SEJAK kerajaan melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), guru, murid serta ibu bapa terpaksa mengamalkan persekolahan dalam  suasana norma baharu.

Ada yang seronok dan teruja untuk belajar secara maya di hadapan laptop, tablet mahupun komputer peribadi namun tidak kurang juga ada yang membuat muka kebosanan atau tidak muncul langsung dalam kelas online.

Tidak dinafikan pelbagai usaha terbaik dilakukan para guru untuk berkongsi ilmu termasuk merakam video interaktif untuk memudahkan anak murid faham.

Tidak terkecuali dengan seorang pemuda ini, demi memberi ilmu kepada anak bangsa, guru Matematik SK (1) Gombak, Mohd Fadli Mohamed Salleh tampil membuat video live belajar subjek itu di laman Facebook.

Ternyata sesi pembelajaran yang dilakukan beliau amat menarik minat anak murid menyertainya. Buktinya setiap video yang dibuat mendapat lebih 10 ribu tanda suka.

Namun apa yang luar biasanya, bukan setakat murid seluruh negara yang teruja dengan video online Cikgu Fadli, warga emas pun turut kusyuk belajar Matematik!

Seperti perkongsiannya di Facebook, ada seorang si tua yang jauh lebih teruja daripada muridnya untuk bersama kelas live tersebut.

“Ramai orang kata anak-anak mereka tertunggu kelas live aku. Anak-anak teruja kata mereka.

“Nun jauh beratus kilometer di sana, ada si tua yang jauh lebih teruja dari anak-anak kalian untuk bersama dalam kelas live aku.

“Usianya dah menjangkau 74 tahun. Namun setiap kali aku buat kelas live, setiap kali aku dijemput menjadi panel bual bicara atau melancarkan apa-apa modul secara live, orang tua inilah peminat fanatik yang paling setia.

“Si tua itu orang yang aku kasihi lebih dari aku kasihkan diri aku. Dialah ayahandaku,” tulisnya.

Pemuda dedah abah penonton setia video live buat ramai mengalir air mata

Iklan

Kata cikgu Fadli, ayahnya yang juga Mantan Pengarah IPG Kota Bharu, Mohamed Salleh Hussain akan menonton setiap live beliau sehingga tamat.

“Lepas solat Isyak berjemaah, cepat-cepat abah pulang. Minta anak-anak buka wall FB aku dan tonton live aku sampai tamat.

“Nasi pun letak tepi. Rela tak makan lagi. Nak fokus tonton aku mengajar. Nak bagi perhatian pada setiap butir bicara. Punya khusyuk, punya dia teruja melihat aku.

“Abah. Terima kasih atas segala kasih sayang yang dicurahkan. Sedari Li kecil, hingga menjadi dewasa beginipun kasih abah tidak pernah berubah. Bahkan makin bertambah.”Benarlah kata pepatah, ‘Kasih ibu hingga ke syurga, kasih bapa hingga ke hujung nyawa’.

“Tiada kata-kata mampu Li ungkapkan untuk mengucapkan tanda terima kasih pada abah.

“Tidak ada satu pun kata-kata yang dicipta di dunia ini boleh membayangkan sebanyak mana pengorbanan dan kasih sayang abah.

“Tuhan… Rahmati ibu dan bapaku. Beri mereka kesihatan yang baik, tempatkan mereka ditempat paling baik yang pernah Kau cipta. Rahmatilah mereka dan kami semua dengan syurgamu,” doanya.

Baca juga Promosi capati homemade ayah di Twitter, tindakan pemuda ini buat ramai…

Iklan

Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut Cikgu Fadli berjuraian air mata dan masing-masing meluahkan rindu pada ayah tercinta.

Zurina Bt Zakarya – Cikgu, berjuraian air mata saya tanpa sedar semasa baca bait-bait kata ini.

Wan Rosni – Sebak pulak baca post ni. Teringat kat arwah ayah. Mesti ayah cikgu bangga tengok pencapaian anak dia sekarang kan.

MYza Mohammad – Kasih ibu bawa ke syurga, kasih bapa hingga akhir hayat. Rindu sangat arwah abah, tak sempat nak lihat anak-anak berjaya.

Salasiah Abdul Hamid – Abah tu tengok bukan sebab nak belajar tu Li. Abah tu tengok live anak tu sebab rindu. Bertuah Li dah tua camni pun masih ada Ma dan Abah.

Nini Ruspawan – Subuh hari cikgu bikin sebak, semoga Allah hadiahkan syurga untuk kalian.

Begitulah kasih seorang bapa. Hargailah kasih sayang dan pengorbanan seorang ayah selagi mereka masih ada.