“COVID-19 hampir meragut nyawa saya! (Pada pukul) 1.44 petang, Jumaat 15 Januari – saya dah hampir maut!”

Begitulah perkongsian penceramah bebas, Datuk Azizan Osman hari ini yang mengesahkan dirinya dijangkiti wabak Covid-19 selepas mempunyai kontak rapat dengan seorang pesakit yang sama pada 7 Januari lalu.

Menerusi perkongsian beliau di Facebook, kejadian yang menimpa beliau itu sebagai sesuatu yang sangat berat dan memeritkan untuk ditanggung.

Katanya, selain dirinya, 31 ahli keluarganya lain turut dijangkiti wabak tersebut dan lebih menyedihkan ibu mertuanya turut meninggal dunia akibat virus jahat itu.

“Nafas saya sesak! Doktor kata peluang saya amat tipis! Tetapi sesuatu berlaku yang membuktikan kekuasaan Allah SWT.

“Saya dan keluarga diuji dengan virus Covid-19. (Seramai) 31 ahli keluarga saya dijangkiti COVID-19 dan ibu mertua saya telah kembali ke rahmatullah.

“Tak mudah untuk saya kongsikan betapa sedih, perit dan ngeri pada waktu itu. Tetapi sangat penting untuk saya kongsikan sebagai seorang mentor, saya nak anda tahu proses ini,” tulisnya.

Azizan berkata, dirinya hampir menitiskan air mata ketika berkongsi perkara ini, namun sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan membuatkannya lebih tabah.

“Masa itulah saat penentu untuk pergi atau kekal. Tak boleh bernafas, tak boleh tarik, you tak boleh hembus hanya gunakan mesin untuk terus bertahan dan melawan dengan otak, emosi dan diri.

“Kamu mahu hidup? Kamu mahu lawan? Itu la saatnya… Dan InsyaAllah, ini masanya untuk saya betulkan segalanya. Peluang kedua ini bukan sekadar suka-suka.

“Saya percaya ada sebab Allah bagi peluang ini untuk saya buat segalanya dengan lebih baik, dan menjadi mentor yang lebih baik,” katanya.

Pada masa sama, Azizan menyifatkan pandemik Covid-19 telah menjejaskan kehidupan ramai orang dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Iklan

Baca juga Golongan pesakit kronik sangat berisiko dijangkiti Covid-19, wanita ini kongsi kisah duka kehilangan ayah tercinta

“Seorang ibu yang mencuri ubat untuk anak-anak, ada yang mencari rezeki di tempat sampah.

“Kerajaan yang sedang berkira-kira untuk total lockdown yang akan beri impak pada pekerjaan ramai orang dan perniagaan.

“Tekanan perasaan dan banyak lagi dalam berita semasa. Ini semua cukup memberi kesan pada saya betapa saya belum berjaya bantu bangsa saya untuk berjaya,” katanya.

Justeru, kita semua teruslah mengamalkan SOP dan kebersihan diri agar dapat memutuskan rantaian Covid-19 ini. Jangan lupa #kitajagakita.

Iklan