BEBERAPA hari lalu panas di laman sosial mengenai Boss Susu atau nama sebenarnya Azmi Zainal dan sebuah syarikat tenusu tempatan.

Perkara itu berlaku apabila seorang pengguna Facebook bernama Aliff Ahmad III menyenaraikan pegangan saham syarikat susu berkenaan dan menjelaskan Boss Susu hanya mempunyai pegangan saham yang kecil.

Terpanggil untuk menjawab perkara tersebut, Boss Susu tampil memberi respon di Facebook miliknya.

Mengakui pegangan saham yang kecil, menurutnya, mana mungkin orang yang berniaga di pasar malam pada mulanya mempunyai banyak wang.

“Ya, pegangan saham saya memang kecil, mana bisa orang yang dah down dalam bisnes dan meniaga di pasar malam punya banyak wang untuk memiliki saham yang besar. Pelaburan dalam industri tenusu pula ratusan juta.

“Selepas 11 tahun nilai syarikat kami melonjak berlipat kali ganda atas usaha keras kami. Alhamdulillah nilai share yang kecil itu jadi banyak juta nya,” jelasnya.

Pendedahan maklumat berkait pegangan syarikat pengeluar susu segar tempatan itu tular setelah Azmi Zainal membuat satu perkongsian di Facebooknya mengenai pengambilalihan sebuah kilang jem di Australia.

Ia sekali gus mencetuskan perbincangan panjang mengenai status pemilikan syarikat tenusu yang mengeluarkan antara jenama pilihan ramai di Malaysia itu.

Katanya, walaupun hanya memiliki pegangan yang kecil dalam perusahaan berkenaan, Azmi bagaimanapun menjelaskan kejayaan terbesarnya memberikan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat tempatan.

Iklan

“Kejayaan paling besar ialah mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

“634 peluang pekerja dapat kami berikan, ramai anak- anak luar bandar di Muazam mendapat manfaatnya dan bukan setakat jadi operator atau jaga lembu, tapi ramai yang kami angkat menjadi tenaga kerja professional, kami latih, kami didik mereka,” katanya.

Menerusi perkongsian itu, beliau turut menceritakan perjalanannya bersama Farm Fresh sejak 2016 dan kejayaan yang dibina sehingga menjadi sebuah jenama susu yang digeruni pesaing.

Beliau turut mencetuskan ilham program micropenuer yang dipanggil Home Dealer.

Iklan

“Pada asalnya niat kami untuk suri rumah tambah pendapatan bagi bantu suami dalam perbelanjaan isi rumah.

“Tapi suri rumah ini sangat berbakat dan bersemangat, mereka bukan hanya jual pada jiran-jiran tapi mereka berjualan di carboot sale, masuk expo, jual kat kedai-kedai dan kini bilangan mereka mencapai lebih daripada 2000 orang dan bukan suri rumah sahaja.

“Ramai juga pekerja kerajaan dan swasta yang buat separuh masa menjual susu bagi membantu ekonomi keluarga serta jumlah jualan mereka (home dealer sahaja) pada tahun 2020 mencapai 150 juta.

“Sesetengah di kalangan mereka sudah punya kedai sendiri, ada van dan lori untuk menghantar susu. Kami modalkan dulu tanpa sebarang ‘guarantor’ atau bank deposit, kami ambil risiko kredit untuk bantu mereka. 98% daripada mereka adalah bangsa saya bangsa Melayu,” ujarnya.

Baca juga “Nafas sesak! Doktor kata peluang amat tipis”- Dr Azizan kongsi Covid-19 hampir ragut nyawa

Azmi juga berbangga dengan perkara berkenaan.

“Saya bangga boleh cerita dgn anak-anak saya bila kami bertemu bagaimana ayahnya berusaha meningkatkan pendapatan golongan B40.

“Tapi bagi saudara Aliff 111 mungkin dia bangga dan bilang pada anak dia ‘hari ini papa dah malukan Boss Susu, meh tengok kat FB ramai orang puji Papa sebab Papa pandai cari maklumat. Nanti Papa ajar anak-anak macam mana nak buat’.

“Alhamdulillah saya tak ajar anak saya begitu, saya ajar anak saya untuk jadi insan berguna agar boleh berbakti kepada negara.

“Terima kasih pada mereka yang terus menyokong saya dan syarikat Farm Fresh,” katanya.