Diuji pasangan kembar derita leukemia, emak ayah sebak anak rindu nak ke sekolah

SETIAP ujian yang dilalui manusia adalah berbeza. Tidak kira besar atau kecil, itu semua sudah tertulis.

Sebagai manusia, sikap reda itu sangat penting kerana setiap dugaan pasti ada hikmah di sebaliknya.

Berpegang dengan kata-kata itulah membuatkan Mohamed Faris Idris dan isteri, Nor Nazila Kamal, 34, terus cekal berdepan dengan nasib menimpa anak kembar mereka.

Ujar Mohamed Faris, si kembar Nur Zulaikha Damia dan Nur Zalikha Damia, 6, menderita penyakit leukemia jenis pre B.ALL (leukemia limfoblastik akut).

leukemia

Cerita lelaki berusia 37 tahun itu, pada mulanya demam yang berpanjangan menyebabkan si adik, Nur Zulaikha Damia atau manja dipanggil Zulaikha mengalami masalah lemah sendi.

“Keadaan itu menyebabkan Zulaikha tidak mampu berjalan seperti dulu. Bila bawa ke klinik, semua doktor cakap hanya demam biasa sahaja. Namun, bila dibawa ke hospital pada Disember tahun lalu, doktor syak demam denggi.

 

“Bila buat pemeriksaan sampel darah, doktor kesan ada sel kanser. Lagi buat saya cuak, Zulaikha perlu buat ujian air tulang belakang,” katanya yang menetap di Taman Delima 3, Kluang, Johor.

leukemia

Ujar bapa tiga anak itu, dia termangu dan tidak tahu berbuat apa-apa apabila pakar mengesahkan anak kesayangannya itu menghidap kanser darah tahap dua.

“Puas saya fikir punca penyakit datang dari mana? Bila selidik keluarga sebelah saya dan isteri, tiada kes yang sama. Memang susah nak terima hakikat ini pada awalnya.

“Namun, saya terpaksa akur dengan semua prosedur termasuklah rawatan kemoterapi selama dua tahun. Paling penting, Zulaikha dapat pulih dengan cepat,” katanya dengan nada sebak.

leukemia

Sakit yang ditanggung Zulaikha bukan biasa-biasa. Daripada seorang kanak-kanak yang ceria, banyak cakap dan aktif, kini si comel itu hanya mampu terbaring lemah.

“Sebagai ayah, memang saya tak sanggup tengok anak penuh dengan wayar pada tubuh badannya. Adakalanya dia meraung kesakitan. Paling menyedihkan apabila melihat rambut si cantik ini gugur.

Baca juga Dugaan bertimpa selepas hilang suami, Cikgu Melor disahkan derita kanser payudara tahap 3. Ini luahan pilu wanita itu

“Terus terang, semua yang dilihat di depan mata membuatkan saya trauma. Masa itu saya sentiasa berdoa dan berharap anak-anak lain tidak terkena tempias sama kerana bukan mudah untuk berdepan dengan cubaan sebegini,” ujarnya.

leukemia

Penyakit ‘menjalar’

Bagaikan sukar untuk dielak, si kakak, Nur Zalikha Damia atau Zalikha mula menunjukkan simptom sama seperti adiknya selang enam bulan selepas itu.

“Fikiran saya cuba nafikan fakta itu, saya hanya anggap Zalikha demam biasa. Pun demikian, keputusan sampel darah menunjukkan sel kanser yang sama.

leukemia

“Rentetan kesakitan pun sama seperti Zulaikha. Memang bingung dibuatnya,” katanya yang mengakui dirinya dan isteri tidak keruan ketika itu.

Ujar Mohamed Faris, antara punca si kakak mengikut jejak langkah kembarnya adalah mereka berkongsi satu kantung dan uri semasa dalam kandungan. Justeru, risiko menghidap penyakit sama memang tinggi.

leukemia

Iklan

“Jadi, rawatan sama perlu dilakukan untuk membunuh sel kanser. Disebabkan ia perlu dibuat di Johor, saya perlu berulang-alik lebih 200 kilometer untuk dua kali dalam seminggu,” katanya.

Baca juga Bergenang air mata baca kisah Adik. Menderita kanser tulang, doktor maklum tiada jalan lain nak sembuh

Beritahu Mohamed Faris lagi, keadaan kedua-dua cahaya matanya itu memerlukan pemantauan yang rapi.

leukemia

Memang berat untuk dilakukan, namun katanya, isteri tiada pilihan selain terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu kedai.

“Jika rawatan berterusan, isteri perlu berkampung di wad lebih kurang seminggu. Bila dibawa balik rumah untuk berehat, Zulaikha dan Zalikha kerap sakit.

“Sebab itu kadang-kadang belum tiba masa untuk kemoterapi, saya terpaksa bawa mereka ke hospital segera kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku,” ujarnya yang mempunyai seorang lagi anak perempuan bernama Nur Farisha Damia berusia 12 tahun.

leukemia

Iklan

Selain menanggung kos perubatan dan ulang-alik ke hospital dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan, lelaki itu mengakui kadang-kadang perbelanjaan pembelian lampin pakai buang dan susu khas berada di luar daripada kemampuan.

“Setakat ini saya masih mampu lagi. Kalau ada pihak yang ingin membantu meringankan beban dan menggembirakan hati anak kembar kami, saya ucapkan terima kasih.

“Sudah menjadi impian saya untuk melihat anak-anak sihat semula. Rindu nak tengok Zulaikha dan Zalikha bermain basikal di laman rumah setiap petang, sebab itu memang rutin harian mereka.

leukemia

“Paling sedih, mereka selalu cakap nak pergi sekolah. Rindu nak sekolah katanya. Mana tidaknya, Zulaikha sempat sekolah tadika dua bulan sahaja sebelum ditimpa sakit,” luahnya dengan nada lemah.

Kepada pembaca SinarPlus prihatin, bantuan anda amat diperlukan untuk si kembar yang comel itu kembali menjadi kanak-kanak sihat.

Bantuan kewangan boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 151061282097 atas nama Mohamed Faris Idris.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang