DALAM melayari rumah tangga, perlu ada tolak ansur antara suami dan isteri.

Jika suami memahami konsep sebenar perkahwinan, pasti mereka tahu berkaitan hal nafkah.

Dalam Islam, nafkah suami terhadap isteri adalah wajib namun, nilainya perlu mengikut kemampuan suami menurut perbelanjaan semasa.

Perasan tak, jika pasangan bahagia selalunya suami tak kedekut dengan isteri.

Maka, jadilah suami yang bertanggungjawab, selalu bahagiakan isteri. Isterilah punca rezeki suami makin bertambah.

Seperti satu perkongsian Mohd Fadli Salleh ini yang cukup menarik untuk dihadam.

Biarpun nilai yang diberi kepada isteri tidak banyak, namun itulah berkat yang membuatkan rezekinya bertambah.

Selepas mengutamakan isteri, beliau juga tidak lupa kepada kedua ibu bapa. Ini rupanya tujuh amalan setiap harinya dibuat sehingga kini.

"Nafkah isteri tak pernah abai. Masa paling sempit, tetap hulur walau RM20 sebulan"- Lelaki ini bongkar 7 amalan

Kongsinya;

“Kau tak apa la cikgu. Duit ada. Apa yang isteri minta boleh la bagi,” itu kata sesetengah orang.

“Aku ni kerja gaji diploma je. Gaji kecik sahaja. Gaji puan isteri lebih besar. Dia ada degree.

“Dulu-dulu, apa dia nak, dia akan minta izin aku dan beli sendiri. Pakaian dan permintaan anak-anak, dia yang lebih banyak tunaikan.

“Bila isteri minta izin nak beli sesuatu, bila anak-anak minta sesuatu aku hanya mampu gelengkan kepala dan berjanji tunggu hari gaji, saat itu aku tersentak dan rasa malu yang sangat.

“Rasa gagal menjadi suami dan ayah yang baik. Saat itu memang rasa loser dan useless tak mampu tunaikan permintaan anak dan isteri kena beli sendiri barang yang dia nak.

“Dari saat itu aku terus tanam azam, aku kena berusaha gigih. Aku bertekad untuk mengubah kehidupan dan ekonomi diri. Semua kerja aku buat. Hingga jual air, hingga jual kasut bundle tepi jalan, kerja kedai makan dan sebagainya.

“Balik sekolah jam 6.30 petang, mandi dan makan kemudian terus keluar pergi menjual. Sampai rumah hampir jam 5 pagi. Tidur sekejap, pergi mengajar pula. Oh, masa tu mengajar sesi petang.

“Gaji biasanya RM30 semalaman. Kalau sales banyak, dapat la RM40, RM50. Kadang langsung tak terjual, tak bergaji. Penat saja.

“Lepas itu satu demi satu pekerjaan aku buat. Semuanya demi keluarga tercinta. Buat loan, beli vending machine, jual air pula. Sebahagian loan itu dilaburkan.

“Jual air melalui vending machine, ambil juga upah bekalkan air ke event-event besar, hari sukan sekolah dan seumpamanya.

“Sedikit demi sedikit ekonomi bertambah baik. Mula boleh tunaikan permintaan anak, mula boleh tunaikan permintaan isteri.

“Namun langit tak selalu cerah. Apa yang aku buat mulai merudum. Berniaga dah mula tak menjadi. Pelaburan pun jatuh teruk.

“Hutang mula menimbun sehingga ansurans kereta tertunggak berbulan- bulan, bil api naik surat merah, surat saman Coway pun sampai di rumah bila tak bayar lebih 5 bulan.

“Satu demi satu vending machines aku jual. Akhirnya kereta Satria enjin Mivec full modified yang paling aku sayang tu pun aku jual untuk selesaikan semua hutang.

“Lebih duit jual kereta dan vending machines, sempat la aku beli motor EX5 second hand harga RM2200. Naik motor EX5 itu la ke sana ke mari.

“Hutang habis, lega sangat rasa. Namun aku perlu bermula semula. Gaji yang diterima saban bulan sangat kecil. Potongan personal loan yang ditanggung hampir 50% dari gaji kasar aku.

“Aku perlu bangkit kembali. Kena buat semula. Kena mula balik dari bawah. Kerana aku merupakan suami dan juga ayah.

“Aku berpegang kepada beberapa perkara walau sempit macamana sekali pun :

1) Nafkah isteri tak pernah aku abai. Masa paling sempit, aku tetap hulur walau RM20 sebulan.

2) Bil letrik, bil air, bil telefon isteri, sewa rumah semua aku tanggung.

Tak pernah sekali isteri aku bayar sejak kami kahwin walau dia minta nak bayar. Itu kewajipan seorang suami. Dan aku ada ego
seorang lelaki.

3) Berilah duit untuk mak dan ayah. Berilah walau RM30, walau RM50. Mereka bukan nak duit kita, namun bagi mereka makan pakai guna duit kita.

“Aku perasan, aku jatuh teruk setelah aku mula abaikan memberi pada mak dan ayah aku.

“Aku rasa pencen dan pendapatan ayah aku berkali-kali ganda lebih banyak dari gaji aku, maka aku tak perlu memberi. Aku silap. Bahkan masa aku kembali memberi abah berkata,

“Tak payah bagi la kat abah. Pencen abah ada, rumah sewa ada, getah ada, padi pun ada. Li guna untuk keluarga Li. Gaji Li bukan besar mana.”

“Tak boleh bah. Li tahu duit abah dah ada. Jauh lebih banyak dari duit Li. Tapi ini untuk keberkatan. Makanlah guna duit Li pula. Berpuluh tahun abah sara Li, terimalah kembali walau tak banyak.”

“Maka abah dan ma terima. Mulanya RM30 ma, RM20 abah sahaja sebulan. Kemudian slow-slow aku naikkan. Ada rezeki lebih, lebih aku beri untuk mereka. Dan alhamdulillah, kini duit untuk abah dan ma setiap bulan cecah 4 angka secara konsisten aku kirim.

“Aku tahu mereka bukan simpan pun duit tu. Nak belanja makan pakai tak habis separuh pun. Mereka bersedekah guna duit kiriman anak- anak. Agar pendapatan anak mereka makin berkat, agar jadi saham akhirat untuk mereka dan aku juga.

4) Sedekah dan belanja orang makan.

Belanja ahli keluarga dan kawan-kawan terdekat dahulu. Walau duit dah tak banyak, bahkan tak cukup pun untuk survive sampai akhir bulan, aku belanja saja. Nanti untuk cukupkan belanja aku, aku cari lain. Jual air, jual kasut, kerja apa saja secara part time.

5) Ramai orang menyangka aku senang dan lega.

Bila mereka kata, “Kau tak apalah. Duit banyak.”

Iklan

“Amin.”

Cepat-cepat aku aminkan. Bila kawan bergurau minta belanja makan, aku senyum dan bayar saja. Walau itu duit terakhir dalam poket. Setiap kali orang doakan murah rezeki, aku aminkan saja.

6) Santuni golongan miskin, asnaf dan anak-anak yatim. Aku mula merapati anak-anak yatim dan asnaf. Berbuat baik pada mereka. Bantu mereka semampu aku. Dan aku minta mereka doakan aku.

7) Dan yang pastinya, dekatkan diri semula dengan Tuhan. Betulkan semula niat, solat jaga betul-betul.

“Itu antara amalan-amalan yang aku jaga dan istiqomah buat hampir setiap hari, setiap bulan dan setiap masa,” tulisnya.

"Nafkah isteri tak pernah abai. Masa paling sempit, tetap hulur walau RM20 sebulan"- Lelaki ini bongkar 7 amalan

Namun pada 2016, beliau masih tak stabil lagi. Masa ini kereta dan vending machines pun dah jual. Motor EX5 turut pula kena curi.

Baca juga Kenal ketika membeli peti sejuk, Linda sambut Deepavali dengan ‘ayah dan ibu baharu’ berbeza bangsa, agama

“Aku tak buat report polis, aku niat sedekah pada pencuri. Mungkin dia lebih susah dari aku.

“Aku beli lain motor Ex-5 2nd juga. RM1000 sahaja. Nak beli motor ni puan isteri bantu sebahagian besar. Duit aku dah kering sungguh masa ni. Tak ada kenderaan, macamana nak ke sekolah dan kerja. Ya, motor yang aku dok naik sampai hari ini, itulah dia motornya.

“Aku perhebatkan lagi usaha membantu golongan asnaf dan anak-anak yatim. Kerapkan sedekah walau RM1, RM2 cuma.

“Aku mula buat berbagai kerja dalam satu masa. Aku mula menulis di media sosial dengan lebih serius. Dan akhir tahun 2016 aku mula menulis buku pertama.

“2017 kehidupan sedikit lebih baik. Jual buku tulisan aku, dapat la purata RM500 sebulan. Akhir tahun 2017, mak mertua ajak kami semua ke Mekah buat umrah. Masa tu simpanan aku kosong.

“Menung lagi. Duit tak ada. Mak mertua tahu aku tak ada duit sebab dia tinggal dengan aku. Mak mertua cakap nak belanja, namun aku berkeras ianya hutang. Nak sangat pergi umrah untuk cari semula diri sendiri yang makin hilang masa tu.

“Pulang umrah, macam-macam kerja lagi aku buat. Kumpul duit sikit demi sedikit, tahan nafsu untuk diri sendiri. Telefon pun pakai yang 2nd hand sahaja.

“Pertengahan tahun 2018, hutang mak berjaya aku langsaikan. Alhamdulillah. Leganya Ya Tuhan.

Iklan

“Tahun 2018, tahun aku nekad sungguh-sungguh nak perhebat lagi usaha demi keluarga dan ekonomi diri. Pernah dalam satu masa aku buat 14 kerja. Ya, 14 kerja tuan puan.

“Tidurnya sikit-sikit sahaja. Kadang 2 jam sehari. Dan projek amal aku tidak pernah aku abaikan, bahkan makin kuat lagi. Masa tu Dana Kita tak wujud pun lagi. Seorang diri aku mengetuk pintu rumah orang miskin hulur bantuan.

“Tiada siapa yang bantu aku masa tu. Tiada siapa tolong packing barang dapur, tiada siapa yang teman beli barang dan hantar bantuan. Seorang aku ke sana ke mari membantu sesiapa semampu aku.

“Sedikit demi sedikit Tuhan buka jalan. Pintu rezeki mula terbuka. Di media sosial nama aku meletup-letup. Dari tiada followers naik mendadak memotong mereka yang dah lama bangunkan media ini.

“Dari sini pintu rezeki makin luas. Aku mula bina circle dari mereka yang positif dan berjaya. Ramai orang yang kaya raya, yang berjaya, yang baik hati nak berkawan dengan aku.

“PM aku nak jumpa, ajak makan, ajar aku berniaga, ajar aku tambah pendapatan.

“Namun begitu, kawan-kawan lama, aku tak pernah tinggalkan mereka walau siapa pun mereka. Walau ada kawan-kawan aku di penjara, anak isteri mereka aku pastikan terbela. Makan pakai anak isteri mereka aku bantu.

“Tahun 2018 betul-betul tahun perjuangan. Memang tak undur walau setapak, hadap semua ludah semua kahak. Ujian datang bermacam ragam.

“Datanglah. Semua aku hadap. Aku tak gentar, aku tak mengelak. Aku tahu aku perlu kental dan keras melawan semua ujian untuk mengubah kehidupan.

“Dan hari ini, masih ada yang berkata,

“Cikgu tak apalah. Cikgu banyak duit. Boleh penuhi permintaan isteri dan anak-anak.”

“Amin.”

“Aku aminkan dalam senyuman ikhlas. Terima kasih kerana mendoakan.

“Mungkin kerana doa kalian Tuhan terus buka rezeki aku dengan lebih luas lagi.

“Ingat. Kunci perubahan adalah pada diri kita sendiri. Kuatkan niat, teguhkan tekad.

“Tatap mata isteri kita. Tatap mata anak-anak kita. Jadikan mereka sebagai ‘Big Why’ kenapa kita kena berubah.

“Jadikan mereka sebagai pendorong untuk kita berusaha dengan lebih gigih lagi. Berhenti merungut, bangkit dan melawanlah!

“Terus degil dan melawan. Kerana degil itu berani. Dan berani pasti menang,” katanya.

Oleh itu, amalan-amalan yang di amalkan oleh Cikgu Mohd Fadli ini boleh kita praktikkan. Mohon pada Ilahi supaya membuka seluas- luasnya pintu rezeki kita.

Sumber: #MFS
– Hidup ini satu perjuangan –