pilu dan sedih dengan kehilangan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dilaporkan meninggal dunia disyaki didera oleh ibu kandung.

Tragedi tersebut lagi mengharukan kerana terdapat sebuah video tular bertarikh Oktober lalu yang memaparkan detik melepaskan anak kecil itu pulang kepada ibunya setelah enam tahun dijaga mak angkat.

Adik Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malik didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang di Taman Krubong Jaya, Melaka, Jumaat lalu, namun siasatan siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Kejadian itu mencuri perhatian pelbagai pihak termasuklah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau menzahirkan rasa hiba dan kesedihan yang amat mendalam atas kematian Allahyarham Adik Zubaidi Amir Qusyairi pada Jumaat lalu.

“Saya turut merasakan keperitan dan kedukaan yang dirasai oleh ibu-ibu yang mempunyai anak sebaya dengan Allahyarham Adik Zubaidi.

“Saya berkehendakkan agar kematian Allahyarham Adik Zubaidi disiasat segera dengan teliti, dan hukuman yang tegas dan setimpal diberikan kepada pesalah agar perkara sebegini tidak berulang lagi, di samping menjadi pengajaran kepada para ibu bapa yang cuai dalam penjagaan anak, termasuklah yang melakukan penderaan dan salah laku kepada kanak-kanak,” tegasnya.

"Moga kematian Adik Zubaidi disiasat segera dengan teliti dan diberi hukuman setimpal"

Menurutnya, sesungguhnya pihak Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan yang melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak.

“Kementerian akan terus komited meningkatkan kesedaran melalui kerjasama pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama serta memastikan tindakan tegas di ambil kepada pesalah yang terlibat dengan penderaan dan salah laku kepada kanak-kanak.

“Kementerian juga sedang mengkaji secara menyeluruh Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara dengan menitikberatkan agar kanakkanak bebas daripada segala perkara negatif melalui advokasi, pencegahan dan khidmat sokongan.

Artikel berkaitan: “Sepatutnya saya pertahankan Adik” Ibu angkat kanak-kanak malang mati didera menyesal

“Saya menyeru agar rakyat Malaysia terus menanamkan rasa cintakan keluarga dan menghargai anak-anak sebagai suatu amanah dan anugerah daripada Tuhan. Hatta, atas semangat “KitaJagaKita” saya berharap agar masyarakat turut menjadi “mata dan telinga” kepada pihak kerajaan, dan terus memupuk sikap ambil peduli kepada masalah kejiranan setempat agar dapat terus melaporkan sebarang kecurigaan yang berlaku di kawasan kediaman masing-masing kepada pihak berkuasa,” katanya.

“Sepatutnya saya pertahankan Adik” Ibu angkat kanak-kanak malang mati didera menyesal

Dalam hal ini, beliau turut menasihatkan kepada pihak keluarga yang berhasrat mengambil atau telah mengambil kanak-kanak ke dalam pemeliharaan, jagaan atau kawalannya perlu membuat pemakluman kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat sepertimana yang tertakluk dalam Akta Kanak-kanak 2001.

Iklan

Jabatan Kebajikan Masyarakat bersedia memberi khidmat nasihat terhadap peraturan-peraturan dan prosedur yang sah yang perlu dipatuhi dalam urusan pengambilan anak angkat.

Artikel berkaitan: Bapa angkat harap dapat uruskan jenazah Adik, ibu kandung geleng kepala

Iklan

Selain itu, rakyat juga diseru untuk melaporkan terus sebarang kejadian sebegini ke Talian Kasih 15999 dan Talian Whatsapp 019-26 15999 yang beroperasi 24 jam.

Orang awam juga boleh membuat laporan di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di seluruh negara atau Balai Polis yang berdekatan.

Moga kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi di negara kita.